Strategi mendepani sikap Beijing

BUKAN menjadi rahsia lagi berhubung isu tuntutan perairan Laut China Selatan (LCS) yang bertindih dengan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia, strategi Beijing ialah mempergunakan kekuatan tentera dan ekonomi mereka. Kedua-dua faktor tersebut tidak mampu disaingi oleh Kuala Lumpur dan sebab itu jua Wisma Putra perlu fokus kepada strategi yang tidak membabitkan kedua-dua faktor tersebut.

Paling digemari oleh Beijing ialah strategi menceroboh perairan EEZ menggunakan kapal pengawal pantai Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan peristiwa terkini tercetus dua minggu lepas yang memaksa Wisma Putra memanggil Duta Besar China di Kuala Lumpur demi mempertahankan hak melalui pengamalan Akta EEZ Malaysia 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Oleh kerana pencerobohan EEZ itu bukan kali pertama dan juga sudah pasti bukan kali terakhir kerana sudah acap kali berlaku, ramai tertanya-tanya, memadaikah dengan hanya memanggil duta dan menghulur bantahan diplomatik untuk memaksa Beijing supaya lebih peka hak dan sensitiviti negara pesisir LCS? Sudah terbukti strategi berhadapan secara ketenteraan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Pengalaman yang dilalui oleh Vietnam pada 1988 digelar pertembungan Terumbu Johnson Selatan yang akhirnya China berjaya menduduki beberapa terumbu sekitar kawasan konflik adalah manifestasi mengapa faktor ketenteraan tidak boleh digunakan. Mungkin ada jua yang musykil dan teruja dengan kaedah perundangan seperti Akta EEZ Malaysia atau UNCLOS digunakan untuk mengekang tindak tanduk Beijing ini.

Sudah begitu jelas Akta EEZ langsung tidak dihormati oleh Beijing jika diambil kira ratusan kali pencerobohan yang telah tercetus. Begitu jua dengan sikap Beijing yang tidak mempedulikan keputusan Tribunal Antarabangsa 2016 yang antara lain menegaskan China tidak punya hak dalam tuntutan LCS jika disandarkan peruntukan yang ada dalam UNCLOS.

Jadi, persoalannya apakah Kuala Lumpur sudah putus arah dan tidak banyak mempunyai pilihan kerana apa yang pasti adalah tindakan Beijing ini perlu ditangani dengan bijaksana? Tidak syak lagi Beijing perlu dimaklumkan bahawa tindakan kapal pengawal pantai PLA menceroboh EEZ dan juga pesawat tentera udara PLA menceroboh ruang udara kawalan Malaysia pada Mei lepas tidak boleh dibiarkan kerana ia seakan mencabar kedaulatan negara.

Mengapa ditekankan ungkapan bijaksana berkait dengan tindakan susulan Kuala Lumpur adalah kerana Beijing juga pintar menyusun strategi mereka. Ini kerana pada sudut pandang Kuala Lumpur, tindakan kapal pengawal pantai dan pesawat PLA adalah menceroboh tetapi Beijing menegaskan perairan EEZ dan ruang udara kawalan Malaysia adalah kawasan antarabangsa dan Beijing mendakwa mereka hanya mengamalkan peruntukan perundangan antarabangsa dalam hal kebebasan navigasi sama ada di laut atau udara.

Hakikatnya adalah hu­jah Kuala Lumpur dan Bei­jing ada kebenarannya tetapi masalahnya ialah jika China tidak mengambil tindakan agresif maka isu pencerobohan ini tidak akan timbul. Amerika Syarikat (AS) jua mengamalkan konsep kebebasan navigasi di perairan antarabangsa dan pernah suatu ketika kapal perang milik mereka menyusur EEZ Malaysia tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Taiwan enggan tunduk kepada China

FIERY CROSS

Tetapi peristiwa itu berlaku hanya sekali dan bukannya berulang kali. Begitu jua apabila kapal perang AS menyusuri perairan 12 batu nautika Terumbu Fiery Cross dan Mischief yang ditambak oleh China kerana menurut AS, terumbu yang ditambak bukannya sebuah pulau seperti didakwa China.

Masalah dengan pence­robohan yang direncana oleh Beijing mempunyai mak­sud tersendiri seperti mana apabila segerombolan pesawat PLA menceroboh Zon Pertahanan Udara (ADZ) Taiwan beberapa hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan Taiwan yang disambut pada 10 Oktober. Tujuannya untuk memperingatkan Taiwan baha­wa negara itu adalah sebahagian daripada tanah besar China.

Beijing juga berhati-hati dalam hal Taiwan kerana kewujudan Akta Hubungan Taiwan yang mengikat tangan AS untuk mempertahankan Taiwan jika diserang oleh China.

Seperti mana EEZ adalah perairan antarabangsa, maka ADZ Taiwan juga merangkumi ruang udara antarabangsa dan sebab itu setiap tindakan oleh Beijing ada perhitungan yang membawa maksud mereka tetap berhati-hati.

Jika Taiwan mempunyai aura perlindungan AS melalui akta yang diasaskan oleh Kongres AS pada 1979 demi menghadapi tekanan China, maka sebenarnya bukan sahaja Malaysia tetapi tiga negara ASEAN yang sering berhadapan tekanan China dalam hal tuntutan bertindih LCS iaitu Vietnam, Filipina dan Brunei juga boleh bergantung harap negara kuasa besar lain seperti diamalkan oleh Taiwan.

Tidak dinafikan pakatan kerjasama tentera Australia, United Kingdom dan AS yang dikenali sebagai AUKUS dan juga Quad iaitu dialog keselamatan antara AS, India, Jepun dan Australia mampu mencetuskan ketegangan di rantau ini. Tapi jika dipergunakan oleh ASEAN yang bukan sebahagian AUKUS dan Quad, ia mampu memberi isyarat kepada Beijing supaya jangan terlalu agresif menceroboh EEZ milik negara pesisir ASEAN.

Malaysia tidak mampu untuk bermusuh dengan China dan pada masa sama menyebelahi AS pula kerana ini bukan situasi menang-menang. Pengamalan dasar luar negara yang tersirat dan kabur terhadap AUKUS dan Quad yang secara terang kewujudannya adalah untuk mengekang China, mampu menyedarkan Beijing bahawa strategi keras mereka hal LCS akan memaksa Malaysia dan ASEAN membuat keputusan berpihak kepada AS.

Seperti kata peribahasa, gajah bergajah sesama mereka tetapi jika pelanduk pintar mencuri kelebihan yang ada, maka pelanduk menerima manfaatnya.

PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.

Strategi mendepani sikap Beijing


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Filem terbaru ‘James Bond’ gagal tewaskan filem dari China

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker