Terkhilaf keluar Amanah, Hasnul minta maaf

Terkhilaf keluar Amanah, Hasnul minta maaf

‘Terkhilaf’ keluar Amanah sertai Bersatu, ADUN Perak mohon maaf

ADUN Bebas dari Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, yang sebelum ini keluar dari Amanah dan menyertai Bersatu memohon maaf secara terbuka kepada kepimpinan Amanah Perak kerana “kekhilafannya” susulan tindakan itu.

ADUN Titi Serong yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata demikian ketika sesi wawancara di Facebook anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Anjung Rakyat Progresif bertajuk “Seronok ke Jadi Wakil Rakyat?” secara langsung pada malam semalam.

Hasnul yang juga bekas Exco kerajaan negeri ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) turut mengakui kekhilafan dan kesilapan itu berlaku disebabkan kebimbangan beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Jelas Hasnul, hal itu berlaku susulan peruntukan dana diberikan kepada ADUN pembangkang terhad menyebabkan beliau terpaksa membuat keputusan keluar parti.

“Saya dengan hati penuh tulus ikhlas mengambil kesempatan memohon maaf kepada rakan-rakan di luar sana di atas kekhilafan dan kelemahan saya yang menyebabkan saya terpaksa memilih jalan yang memberi tohmahan yang sangat besar kepada saya dan saya terima dengan sebaiknya.

“Saya memohon maaf secara peribadi dan inilah pertama kali saya memohon maaf secara terbuka kepada rakan-rakan di luar, rakan-rakan dalam parti lama (Amanah), pimpinan parti (Amanah) negeri dan nasional yang memberi kepercayaan. Saya memohon maaf sekali lagi,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Hasnul berkata demikian dalam sesi wawancara yang turut menampilkan moderator, Raja Azam Shah dan pemimpin Pemuda PKR Kedah, Firdaus Johari.

Pada 9 Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan PH tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Beliau kemudian mengambil keputusan menyertai Bersatu pada 29 Julai tahun lalu, atas alasan memilih parti mengutamakan kepentingan gabungan kerjasama parti Melayu Islam.

Bagaimanapun, “jodoh” Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu tidak panjang apabila beliau dipecat parti itu selepas difahamkan menyokong Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Disember tahun lalu.

Baru-baru ini, Hasnul Zulkarnain bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah memainkan peranan penting membongkar kes pemilikan tanah paya bakau di Sungai Betul Bawah dan Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar.

Kes tanah itu mendapat bantahan penduduk setempat susulan status kebenarannya dikaitkan dengan seorang Exco Perak daripada Bersatu dan pegawai khasnya.

Sementara itu, Hasnul menegaskan beliau bersedia dihukum sekiranya tidak lagi dipilih untuk meneruskan perkhidmatan wakil rakyat pada penggal akan datang, namun buat masa sekarang, tanggungjawab itu perlu dilunaskan sebaiknya.

Katanya lagi, keputusan keluar Amanah bagi menyertai Bersatu sebelum ini turut mengambil kira kesukaran beliau untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat DUN Titi Serong kerana beliau bukan anak tempatan.

Hasnul berkata, walaupun membuat pilihan berbeza dengan kembali menjadi ADUN Bebas, buat masa ini beliau tetap dengan pendirian memperjuangkan kebenaran menentang kebatilan

“Yang benar itu benar, yang batil itu batil. Soal politik, parti dan khidmat, saya lebih kepada khidmat kepada rakyat. Jiwa dan bakti saya adalah untuk rakyat.

“(Soal hendak sertai parti lain), saya belum ada perancangan lagi,” katanya.
FMT

Terkhilaf keluar Amanah, Hasnul minta maaf


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


3 diberkas jual vaksin COVID-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker