Padah Lari Rumah, Kanak-Kanak 12 Tahun Dirogol Bergilir-Gilir 3 Lelaki

IPOH: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun melarikan diri dari rumah ibu saudaranya mengundang padah apabila dirogol tiga lelaki di sebuah rumah tumpangan di Hutan Melintang di Bagan Datuk, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mangsa yang tidak bersekolah itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak tiga bulan lalu dan keluar dari rumah wanita berkenaan pada pukul 1 pagi.

Katanya, ketika berada di tapak permainan berhampiran, mangsa dihampiri dua lelaki menaiki kenderaan yang mana seorang daripada suspek dikenali oleh mangsa.



“Suspek mengajak mangsa mengikuti mereka dan disebabkan tiada tempat untuk dituju, mangsa bersetuju dan dibawa ke sebuah rumah tumpangan yang dihuni rakan suspek.

“Mangsa kemudian diajak melakukan hubungan seks dan perbuatan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek sebelum mangsa ditinggalkan sendirian di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Anuar, ibu saudara mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kehilangan kanak-kanak itu mencarinya di kawasan sekitar namun gagal sebelum dihubungi seorang daripada suspek pada pukul 7.40 petang.

Katanya, suspek memberitahu wanita itu bahawa anak saudaranya dirogol dan mengugut diberikan wang berjumlah RM4,000 untuk membebaskan mangsa.



“Bertindak atas laporan polis dibuat wanita itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak memberkas seorang lelaki di hadapan sebuah bank di Hutan Melintang pada pukul 6.30 pagi ini ketika cuba mendapatkan wang daripada wanita itu.

“Susulan tangkapan tersebut, kita menangkap dua lelaki lain pada pukul 7 pagi tadi dan merampas beberapa barangan termasuk kenderaan dan telefon bimbit,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek berusia antara 28 tahun hingga 33 tahun itu didapati positif dadah jenis methampethamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau.

“Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik kini dalam keadaan stabil dan berada di Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.



“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Remaja 16 tahun dirogol bergilir-gilir 30 lelaki di bilik hotel



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker