MMA sokong pelaksanaan PKP, pengisytiharan darurat

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri dan pengisytiharan darurat bagi mengekang penularan COVID-19.

Presiden MMA, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, berkata penguatkuasaan PKP di enam negeri, di samping pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di negeri lain, adalah perlu berikutan jangkitan wabak terbabit terus meningkat.

Beliau berkata, penularan COVID-19 turut berlaku dalam komuniti, manakala nilai kebolehjangkitan (RO) tidak menurun daripada kadar kini antara 1.1 hingga 1.2.

“Selain itu, wujud kebimbangan berhubung jangkitan varian baharu B.1.1.7 dari United Kingdom (UK) yang sudah dikesan dalam negara ini.

“Hospital kerajaan padat dengan kes COVID-19 dan kakitangan kesihatan bertugas dalam keadaan amat tertekan.

“Langkah segera perlu diambil bagi menangani isu tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam untuk memastikan standard penjagaan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Subramaniam berkata, MMA akan memberi sokongan bagi membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) menangani pandemik itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, MMA menyarankan supaya KKM bekerjasama rapat dengan pihak hospital swasta berikutan situasi ketika ini turut memberi kesan terhadap pesakit bukan COVID-19.

“Langkah menyumber luar perkhidmatan kesihatan seperti pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta rawatan kanser, akan membolehkan hospital kerajaan memfokus sumbernya untuk menangani COVID-19,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker