Kertas Putih Kesihatan perkukuh sistem kesihatan negara – Ismail

Kertas Putih Kesihatan perkukuh sistem kesihatan negara – Ismail

Cadangan pembangunan Kertas Putih Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat selain sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam tahun-tahun yang mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kertas Putih itu bukan sahaja menumpukan kepada transformasi perkhidmatan kesihatan tetapi juga meneliti aspek-aspek lain yang membawa impak kepada kesihatan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang kita jangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada.

“Justeru, pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu, Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 anjuran KKM bertujuan membincang serta merencana masa hadapan sistem kesihatan negara melalui pembangunan Kertas Putih Kesihatan.

Ismail Sabri menambah, sistem kesihatan negara, sama ada kerajaan mahu pun swasta, telah berfungsi dengan cemerlang sehingga sebahagian besar Keluarga Malaysia menikmati tahap kesihatan yang baik terutama ketika kes pandemik Covid-19 memuncak.

Namun begitu, tegas beliau, rakyat tidak seharusnya mudah berasa selesa kerana pandemik Covid-19 bukanlah yang terakhir kerana terdapat pelbagai cabaran baharu bakal muncul, seterusnya akan menguji tahap keberkesanan dan ketahanan asas sistem kesihatan sedia ada.

Ismail Sabri menambah, pandemik juga memperlihatkan cabaran serius kesihatan dalam tahun-tahun yang mendatang termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial kita.

Beliau berkata, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Beliau berkata, kadar prevalen penyakit dan permintaan penjagaan kesihatan pastinya meningkat kerana kos penjagaan kesihatan rakyat berumur 60 tahun ke atas dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.

“Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidapi penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi.

“Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya, dan seterusnya mengundang risiko kematian.

“Contohnya, sebanyak 87 peratus pesakit Covid-19 yang maut merupakan mereka yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.

“Selain itu, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka akan meningkat,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, sejak berlakunya pandemik pada tahun 2020 dan sehingga kini, seramai 4.6 juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 dan sebanyak 36,000 orang telah kehilangan nyawa.

Kata beliau, hampir tiga suku atau 74 peratus daripada jumlah kematian melibatkan Keluarga Malaysia berusia 60 tahun ke atas sekali gus menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga mereka kerana kehilangan tempat bergantung.

“Alhamdulillah, hasil usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kadar kematian dan kadar kemasukan wad intensif dapat dibendung.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan turut berjaya melandaikan lengkuk jangkitan wabak, mengelakkan kadar kematian yang lebih tinggi serta mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya. MG

Kertas Putih Kesihatan perkukuh sistem kesihatan negara – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kapal Layar Mewah Milik Siapa Bernilai RM200 Juta? [VIDEO]

Tembelang Pengkid ‘Mohd Syahid’ Pecah

Ahli Parlimen Bersatu sedar tiada peluang untuk menang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker