Mat Sabu tak pernah kata PH tak patut bincang dengan Bersatu, PAS – Salahuddin

Mat Sabu tak pernah kata PH tak patut bincang dengan Bersatu, PAS – Salahuddin

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, presidennya, Mohamad Sabu mungkin disalah petik ketika memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menerusi pendekatan “khemah besar”.

Salahuddin yang semalam membuka pintu untuk berunding dengan Bersatu dan PAS menjelang PRU15 – turut menyentuh kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS kerana mereka tidak lagi mempercayai pemimpin dua parti itu.



“Saya rasa beliau (Mohamad) mungkin disilap petik sedikit. Mat Sabu tak kata kami tak boleh berunding (dengan Bersatu dan PAS). Kenapa kita tidak boleh berbincang dan mungkin minum kopi bersama?” kata Salahuddin ketika mengulas perbezaan pendiriannya dengan Mohamad.

“Sudah tentu Bersatu mengkhianati kita…Itu satu perkara. Tetapi saya rasa…Itu sudah berlaku. Biarkan yang lepas berlalu.

“Sekarang masanya kita perlu bersikap realistik. Jika kita gagal membentuk pembangkang yang kuat, kita akan hancur berkecai seperti dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.”

Bercakap dalam sebuah majlis berbuka puasa di Johor semalam, Salahuddin dilapor menyarankan PH membuka pintu rundingan dengan semua parti pembangkang, termasuk Bersatu dan PAS, menjelang PRU15 bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).



Isnin lalu, Mohamad dalam kenyataan berkata, pendekatan “khemah besar” PH tidak termasuk Bersatu dan PAS kerana gabungan itu tidak mungkin bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan itu.

Lim pula dilaporkan berkata, beliau menolak kerjasama dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kerana bekas perdana menteri itu menjadi antara penggerak Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, PKR terbuka untuk bekerjasama dengan parti bukan PH, tetapi beliau tidak menyatakan parti mana secara khusus.



Salahuddin berkata, ia perkara biasa bagi parti dalam PH mempunyai perbezaan pendapat kerana ada banyak contoh sedemikian ketika gabungan itu ditubuhkan sebelum PRU14.

Dengan menegaskan PH dan parti pembangkang lain perlu membentuk barisan bersatu menentang BN pada PRU15, ahli Parlimen Pulai itu berharap dapat melihat “satu musuh menentang yang lain” pada PRU akan datang.

“Saya perlu berani untuk katakan ini,” katanya.

“Kita mungkin tidak berjaya, tetapi selepas apa yang berlaku di Melaka dan Johor, kenapa tidak (berbincang dengan Bersatu dan PAS)?



“Kita perlu mempunyai hati besar. Itu ciri yang ada pada pemimpin. Seseorang perlu memulakan langkah pertama dan kita perlu mempunyai keberanian.” FMT

Mat Sabu tak pernah kata PH tak patut bincang dengan Bersatu, PAS – Salahuddin


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Rafizi Berdepan Saman Berkaitan Sapura

Menantu baru tak bangsat – Chef Wan



Chef Ammar dakwa gerainya ditutup kerana disihir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker