Salah langkah nyawa melayang

Salah langkah nyawa melayang

Tugas sebagai pegawai veterinar di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam merawat haiwan liar seperti gajah dan harimau bukan mudah, malah jika salah langkah, nyawa mungkin jadi galang ganti.

Pada masa sama, pegawai veterinar juga perlu peka dengan tahap kesihatan haiwan bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan kepada haiwan berkenaan.



Kerana itu, pegawai veterinar ini perlu cekal serta berani mengambil risiko untuk merawat haiwan berkenaan.

Bukan sekadar cedera ringan, malah ada pegawai veterinar yang parah dan terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang akibat tercedera ketika merawat haiwan ini.

Berikut kisah berani pegawai veterinar Perhilitan yang juga wanita besi dalam menjalankan amanah merawat haiwan yang sakit.

Pengalaman dan tugas mencabar



“Saya pernah dipijak gajah liar seberat tiga tan di bahagian dada dua tahun lalu.

“Akibatnya, saya mengalami pendarahan dalaman di bahagian paru-paru dan terpaksa mengambil cuti sakit hampir setahun,” kata Pegawai Veterinar Dr Ana Maria Abd Rahim.

Dr Ana Maria yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia melakukan tugas merawat dan memindahkan haiwan liar termasuk gajah.

Menurut Dr Ana Maria, kejadian yang tidak boleh dilupakan itu berlaku ketika bertugas menyelamatkan gajah liar di Krai, Kelantan.



“Saya dan pasukan tidak menyedari ikatan rantai pada kedua-dua kaki gajah terbuka kerana kakinya terendam di dalam lumpur.

“Apabila kami menembak suntikan pelali, gajah terkejut lalu mara ke hadapan. Gajah melibas dengan belalainya menyebabkan saya jatuh dan terbaring,” katanya.

Kata Dr Ana Maria, dia kemudiannya dipijak di dada dan kejadian berlaku dengan pantas.

“Dalam kesakitan, saya menutup mata dan mendiamkan diri bagi mengelakkan gajah bertindak agresif.



“Saya kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Dr Ana Maria berkata, mujur gajah tidak memijak kuat dadanya, jika sebaliknya, mungkin dia berdepan risiko kehilangan nyawa.

Menurut Dr Ana Maria, sejak tiga tahun lalu, dia sudah merawat dan memindahkan 30 gajah liar.

Katanya, gajah mempunyai karektor pendendam, pendiam dan pada masa sama, ada keinginan untuk mesra dengan manusia.



“Paling penting adalah jangan mengambil tindakan yang boleh membuatkan gajah marah,” katanya.

Menurut Dr Ana Maria, sebagai doktor veterinar, dia berusaha mengenal pasti apa yang berlaku terhadap gajah.

Katanya, jika sakit, gajah akan hilang selera makan dan rawatan diberikan ialah ubat antibiotik serta drip air.

“Antara penyakit biasa yang dihidapi gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang ialah elephant endotheliotropic herpesvirus (EEHV) dan tuberculosis.



“Pusat ini menempatkan gajah liar yang diselamatkan untuk dipelihara,” katanya.

Menurut Dr Ana Maria, diet harian gajah membabitkan 500 kilogram campuran tebu, tembikai, rumput dan palet.

Daya harimau sembunyi kesakitan tinggi

Hetty yang berumur 18 tahun disahkan menghidap barah payudara sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, Hetty tidak pernah menunjukkan sebarang tanda yang ia sedang menghidap penyakit kronik.

Akhirnya, minggu lalu, ‘perjuangan’ Hetty berakhir apabila harimau belang berkenaan yang ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak disahkan mati akibat penyakit terbabit.

Pegawai Veterinar Pusat NWRC Dr Siti Suzana Selamat berkata, daya ‘survival’ yang tinggi pada harimau sama kuat dengan usaha karnivor terbabit ‘menyembunyikan’ kesakitan dihidapinya termasuk barah payudara.

“Malah, harimau masih berupaya menjalankan rutinnya termasuk memburu walaupun sedang bertarung dengan penyakit kronik,” katanya.

Menurut Dr Suzana, berkaitan Hetty, pihaknya mendapati pada mulanya, puting susu harimau itu bengkak dan berdarah.

“Kami menyangka, ia membabitkan jangkitan kuman pada payudara Hetty.

“Hetty diberikan antibiotik dan ubat tahan sakit, namun kesakitannya berpanjangan,” katanya.

Menurut Dr Siti Suzana, sampel biopsi dihantar ke Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum keputusan mengesahkan yang Hetty menghidap barah payu dara.

“Hetty tidak dapat diselamatkan dan mati minggu lalu kerana sel barah sudah merebak ke hati dan paru-paru.

“Harimau berusia lebih 10 tahun berisiko menghidap penyakit kronik termasuk buah pinggang,” katanya.

Menurut Dr Siti Suzana, harimau adalah haiwan yang sukar untuk menunjukkan yang ia sedang menghidap penyakit termasuk penyakit kronik.

“Ini kerana harimau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kesakitan dihidapinya.

“Melainkan keadaan penyakit itu sudah terlalu teruk seperti menunjukkan tanda klinikal seperti bengkak, berdarah atau hilang selera makan, barulah kami tahu yang harimau berkaitan sedang sakit,” katanya.

Kata Dr Siti Suzana, beliau sudah merawat 30 harimau sepanjang lima tahun bertugas di NWRC.

Menurut beliau, penjaga haiwan di NWRC diberikan kemahiran asas dalam mengenal pasti enam perkara asas berkenaan dan melaporkan penemuan kepada pegawai veterinar.

Kata Dr Siti Suzana, setiap kali harimau jatuh sakit, pegawai veterinar turut ‘sakit kepala’ memikirkan cara untuk merawatnya.

“Ini kerana kami tidak boleh berkomunikasi dan memegang harimau tanpa diberi suntikan pelali.

“Namun, keadaan kesihatan harimau yang tidak baik ini, kurang sesuai diberikan suntikan pelali dengan kerap,” katanya. HM

Salah langkah nyawa melayang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bila Nak Kahwin? Jangan Sentap Kalau Ditanya Pasal Jodoh…Sini Ada Tips Tepis Soalan Camtu…

Hamid Gurkha kian uzur, badan tinggal tulang

Reedzwan Terkejut Kubur Ayah Hilang, Menangis Sedih Hanya Jumpa Batu Nisan Berlonggok [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker