Senator Bersatu dikhuatiri sekat RUU anti-lompat parti

Senator Bersatu dikhuatiri sekat RUU anti-lompat parti

Ketegangan yang semakin meningkat antara Umno dan Bersatu mencetuskan kebimbangan bahawa senator yang dicalonkan oleh Bersatu mungkin menghalang kelulusan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti di Dewan Negara.

RUU yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lepas itu akan dibentangkan untuk dibahaskan di Dewan Negara esok.

Sumber memberitahu FMT, wujud kebimbangan bahawa 12 senator Bersatu akan memanfaatkan bilangan mereka untuk menyekat RUU itu demi kepentingan parti.

“Kebimbangan seperti itu diutarakan kepada saya oleh pejabat menteri persekutuan,” kata seorang pemimpin politik yang enggan dinamakan.

“Jika senator-senator ini mencuba langkah itu, (bermaksud) mereka mengutamakan kepentingan parti berbanding negara. Ini (tindakan) paling tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan keanak-anakan.”

Langkah ini dijangka susulan laporan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersedia memanggil pilihan raya umum (PRU) jika Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan kepada kerajaannya.

Ketegangan antara Ismail dan PN dilaporkan meningkat apabila gabungan pimpinan Bersatu itu menuduh perdana menteri gagal menunaikan beberapa janji yang dibuat kepadanya, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Bersatu menafikan laporan mengenai penarikan sedemikian.

Dewan Negara dianggotai 58 senator, termasuk 12 daripada Bersatu. Dua lagi ahli Bersatu dijangka mengangkat sumpah sebagai senator esok.

RUU itu, satu pindaan perlembagaan, memerlukan sokongan dua pertiga senator, atau 47 undi. Tanpa 14 undi Bersatu, hanya akan terdapat paling banyak 44 undi menyokongnya.

“Jika dihitung-hitung, (peluangnya) tipis. Tetapi saya yakin mereka akan mengutamakan kepentingan negara berbanding parti,” kata pemimpin politik itu.

Sementara itu, satu sumber kerajaan mengakui beliau “ada mendengar” ura-ura bahawa senator Bersatu tidak akan mengundi menyokong RUU itu.

“Saya difahamkan Menteri Parlimen dan Undang-Undang (Wan Junaidi Tuanku Jaafar) akan bertemu dengan semua senator esok (Isnin) untuk memastikan sokongan mereka,” kata sumber itu, yang turut enggan dinamakan. FMT

Senator Bersatu dikhuatiri sekat RUU anti-lompat parti


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu LCS: Najib balun Raja Formula PKR dengan fakta padu

Raja Formula datang lagi, kini jadikan LCS kempen politik

Mahu elak hubungan seks, wanita ditahan buat laporan palsu dirogol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker