Awasi bahaya Takfiri
Awasi bahaya Takfiri
oleh Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari
Istilah Takfiri merujuk kepada sikap seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar dari Islam (kafir). Sikap ini tumbuh dari seseorang yang merasa dialah yang paling benar dan paling sesuai dengan Islam. Seolah-olah dia telah menjamin surga untuk dirinya sendiri dengan memberikan neraka untuk orang lain. Kadang-kadang tuduhan tersebut turut mengarah kepada mereka yang memiliki kualiti keilmuan yang jauh lebih baik daripada orang yang menuduh.
Sejarah membuktikankan bahawa sikap mudah menuduh orang lain kafir akan menjadikan seseorang itu nekad untuk melakukan tindakan radikal dan terroris. Nabi SAW sendiri pernah didakwa oleh golongan al-Khuwaisirah tidak berlaku adil dalam pemerintahannya.
Sesungguhnya Abu Sa’id Al Khudri RA bercerita: “Ketika kami bersama Rasululluh SAW dan Baginda membahagikan sesuatu. Datanglah Dzul Khuwaishirah seorang yang berasal dari Bani Tamim kepada beliau, lalu berkata, “Wahai Rasulullah berbuat adillah!’ Lalu Baginda SAW menjawab: “Celaka kamu, siapakah yang berlaku adil, jika aku tidak berlaku adil? Engkau telah rugi dan celaka jika aku tidak adil. Sayyidina Umar RA berkata, “Wahai Rasulullah izinkanlah aku memenggal lehernya”. Baginda menjawab: “Biarkan dia! Sesungguhnya dia memiliki pengikut. Salah seorang daripada kamu akan meremehkan solatnya dengan solat mereka dan puasanya dibanding puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, tapi hanya di halkum mereka saja. Mereka meninggalkan agama, sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.” (Mutafaqun alaihi)
Selain itu, Sayyidina Ali RA, meninggal dunia kerana dibunuh oleh Abdurahman Ibn Muljam yang sangat obses menuduh beliau telah keluar dari Islam (kafir). Walhal Abdurahman Ibn Muljam seorang ahli ibadat, menghafaz al-Quran dan lain-lain. Seterusnya gejala mengkafirkan umat Islam, menghalalkan darah dan perampasan harta benda umat Islam ini berterusan kecuali pengikut mereka sahaja.
Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali menerusi kitabnya Faisalut Tafriqah Bainal Islam Wa Zindiqah menjelaskan secara panjang lebar kesalahan pertuduhan kafir terhadap umat Islam.
Cendekiawan Muslim zaman itu dipandang salah dalam mengategorikan masalah pokok dan cabang aqidah. Menurutnya, betapa banyak perdebatan antara tokoh Muslim namun sangat minima dalam memberikan kontribusi untuk meyakinkan umat Islam pada kebenaran. Sedangkan umat Islam dilanda berbagai fitnah tentang akidah. Dan betapa ramai para pendakwah yang menganggap diri mereka berada pada kebenaran, namun ternyata mereka berada dalam kesalahan. Bahkan mereka yang menyeru tentang perpaduan dan penyatuan umat Islam seringkali dipandang sini dan diperjauhkan.
Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa menjadi tokoh Islam beerti menjadi penunjuk umat dalam meraih hidayah Allah. Ia mesti menyampaikan mesej dakwah dengan kata yang lemah-lembut penuh hikmah, merapatkan barisan serta berpegang teguh pada agama Allah yang mulia.
Dalam kitab tersebut juga beliau memberikan standard agar Muslim tidak mudah menjustifikasi orang lain keluar dari Islam, selagi mana seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini kerana mereka mana-mana individu yang masih beriman dan mengakui setiap peraturan dalam agama Islam secara pasti, tetap dihukum sebagai orang Islam yang wajib dijaga darah, jiwa, maruah, harta dan keturunannya.
Perlu disedari bahawa bermula abad ke-18, muncul beberapa gerakan Islam yang mewarnai pendekatan keras dalam menyampaikan dakwah Islam. Terdapat beberapa fasa perkembangan ideologi radikal yang dibawa oleh gerakan Islam ini mula dikenal pasti iaitu ideologi Wahabi di Semenanjung Tanah Arab yang dibawa oleh Muhammad Ibnu Abdul Wahab, ideologi Sayyid Qutb ketika bersama gerakan Ikhwanul Muslimin dan ideologi radikal global yang bermatlamatkan penubuhan Khilafah Islamiah bagi mengembalikan kekuatan kerajaan Islam selepas kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniyah.
Manakala ideologi radikal global muncul seiring zaman globalisasi dan merujuk kepada dua kelompok besar yang mempergunakan jenama Salafi iaitu salafi jihadi dan salafi takfiri.
Istilah Salafi Jihadi melambangkan pengaruh fahaman Salafiyah yang dibawa oleh Ibn Taimiyah dan gerakan ideologi Wahabi dengan konsep jihad qital (perang) yang ditekankan Sayyid Qutb. Kedua-dua konsep ini digabungkan dan diadaptasi mengikut kesesuaian perjuangan gerakan radikal ISIS, Abdus Salam Faraj. Selain itu, ideologi ini turut mempergunakan konsep al-Wala’ wal Barra’ atas asas kalimah Allah SWT dengan memberi janji setia kepada Allah dan menjauhi sebarang kepercayaan serta amalan yang berlawanan dengan syariat-Nya.
Mereka percaya bahawa konsep ini membantu mereka mengenalpasti musuh Islam sama ada umat Islam sendiri atau orang kafir. Ini membolehkan mereka melaksanakan jihad qital dan memansuhkan semua ajaran jihad lain dalam Islam.
Golongan Salafi Takfiri merupakan kelompok dari pengamal ideologi Salafi Jihadi tetapi menggabungkannya dengan elemen takfiri yang diperkenalkan semula oleh mentor ISIS iaitu Abu Muhammad al-Maqdisi. Kelompok ini mengkafirkan golongan yang tidak sealiran dengan mereka dan dipopularkan secara meluas oleh oleh Abu Mus’ab al-Zarqawi, gerakan serpihan dari al-Qaeda di Iraq dan memperjuangkan penubuhan negara Islam berkhalifah di Iraq dan Syria.
Ideologi Salafi Takfiri ini bukan saja memerangi orang kafir malah turut memerangi umat Islam yang dilihat bersekutu dengan kerajaan kafir. Justeru, mereka dilabel sebagai Neo-Khawarij atau Khawarij Baharu. Ciri-ciri Khawarij seperti kepatuhan yang tinggi terhadap agama, keberanian luar biasa, suka mencela dan bersifat tertutup adalah antara ideologi yang wujud walaupun terdapat beberapa pandangan lain yang mengatakan tidak semua gerakan radikal adalah kumpulan Neo-Khawarij.
Selain itu, fahaman ini juga memberi hanya dua pilihan kepada dunia, iaitu sama ada bersetuju dengan perjuangan mereka atau dikira sebagai kafir.
Dewasa ini, fahaman radikal ini berkembang dengan pantas dan digunakan untuk menyebarkan permusuhan dan kebencian di antara anak bangsa. Jika tidak dibendung, gejala boleh menyebabkan penyebaran jenayah pembunuhan dengan anggapan kumpulan yang mengikut doktrin tertentu menjadi kafir kerana mereka berurusan dengan orang kafir, musyrik, yahudi atau toghut.
Faktor utama yang mendorong kewujudan golongan takfiri ini disebabkan sikap jahil agama, kekurangan ilmu pengetahuan dan jauh dari mendapat bimbingan sumber ilmu yang betul dari ulama dan ilmuwan muktabar.
Disebabkan terlalu suka mengikut hawa nafsu, cita rasa peribadi dan kepartian, maka golongan ini mudah mengkafirkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka di samping menyelar dan menjatuhkan nama baik lawan dengan menghukum orang berkenaan sebagai kafir tanpa tabayyun berlandaskan disiplin ilmu.
Selain itu, sikap setengah ulama yang menganggap mudah perkara ini serta kecuaian mereka dalam menjelaskan kebatilan golongan ini dan kelemahan dalam menyampaikan ajaran Islam turut menjadi faktor kedua.
Terdapat juga senario di kalangan pemuda-pemudi yang ghairah berdakwah melalui media sosial tetapi gagal menguasai ilmu fiqh, usul fiqh dan kaedah fiqhiyyah dengan baik menjadikan mereka suka berbalah, ekstrem dan suka menghukum pihak yang berbeza pendapat dengan syirik, kafir, bidaah dan sesat dengan sewenang-wenangnya.
Kesimpulannya, fenomena takfiri gejala yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menjamin hak setiap individu yang melafazkan dua kalimah syahadah untuk memelihara nyawa, akal, keturunan dan harta seseorang termasuk golongan zimmi dalam sebuah negara Islam.
Kesepakatan ulama perlu sentiasa dijunjung dan dijayakan dengan kadar kemampuan yang sedia ada pada kita. Perbezaan pendapat dalam sesuatu masalah agama adalah lumrah dan perlu dihormati. Gejala takfiri merupakan elemen radikal yang melahirkan ekstremis dan teroris perlu dicegah dan ditangani supaya kesucian agama Islam tetap terpelihara dan tidak terpalit dengan fitnah dan islamophobia. HM
Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)
Awasi bahaya Takfiri
Baca Artikel Menarik:
- Azeez dakwa tanaman Musang King puncanya, Sanusi nafikan
- Ibu maut dikelar anak
- Bantuan kewangan kerajaan Pusat disalurkan kepada mangsa banjir Baling
- Farhash sangkal dakwaan Rafizi, anggapnya fitnah jahat
- Wanita dakwa dicabul pegawai exco Negeri Sembilan
- Beli patin buah RM1,245 seekor, pemilik restoren teruja
- Prank tarik tudung wanita melampau
- Tok Mat nafi kata Najib patut masuk penjara
- Syamsul zip mulut bila ditanya mengenai Ira Kazar
- Buat hantaran gambar lucah, wanita didakwa
- Hapuskan subsidi minyak masak, beri percuma 5kg sebulan kepada B40, M40
- Ebby Yus lega rumah siap, tunggu masa dapat kunci
- Suri rumah curi 2 peket Milo dipenjara 14 bulan
Layari Laman Facebook MYKMU.NET