Najib: Terbit hutang baru walau langkau kadar siling jika perlu demi selamatkan ekonomi.

Kerajaan boleh menerbitkan hutang baru sehingga jumlah hutang negara melebihi kadar siling ditetapkan ketika ini – iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) – jika perlu, demi membantu rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara susulan pandemik Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Ia walaupun kadar hutang negara sudah sedia tinggi yang didakwanya ekoran tindakan kerajaan PH sebelum ini yang menambah hutang baru, kata Najib dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

“(Kadar hutang negara) sudah naik kepada 53 peratus (daripada KDNK), hampir cecah siling 55 peratus.

“Pada saya kita perlu buat apa yang patut dibuat, termasuk kalau siling 55 peratus terpaksa dinaikkan, kita tak ada pilhan walaupun rating kredit Malaysia menurun.



“Tapi pada saya menyelamatkan ekonomi negara dan menyelamatkan kepentingan rakyat adalah lebih utama daripada rating kredit,” katanya.

Untuk rekod, negara pernah mencapai kadar hutang 53 peratus daripada KDNK sebelum ini, antaranya pada akhir 2013, menurut laporan Bernama.

Pada 4 Julai lalu, Najib berkata hutang rasmi negara telah mencecah RM800 bilion. Menurut laman web Bank Negara, sehingga suku pertama 2019, hutang negara berada pada paras RM776.8 billion.

Najib berkata lagi, kerajaan pada masa ini tidak boleh terlalu memikirkan reaksi pasaran dan penarafan ekonomi dan banyak negara akan mengambil pendekaan sama bagi menyelamatkan ekonomi masing-masing.



Pada 27 Februari lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri interim mengumumkan pakej rangsangan ekonomi susulan wabak Covid-19.

Sebulan kemudian, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion, bagi menghadapi wabak itu serta kesannya, termasuk dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Pakej Prihatin antara lain agihan one-off menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melibatkan empat juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, dan 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan antara RM4,001 hingga RM8,000.

Mereka yang belum berkahwin juga mendapat bantuan itu jika berpendapatan RM4,000 ke bawah.



Selain itu, Kementerian Kewangan juga sedang memperhalusi sebuah pakej rangsangan khas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beberapa pihak sebelum ini menyifatkan pakej rangsangan yang diumum Muhyiddin tidak mengutamakan golongan tersebut, antaranya Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.

Baca: Pelanggan Makcik Kiah juga perlu dibantu

Dalam pada itu, Najib menyifatkan situasi yang dihadapi Malaysia kini sebagai lebih daripada luar biasa, justeru pakej rangsangan ekonomi semata-mata tidak memadai.



“Kita berada bukan dalam keadaan luar biasa, tapi kritikal. Kita perlu bukan sahaja pelan ‘stimulus’, tetap pelan pemulihan ekonomi.

“Kalau suntikan saja, beri bayaran wang tunai saja kepada rakyat, ia tak beri kesan sepenuhnya dalam keadaan yang kita hadapi hari ini,” katanya lagi, yang menggesa kerajaan mencari jalan untuk merancakkan lagi ekonomi domestik dan memberi jaminan terhadap peluang pekerjaan rakyat.

Katanya, ia boleh dicapai dengan meneruskan projek mega, misalnya projek MRT3 yang sebelum ini dibatalkan.

Selain itu, beliau berkata soal bekalan makanan juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.



“Selagi tak selasai ancaman Covid-19 ekonomi tak akan pulih, tangani dulu Covid-19 (dan) secara serentak kita buat langkah besar-besaran tangani ekonomi negara,” katanya lagi.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker