Amalan Dilakukan Rasulullah s.a.w. Ketika Berbuka Puasa

Amalan Dilakukan Rasulullah s.a.w. Ketika Berbuka Puasa

Saat memerhatikan jarum jam merangkak perlahan-lahan, aduh! terasa lambatnya masa bergerak. Bukan selalu dapat memerhatikan jarum jam merangkak kecuali menanti waktu berbuka puasa. Walaupun yang terhidang di atas meja hanya segelas air dan beberapa biji kurma namun nikmatnya tidak terkira. Tetapi jangan lupa berdoa saat berbuka puasa kerana ia adalah waktu mustajabnya doa. Lihat, sunnah-sunnah yang Rasulullah s.a.w. amalkan ketika berbuka puasa.

Pertama: Menyegerakan berbuka.

Menurut Prof Dr. Wahbah Az Zuhaili, buka puasa sebelum solat Maghrib lebih afdal kerana Nabi s.a.w. pun berbuat demikian. Rasulullah s.a.w bersabda, “Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.” (HR Bukhari).

Dalam hadis yang lain pula daripada Ibn Hibban dan Al Hakim, “Umatku sentiasa berada di atas sunnahku selama mereka tidak menunggu bintang muncul untuk berbuka puasa.”

Kedua: Berbuka dengan rothb, tamr atau air

Disunnahkan berbuka puasa dengan rothb (kurma basah), tamar (kurma kering), manisan atau air. Dianjurkan mengambil kurma dalam bilangan yang ganjil iaitu tiga atau lebih berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik.

“Rasulullah s.a.w biasa berbuka dengan beberapa biji rothb (kurma basah), sebelum menunaikan solat maghrib. Kalau tidak ada rothb maka baginda berbuka dengan tamar(kurma kering). Dan jika tidak ada yang demikian baginda berbuka dengan seteguk air.” (HR Abu Daud dan Imam Ahmad).

Ada ulama berpendapat, puasa menyebabkan penglihatan berkurangan maka kurma adalah sebagai pemulih terbaik semasa berbuka. Begitu juga halnya dengan makanan manis memberikan kesan yang hampir sama. Kalau tidak, maka berbukalah dengan seteguk air.

Sebagaimana yang disebut dalam hadis riwayat an-Nasa’i daripada Salman bin Amir, “Apabila seseorang berbuka hendaknya dia berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada, hendaknya dia berbuka dengan air sebab air itu suci.”

Ketiga: Mulakan dengan Bismillah.

Apabila setiap pekerjaan dimulakan dengan Bismillahir Rahmanir Rahim maka semoga apa yang dilakukan akan mendapat rahmat daripada Allah. Ucapan itu menyimpulkan satu harapan daripada seorang hamba agar usahanya dipermudahkan, memperoleh kejayaan, dilindungi daripada segala musibah dan mendapat kebaikan.

Tambah-tambahlah lagi apabila hendak menyuapkan rezeki ke dalam mulut yang akhirnya menjadi darah daging, ia menjadi amat penting. Biarlah yang lebih dahulu mempengaruhi jiwa kita adalah Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dan, bukannya maha pembenci dan pendendam dan tidak pula tuhan yang dahagakan persembahan darah sebagai bentuk korban.

Daripada Umar bin Abu Salamah, Rasulullah bersabda, “Bila kamu hendak makan sebutlah nama Allah lebih dahulu. Gunakanlah tangan kananmu dan ambillah makanan yang terhidang paling dekat.” (HR Muslim).

Mulakan dengan membaca basmalah sebelum makan dan mintalah doa kepada Allah
Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian makan, maka hendaknya ia menyebut nama Allah (Bismillah). Jika ia lupa untuk menyebut nama Allah di awal hendaklah ia mengucapkan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirohu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya)”

Agar makanan penuh keberkatan, maka ucapkanlah Bismillah dan akan berlipat ganda keberkatan itu jika dimakan berjemaah (beramai-ramai). Daripada Wahsyi bin Harb berkata,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan dan tidak merasa kenyang?” Baginda bersabda, “Kemungkinan kalian makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, “Ya!” Baginda bersabda, “Hendaklah kalian makan secara bersama-sama, dan sebutlah nama Allah, maka kalian akan diberi berkah padanya.” (HR. Abu Daud).

Keempat: Berdoa seperti Rasulullah

Ibnu ‘Umar berkata, “Rasulullah s.a.w. ketika telah berbuka puasa mengucapkan; “Dzahabazh zhoma’u wabtallatil ‘uruqu wa tsabatal ajru insya Allah (Rasa dahaga telah hilang dan urat-urat telah basah, dan pahala telah ditetapkan insya-Allah).” (HR Abu Daud).

Doa itu dibaca Rasulullah s.a.w. bukannya sebelum berbuka puasa. Saat hendak menyuap kurma ke mulut dahului dengan ucapan Bismillah macam biasa. Setelah selesai makan dan air membasahi tekak maka ucapkan doa sebagaimana yang Nabi lafazkan di atas.

Kelima: Berdoalah apa saja

Ketika berbuka adalah saat mustajab doa. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk manfaatkan momen itu sebaiknya. Berdoalah apa saja kepada Allah untuk urusan dunia mahupun akhirat. Sesungguhnya Rasulullah bersabda,

“Bagi orang yang berpuasa pada waktu berbuka ada doa yang tidak tertolak.” (HR Ibn Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, “Ada tiga yang doanya tidak ditolak; (1) Pemimpin yang adil. (2) Orang yang berpuasa ketika dia berbuka. (3) Doa orang yang dizalimi.” (HR Tirmidzi dan Ibn Hibban).

Dikatakan saat makbul doa kerana ketika itu orang yang berpuasa telah menyempurnakan ibadatnya keadaan penuh merendah diri, penuh pengharapan, kegembiraan, tenang dan penuh pergantungan kepada Allah.

Keenam: Memberi makan berbuka

Memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa walaupun hanya sekadar sebiji kurma atau seteguk air. Namun lebih sempurna jika memberi makanan yang mengenyangkan kerana pahalanya amat besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (HR at-Tirmidzi).

Ketujuh: Mendoakan yang memberi makan.

Jika ada yang menghulurkan kebaikan maka balaslah dengan semampunya. Andai yang diberi makanan berbuka, sekiranya mampu balaslah dengan yang semisalnya. Namun tidak perlu susah hati sekiranya tidak mampu untuk membalas, memadailah dengan doakan mereka.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda,

“Barang siapa yang memberi kebaikan untukmu maka balaslah. Jika engkau tidak dapati sesuatu untuk membalas kebaikannya maka doakanlah ia sampai engkau yakin engkau telah membalas kebaikannya.” (HR Abu Daud).0

Samalah halnya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila diberi minum, lalu Baginda menadah kepalanya ke langit dan berdoa.

“Allahumma ath’im man ath’amanii wa asqi man asqoonii” (Ya Allah, berilah ganti makanan kepada orang yang memberi makan kepadaku dan berilah minuman kepada orang yang memberi minuman kepadaku).” (HR. Muslim).

Kelapan: Mengundang tetamu berbuka

Saad bin Ubadah menjamu Rasulullah s.a.w. maka Baginda mengucapkan, “Afthoro ‘indakumush shoo-imuuna wa akala tho’amakumul abroor wa shollat ‘alaikumul malaa-ikah (Orang-orang yang berpuasa berbuka di tempat kalian, orang-orang yang baik menyantap makanan kalian dan malaikat pun mendoakan agar kalian mendapat rahmat).” (HR. Abu Daud).

Kesembilan: Penutupnya puji syukur

Daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan Alhamdulillah sesudah makan dan minum.” (HR Muslim).

Atau boleh juga membaca doa berdasarkan hadis riwayat at-Tirmidzi, dari Mu’adz bin Anas, Rasulullah bersabda,

“Barang siapa yang makan kemudian mengucapkan: “Alhamdulillaahilladzii ath’amanii haadzaa wa rozaqoniihi min ghairi haulin minnii wa laa quwwatin” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan merezekikan kepadaku tanpa daya serta kekuatan dariku),” maka diampuni dosanya yang telah lalu.” utv

Amalan Dilakukan Rasulullah s.a.w. Ketika Berbuka Puasa


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Ayam Masak Bawang Mengiurkan

Mas Idayu bakal berkahwin dengan penerbit eksekutif TV3

Dilabel jual juadah harga Tel Aviv, Chef Ammar tersinggung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker