Syarikat kecil mungkin ditutup pada Mei, kata dewan perniagaan

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) berkata, penutupan syarikat, pemberhentian pekerja dan kehilangan pekerjaan mungkin bermula Mei ini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu sekarang dan melaksanakan langkah berkesan untuk menghalang kejatuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan menimbulkan lebih banyak masalah.

“MCCC berpendapat kerajaan boleh menawarkan bantuan kepada pelbagai perdagangan dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata, penting untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi arahan jelas dan kerajaan tempatan mengambil inisiatif membantu PKS menangani kesulitan dan bekerjasama mengharungi kesukaran ini.

“MCCC menggesa kerajaan tempatan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyelaras tugas pelbagai jabatan dan memfokuskan sokongan bagi PKS terus beroperasi.”

Ia memetik data Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menunjukkan kira-kira 90% syarikat di Malaysia ialah PKS.

Katanya, semua pihak perlu menyokong PKS bagi memastikan masa depan ekonomi negara terus bertahan.

MCCC menggesa kerajaan menumpukan masalah kewangan dihadapi PKS, khasnya aliran tunai.

Ia mahu kerajaan menawarkan sokongan menyeluruh melalui potongan cukai, kadar faedah dan kemudahan pinjaman untuk mengelakkan sektor itu tumbang dan melindungi peluang pekerjaan rakyat

Ia menyarankan bantuan langsung kerajaan kepada PKS sepanjang perintah kawalan pergerakan bagi membantu mereka membayar sekurang-kurangnya 25% gaji pekerja.

Tinjauannya menunjukkan PKS memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan untuk menghadapi kesulitan kewangan.

“Tinjauan itu menunjukkan pengecilan saiz antara pertimbangan mereka sekarang. Ada yang mungkin menutup perniagaan mereka.

MCCC memuji pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang diumumkan semalam bagi meringankan beban rakyat, tetapi berharap kerajaan akan meningkatkan usaha untuk membantu PKS mengatasi kesulitan mereka.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker