Malaysia Airlines nasihat beli tiket penerbangan awal

Malaysia Airlines nasihat beli tiket penerbangan awal

Syarikat penerbangan menasihat rakyat Malaysia agar membeli tiket mereka awal bagi mengelakkan kenaikan harga semasa perayaan Aidilfitri yang disebabkan oleh strategi penetapan harga dinamik.

Malaysia Airlines Berhad dalam kenyataan memaklumkan Bernama hari ini bahawa syarikat penerbangan menetapkan harga tiket secara dinamik yang tertakluk kepada permintaan dan penawaran selain tarikh, masa dan ketersediaan tempat duduk pada jangka masa tertentu.

“Kami sedang merekodkan muatan yang amat memberangsangkan terutama bagi tempoh puncak sempena Hari Raya, yang memperlihat peningkatan ketara pada tempahan penerbangan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan masing-masing dan mengambil peluang ke atas pelbagai tawaran promosi dan diskaun yang disediakan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines turut memberi jaminan bahawa ia akan terus memantau keadaan dan meningkatkan kapasiti tempat duduk penerbangan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menerusi Pameran MATTA 2022, Malaysia Airlines menawarkan diskaun sehingga 45 peratus bagi harga tiket penerbangan semasa ke semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih.

“Malaysia Airlines juga telah melanjutkan tawaran ini secara dalam talian sehingga 17 April tahun ini bagi memudahkan pelanggan untuk terus merancang percutian dan membeli tiket dengan harga yang berpatutan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa syarikat penerbangan tempatan yang menyediakan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching telah menawarkan tiket serendah RM300 bagi penerbangan pergi balik semasa musim bukan perayaan.

Bagaimanapun, semakan ke atas laman sesawang mereka menunjukkan harga melonjak sehingga RM2,000 (bagi penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus bagi tempoh perayaan di antara 29 April hingga 8 Mei. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam sidang akhbar di ibu pejabat syarikat itu bagi mengumumkan pengembalian enam laluan perkhidmatannya ke India semalam berkata AirAsia masih dalam mod pemulihan dan oleh itu, berusaha meningkatkan kapasiti penerbangan berdasarkan apa yang boleh dilakukan ketika ini.

Beliau berkata bilangan pesawat AirAsia yang boleh beroperasi akan ditentukan oleh had semasa susulan mod pemulihan.

“Bagi meramalkan di mana ia (operasi penerbangan) berada juga adalah sesuatu yang agak mencabar, jadi had dari segi berapa banyak pesawat yang boleh kita terbangkan ketika ini (akan) turut ditentukan oleh perkara tersebut,” katanya. MG

Malaysia Airlines nasihat beli tiket penerbangan awal


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Minta DAP Jangan Politikkan Tragedi Basikal Lajak

Beli Nasi Briyani Daging RM12, Sekali Dapat Daging Meatball 3 Biji

Abang Johan Pelakon ‘Mat Saleh’ Menangis Sebab Ramai…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker