76 Tahun UMNO: Bukan Parti Pegun, Iltizam Demi Malaysia Dan Bangsa – Timbalan Presiden

76 Tahun UMNO: Bukan Parti Pegun, Iltizam Demi Malaysia Dan Bangsa – Timbalan Presiden

Assalamualaikum WBT dan selamat Hari Raya.

Moderator, Ahli2 panel yg di hormati, serta tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian..

Saya mengajak sekalian yang hadir untuk sama-sama menzahirkan rasa syukur ke hadhrat Allah SWT Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, bahawa dengan nikmatnya jua, maka kita dapat bertemu pada hari ini dalam majlis yang sangat bermakna pada pagi ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian ke Majlis Wacana Aspirasi UMNO sempena sambutan ulangtahun UMNO ke 76.

Saya sangat senang sekali melihat rakan2 dan taulan UMNO, dari kalangan masyarakat madani, cendiakawan serta pelbagai segmen masyarakat, hadir dan terus bersedia mendampingi UMNO.

Pastinya kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan dengan hasrat untuk terus membantu UMNO, mencari pencerahan dalam memperbaiki akan dirinya sebagai sebuah parti.
Dan membantunya sebagai sebuah wadah perjuangan untuk bangsa dan tanahair.

Sdra dan sdri sekalian..

Wacana sebegini adalah langkah yang sangat penting.
Kerana sebagai sebuah parti politik, UMNO mesti membuka ruang seluas-luasnya, kepada pelbagai pemegang taruh bangsa, untuk menegur, mengkritik, membangun dan mempelopori pelbagai idea and kecerdasan baru.

UMNO bukanlah sebuah institusi yang pegun, apalagi kebal dari segala perhitungan yang tersasar.

Sudah namanya pun parti politik, UMNO itu senantiasa ada kelompongan dan kelemahan dalam pelbagai strategi, dasar dan iltizamnya kepada Malaysia dan bangsa.

Kerana itu, UMNO mesti senantiasa bersedia mendengar, belajar, mendalami dan mendampingi pelbagai segmen masyarakat Melayu dan Malaysia. Demi untuk menjadi parti politik yang lebih baik, lebih kontemporari dan lebih unggul.

Dan kepada rakan-rakan UMNO di luar sana, janganlah kalian merasa gugup dan gusar, untuk menegur UMNO dalam wacana anda bersama UMNO.

Berkata benarlah kepada UMNO.
Berlaku beranilah pada parti ini. Singkirkan segala kepura-puraan untuk menjadikan UMNO ini lebih baik.

Pancaindera UMNO ini mesti diasah untuk menelan yang pahit, melihat yang lemah dan jelek, serta menghidu yang busuk dan meloyakan.

Kerana ia telah terlalu lama dibuai dengan nafsu yang serakah, halwa telinga yang mengasyikkan, dan pujian yang tidak ikhlas dan benar.

Justeru, gunakanlah wacana seperti ini, untuk memberikan perspektif realiti yang sebenarnya kepada UMNO.

Melalui sifat berterus-terang dan ikhlas, insya-Allah, UMNO juga pasti akan berlapang dada, untuk mendengar dan berusaha, menjadi lebih baik dan unggul.

Yang pasti, UMNO itu perlu senantiasa melakukan refleksi dan melihat sedalam-dalamnya, dengan nurani yang ikhlas akan segala kelebihan dan kekurangannya.

Apakah benar-benar UMNO ini telah mendatangkan kebaikan kepada bangsa dan agama?
Apakah benar-benar kita telah membuahkan manfaat kepada tanahair?
Apakah kita masih mengakar dalam landasan perjuangan seperti mana cita-cita waktu UMNO itu diasaskan?

Semua ini menuntut kita semua, UMNO dan pemegang taruh bangsa, untuk berterus-terang dan saling tegur-menegur.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

76 tahun dahulu, UMNO itu dibidani kelahirannya, melalui muafakat pelbagai kumpulan madani Melayu, yang mahukan tanahair yang merdeka.
Orang Melayu waktu itu bersemangat sekali, untuk bangkit menentang Malayan Union.

Maka berlakulah pelbagai perdebatan yang hebat di kalangan pemuka, pemimpin dan aktivis bangsa Melayu, tentang bagaimana harus mereka bergerak ke hadapan.
Ada yang mencadangkan gerakan bersenjata.
Ada yang menganjurkan kebangkitan rakyat yang radikal.
Ada yang mencetuskan idea menubuhkan pergerakan politik, serta pelbagai idea lain yang disarankan.

Kerana wacana yang pelbagai inilah, maka lahirlah cadangan bahawa, perjuangan kemerdekaan mestilah damai sifatnya.
Mesti menggunakan wadah politik.
Mesti mendakap strategi perpaduan dan kesatuan, agar wujud satu ketumbukan politik Melayu yang berpengaruh.

Maka akhirnya terbentuklah UMNO sebagai wadah politik bangsa Melayu itu.

Ianya natijah daripada pelbagai sesi debat, perbincangan, pertukaran idea dan wacana.
UMNO sebenarnya lahir, bukan sekadar dari sebuah semangat tanpa akal, tetapi pemikiran yang tajam.
Begitu juga bila kita berhadapan insiden 13 Mei 1969.

Untuk membangunkan dasar terbaik, sebagai respons kepada tragedi 13 Mei 1969, apa yang UMNO lakukan ialah, mengumpul cendekiawan Melayu.
Bertanya pendapat mereka. Memberikan mereka kepercayaan untuk melakukan sumbang saran.

Natijahnya, dilantiklah sarjana ulung seperti Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz untuk merencanakan dasar ekonomi yang akhirnya UMNO pelopori, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Dan melalui dasar tersebut, tertubuhlah pelbagai institusi untuk membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat.
Demikianlah bernasnya idea DEB itu, sehingga transformasi bangsa dan negara pasti gagal tanpanya.

Moral dari semua ini ialah, betapa terbukanya UMNO kepada idea, pemikiran dan sumbang saran, dari pelbagai pihak. Dan, betapa UMNO menerima idea tersebut, melaksana dan menjayakannya dengan bersungguh-sungguh.

Justeru, sempena perjumpaan kita hari ini, saya menyeru, agar apa yang kita lakukan hari ini, mesti menjadi budaya dalam UMNO.

Bertanyalah kepada semua orang, dan bukan hanya bercerita sesama kita didalam parti.

Bertanyalah pada mereka yang pandai.

Belajarlah daripada mereka yang berpengalaman.

Berlumba-lumbalah untuk mempelajari yang baru dan terkini.

Kerana UMNO memerlukan idea baru, cetusan yang berkesan dan pemikiran yang luar biasa, dalam melayari landskap politik Malaysia, yang telah menjadi sangat kompleks.

Dari mana, akan kita akan dapati semua ini, jika bukan daripada semua pemegang taruh Melayu.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

Seperkara lagi yang suka saya ingatkan ialah..

Janganlah wacana hari ini, akhirnya hanya menjadi sebuah majlis sahaja.
Apa yang dibicara, didebat dan ditegur, mati hanya di sini.

Tidak boleh begitu.

Penganjur haruslah membawa segala pencerahan hari ini, kepada pelbagai sayap UMNO.
Kepada pelbagai biro dan jawatankuasa dalam parti. Bentangkan segalanya dengan jujur, kepada jawatankuasa pengurusan, biro politik dan Majlis Tertinggi.

Kerana kita berharap agar idea yang bernas dan kritikan yang pedas itu, dapat menjadi sandaran untuk Parti, merencanakan dasarnya buat negara dan bangsa.

Gunakanlah peluang hari ini untuk terus merencana strategi.,
Meneruskan kelangsungan kita untuk 70 tahun lagi.
Malah, mungkin untuk seabad lagi.

Benar, masa depan itu rahsia Tuhan, dan masa adalah saksi segala-galanya.

Namun, untuk sekadar duduk, bernostalgia dan beretorik, bahawa parti ini akan terus kekal kuat, utuh dan diyakini, adalah anti akal.

Kerana parti ini, hanya akan kekal, jika kita punyai strategi.

Punyai agenda bersifat sezaman.

Punyai pemikiran melangkau masa. Punya keberanian untuk dikritik dan ditegur.

Sdra dan sdri sekalian,

Akhir sekali, pesan saya ialah..

Samada kita mahu menerimanya atau tidak, di luar sana, UMNO dilihat semakin senja dan menua.
Kita tidak lagi dilihat secocok dengan zaman.
Pada pandangan banyak pihak, kita terpisah jauh, dari imaginasi generasi Malaysia pasca moden, apa tah lagi kemajuan zaman.

Kita terus terperangkap dengan kegemilangan lalu, yang terhasil dalam konteks dan cabaran yang jauh berbeza, dengan realiti hari ini.

Kita dilihat sebagai parti kebangsaan, yang sudah hilang pesonanya, sehingga kita tewas dalam PRU ke 14 lepas.

Malah seperti yang sering saya ungkapkan, dalam siri ucapan saya, UMNO telah hilang nilai sentimental atau ‘sentimental connection’nya dengan bangsa Melayu.

Maka manfaatkanlah, wacana seperti hari ini, sebagai pemula untuk UMNO itu, menjadi lebih berdaya saing.

Pemula untuk kita semua bersetuju, berazam dan berusaha.
Untuk menjadikan UMNO dan perjuangan politik Melayu, dan Malaysia itu, lebih kontemporari dan bersandarkan idea terbaik.

Kepada semua ahli panel dan tetamu yang hadir, sekali lagi terima kasih atas sumbangan dan masa yang diberikan.

Semoga segala yang kita lakukan ini, diangkat oleh-Nya sebagai amalan baik yang mendapat keredhaan jua, insyaAllah.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya dengan ini merasmikan “Wacana Aspirasi UMNO” sempena Ulangtahun UMNO yang ke 76 ..

Wabillahitawfik Wassalamualaikum WBT

Terima kasih.

Datuk Seri MOHAMAD BIN HAJI HASAN
Timbalan Presiden

Ucapan perasmian Wacana Aspirasi UMNO Sempena sambutan 76 tahun UMNO

76 Tahun UMNO: Bukan Parti Pegun, Iltizam Demi Malaysia Dan Bangsa – Timbalan Presiden

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


5 anggota polis disyaki curi barang kemas ketika serbuan

Sharifah Sakinah dikecam jahil samakan tandas dengan syurga

Kecoh Britney Spears belanja gambar bogel

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker