Kes makin tinggi, salahkah taktik perang kita?

Kes makin tinggi, salahkah taktik perang kita? HARI ini hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur.

PKPD telah ‘mengurung’ sebahagian besar 8 juta warga Lembah Klang di kediaman masing-masing dari 3 hingga 16 Julai apabila hanya boleh bergerak sekitar radius 10 kilometer. Lebih tragis, PKPD tersebut adalah sambungan daripada total lockdown di seluruh negara yang sudah bermula sejak 1 Jun lalu.

Pendek kata secara mudahnya sudah 44 hari rakyat Malaysia terutamanya warga Lembah Klang ‘berkurung’.

Sebagai perbandingan rakyat Malaysia juga pernah berkurung secara lebih ketat pada PKP1.0 selama 47 hari dari 18 Mac sehingga 3 Mei 2020.

Namun, tragisnya hasil daripada total lockdown dan PKPD hari ini yang cuma tiga hari berkurang daripada PKP1.0 sangatlah mendukacitakan.

Bukan sahaja kita gagal melandaikan lengkungan graf, malah jauh lebih buruk pada hari-hari terakhir PKPD jumlah kes hari mencanak naik mencatatkan rekod tertinggi.

Pada 13 Julai lalu, buat kali pertamanya dalam tempoh setahun enam bulan ini, Malaysia mencatatkan kes harian melepasi lima digit iaitu 11,079 kes. Pada Selasa, angka tersebut semakin tinggi 11,618 kes dan pada Rabu angka naik lagi kepada 13,215 kes.

Justeru di mana silapnya taktik perang kita melawan Covid-19.

Sebelum ini, ramai yang suda memberi pandangan agar sektor perkilangan yang merupakan penyumbang terbesar kluster Covid-19 di Selangor ditutup. Namun cadangan itu umpama dipandang sepi. Buktinya banyak kilang bukan dalam kategori perlu masih dibenarkan beroperasi atas alasan ekonomi.

Cuma memasuki tempoh PKPD, sektor perkilangan yang penting sahaja dikatakan boleh dibuka iaitu kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi dan ubat-ubatan.

Namun, dengan kes harian yang semakin tinggi, adakah arahan penutupan kilang dan tempat kerja ini sudah agak terlewat dan perlu diperketatkan lagi?

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sendiri pernah dilaporkan berkata 91 peratus kluster Covid-19 di Selangor berpunca dari tempat kerja, iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak binaan.

Malah hampir setiap hari, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan data yang hampir sama.

Pada 10 Julai lalu contohnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tempat kerja terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 19 kluster daripada jumlah harian sebanyak 29 kluster.

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, kitaran penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja kepada komuniti dan balik ke tempat kerja mesti diputuskan segera sekiranya mahu menurunkan jumlah kes.

Menurut pakar virologi itu, selagi tidak serius dalam menangani isu penularan jangkitan di tempat kerja, tidak kira sektor apa sekalipun termasuk yang dilabel kritikal akan terus dilanda wabak maut tersebut.

“Virus akan terus bergerak dengan mereka yang bergerak. Rantaian hanya boleh diputuskan sekiranya tiada pergerakan atau setiap yang bergerak telah disaring negatif dahulu sebelum dibenarkan berada di tempat kerja.

“Disaring bukan dengan pengambilan suhu tetapi dengan ujian RTK Antigen,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kemunculan varian baharu seperti varian Delta yang amat mudah menular dan mampu menggandakan kes positif dengan kadar yang cepat turut menambahkan lagi kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Apa sahaja langkah yang diambil bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 sama ada PKP, PKPD mahupun lockdown tidak akan mendatangkan perbezaan atau hasil positif jika tidak dilaksanakan dengan serius atau pada tempat yang sepatutnya.

“Jangan berperang salah tempat. Penularan di tempat kerja yang ramai pekerja namun yang ditutup peniaga kecil yang pekerja cuma seorang dua,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman menyarankan pemberian segera vaksin kepada golongan yang terdedah terhadap risiko jangkitan di tempat kerja selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berterusan.

“Untuk sektor seperti perkilangan, saya berharap pemberian vaksin kepada semua pekerja yang terlibat dapat disegerakan di samping usaha pematuhan SOP yang berterusan tanpa sebarang kompromi.

“Pemberian segera vaksin juga wajar dipanjangkan kepada ahli keluarga pekerja bagi melindungi semua individu yang berada dalam kelompok mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula berpandangan, pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah agak terlambat.

Malah lebih menyedihkan memasuki hari-hari terakhir PKPD angka kes harian bukannya menurun sebalik semakin tinggi dengan rekod paling banyak kes pada Rabu, 13,215 kes.

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, tiada kejayaan ketara akan dicapai sekiranya masih tiada perubahan dalam SOP berkaitan penyumbang kluster.

“Kalau penyumbang kluster masih tidak ada SOP baharu, tidak akan ada perubahan hasil (tiada penurunan kes Covid-19),” ujar Hannah kepada Sinar Harian.

Mengakui kegagalan ‘total lockdown’ baru-baru ini, Hannah berkata adalah tidak adil kluster yang merupakan penyumbang terbesar kepada kes Covid-19 dibenarkan beroperasi sedangkan sektor lain tidak dibenarkan beroperasi.

“Kluster Covid-19 di Selangor kebanyakannya berpunca daripada kluster kilang tetapi orang lain pula yang diminta tutup kedai awal sejak 1 Jun.

“Tidak ada makna kita tutup sektor lain yang tidak menyumbang kepada kluster. SOP semasa mesti dilihat semula dan berikan peluang untuk sektor lain pula beroperasi,” katanya.

INFO

Dari Januari 2021 sehingga 26 Jun 2021, sebanyak 887 kluster tempat kerja direkodkan di Malaysia daripada 2,244 jumlah kluster keseluruhan.

Kluster tempat kerja ini bukan hanya kilang bahkan tapak binaan, restoran dan hotel.

Pecahan kluster

– Perkilangan – 284 kluster

– Perkhidmatan swasta – 82 kluster

– Pasar raya – 52 kluster

– Tapak binaan – 47 kluster

– Perkhidmatan awam – 29 kluster

– Restoran – 14 kluster

– Hotel – 3 kluster

– Cari gali – 3 kluster

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Kes makin tinggi, salahkah taktik perang kita?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker