Kurma dan kesuburan lelaki

Kurma dan kesuburan lelaki

SETIAP kali Ramadan, kurma atau nama saintifiknya ‘phoenix dactylifera’ menjadi juadah ‘wajib’ umat Islam.

Apatah lagi, kita disunatkan terlebih dahulu berbuka dengan buah berkenaan sebelum makan makanan lain.

Ada juga yang mengambil kurma pada waktu sahur sebagai alternatif pengganti makanan berat.

Kurma dilabel sebagai ‘pembekal’ tenaga untuk satu jangka masa panjang (berpuasa) kerana sebiji kurma mengandungi lebih daripada 50 peratus gula dan tinggi serat.

Tetapi tahukah anda bahawa kurma mempunyai banyak khasiat yang sangat baik kepada kesihatan kesuburan lelaki terutama ketika Ramadan.

Pakar Sakit Puan dan Perbidanan MetroIVF Dr Ahmad Zharif Hussein berkata, banyak kajian penyelidik dapat mengesahkan kebenaran itu.

Menurutnya, pada 2015, Universiti Padjadjaran, Indonesia membuat kajian terhadap sperma tikus jantan.

Penyelidik mendapati, sperma kumpulan tikus yang memakan kurma meningkat daripada segi bentuk (morfologi) dan kelajuan (motiliti).

“Pada Mac 2021, penyelidik di Nigeria mendapati kurma dapat membantu meningkatkan kualiti sperma daripada segi bentuk dan kelajuan.

“Kualiti sperma sangat penting sebagai pengukur untuk mengetahui tahap kesuburan lelaki. Ini berkait rapat dengan cara hidup dan pemakanan.

“Oleh itu, lelaki perlu mengambil pemakanan yang mempunyai gizi seimbang,” katanya.

Kata Dr Ahmad Zharif, kajian semula sistemik dan meta-analisis dijalankan pada 2018 bagi menilai kesan nutrien, makanan tambahan atau makanan ke atas parameter kualiti sperma.

“Secara keseluruhannya, 28 artikel digunakan untuk analisis kualitatif dan 15 artikel bagi meta-analisis kuantitatif.

“Kajian mendapati antioksidan, selenium, zink, omega 3, koenzim (CoQ10), karnitin dan makanan lain yang kaya dengan nutrien tertentu amat membantu dalam meningkatkan kualiti sperma lelaki,” katanya.

Dr Ahmad Zharif berkata, terdapat tujuh nutrien tambahan dalam kurma yang boleh membantu meningkatkan mutu sperma lelaki.

Katanya, nutrien pertama ialah antioksida. Tekanan oksidatif dan kekurangan antioksidan adalah antara faktor mengganggu kualiti sperma apabila ia merosakkan DNA dalam sperma.

“Tubuh memerlukan antioksida untuk membantu memperbaiki sel dan DNA yang rosak. Oleh itu, kerosakan sel serta DNA akibat tekanan oksidatif perlu diperbaiki.

“Kurma mengandungi antioksida diperlukan badan. Ini disokong kajian dilakukan oleh pengkaji dari Tunisa pada 2009 yang mendapati, kurma tinggi antioksida dan mampu membantu meningkatkan kualiti sperma,” katanya.

Jelas Dr Ahmad Zharif, nutrien kedua adalah zink iaitu antara mineral penting dalam tubuh.

“Zat ini (zink) membantu melindungi sperma daripada rosak akibat serangan bakteria. Dengan kata lain, ia juga memainkan peranan penting sebagai antibakteria.

“Di samping itu, ia turut mengurangkan kerosakan pada kromosom dalam sperma.

“Zink juga memainkan peranan penting dalam perkembangan testis dan proses penghasilan sperma iaitu spermatogenesis,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya kekurangan zink boleh mengganggu spermatogenesis dan punca masalah daripada segi morfologi yang dikenal pasti sebagai teratozopsermia.

Ia juga mampu mengganggu tahap testosteron serum lelaki.

“Selain daging, produk tenusu, ikan, avocado, buah delima, aprikot, beri dan kurma juga kaya dengan zink diperlukan badan.

“Di dalam kurma terdapat lebih kurang 0.29 miligram (mg) hingga 0.44 mg zink per 100 gram (g).

“Ia bergantung pada jenis kurma. Contoh, sebiji kurma medjool mengandungi lebih kurang 0.11mg zink iaitu bersamaan satu peratus berdasarkan peruntukan diet harian disarankan (RDA) untuk lelaki,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Zharif, setakat ini, tiada kajian kukuh menunjukkan jumlah keperluan zink untuk sperma lelaki, namun ada sesetengah doktor memberikan sehingga 30mg sehari.

Bagaimanapun, RDA mencadangkan hanya 15mg sehari untuk lelaki.

Tambahnya, kajian terperinci sangat diperlukan untuk mengenal pasti jumlah zink sebenar diperlukan bagi sperma.

Katanya, nutrien seterusnya adalah selenium. Ia adalah mineral dan komponen penting terkandung dalam selenoprotein.

“Selenium berfungsi sebagai antioksidan bagi melindungi sperma daripada spesies oksigen reaktif (ROS) yang mana ia adalah elemen yang mengganggu ketika proses penghasilan sperma (spermatogenesis).

“Kajian membuktikan, kekurangan selenium dalam badan boleh mengganggu jumlah, pergerakan dan morfologi sperma.

“Pada 2017, penyelidik di Pakistan mendapati, suplemen selenium mampu memperbaiki kualiti sperma daripada segi jumlah, pergerakan dan morphologi. Selain itu, selenium mampu membantu meningkatkan nafsu lelaki,” katanya.

Jelas Dr Ahmad Zharif, kandungan selenium dalam kurma ialah kira-kira tiga hingga empat mikrogram (mcg) per 100g yang bergantung kepada jenis dan saiz buah berkenaan.

“Namun, kita masih mencari penanda aras jumlah sebenar selenium diperlukan untuk kesuburan lelaki dan banyak kajian perlu dilakukan pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, RDA untuk selenium lelaki ialah kira-kira 60 hingga 70mcg sehari.

“Selenium turut terdapat dalam kekacang, ikan, daging, ayam, telur dan keju. Pengambilan kurma ketika bersahur dan berbuka membantu meningkatkan kandungan selenium dalam darah serta dapat meningkat tahap kesuburan lelaki pada Ramadan,” katanya.

Dr Ahmad Zharif berkata, nutrien tambahan keempat dalam kurma ialah frukrosa iaitu kandungan gula dalam kurma dengan 7.7g fruktosa untuk sebiji kurma.

Katanya, fruktosa mempunyai nilai indeks glisemik (GI) rendah berbanding sukrosa dan glukosa yang sesuai kepada pesakit kencing manis.

“Bagi pesakit yang gemar makanan manis, mereka boleh mengambil kurma mengandungi fruktosa.

“Ini kerana rasa manisnya lebih daripada sukrosa dan glukosa, tetapi mempunyai nilai GI rendah. Ia tidak akan mengganggu kesuburan jika diambil pada kadar berpatutan.

“Di samping itu, ia sesuai juga untuk pesakit yang cuba mengurangkan berat badan,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Zharif, nutrien seterusnya adalah serat yang kandungannya tinggi di dalam kurma.

“Kandungan serat bagi sebiji kurma seberat 24g ialah hampir 1.6g. Serat antara nutrien yang membantu proses pencernaan dan membantu mengurangkan berat badan.

“Setiap lelaki dan perempuan perlu mencapai indeks jisim tubuh (BMI) yang ideal. Berat badan ideal dengan BMI di bawah 30 amat membantu dalam menghasilkan sperma berkualiti.

“Kajian pada 2008 berkaitan berat badan lelaki, kualiti sperma dan masalah mati pucuk mendapati, berat badan juga berkaitan dengan kesuburan lelaki.

“Oleh itu, Ramadan adalah bulan terbaik untuk menjaga berat badan daripada segi pengawalan diet seimbang dan berkhasiat,” katanya.

Beliau berkata, kurma kaya dengan vitamin seperti A, D dan K yang mana nutrien ini membantu meningkatkan fungsi pembiakan lelaki.

“Terdapat kajian menjelaskan kepentingan vitamin D dalam sperma terutama pergerakan.

“Bagaimanapun, kajian mengenai vitamin dengan sperma perlu diperbanyakkan lagi pada masa akan datang.

“Vitamin lain dalam kurma bertindak sebagai antioksidan yang boleh mengurangkan kesan tekanan oksidatif terhadap sperma dan ia membantu meningkatkan fungsi sistem pembiakan lelaki,” katanya.

Dr Ahmad Zharif berkata, nutrien terakhir ialah flavonoid iaitu nutrien yang terdapat dalam tumbuhan tertentu bertindak balas sebagai antioksidan dan anti radang kepada tubuh manusia.

Katanya, hasil kajian mendapati, kurma mengandungi 13 jenis flavonoid.

Selain itu, ia turut mengandungi flavonoid sulfat yang jarang dijumpai dalam tumbuhan.

“Flavonoid mempunyai potensi yang baik sebagai antioksida dan mengurangkan jangkitan kuman ke atas sistem badan terutama sistem pembiakan lelaki.

“Pada 2018, pengkaji dari Amerika Syarikat mendapati, flavonoid bertindak sebagai antioksida yang mengurangkan kesan ROS terhadap sperma,” katanya.

Oleh itu, katanya, pengambilan kurma dalam jumlah berpatutan secara konsisten mampu meningkatkan tahap kesihatan terutama kesuburan lelaki.

Dr Ahmad Zharif berkata, ini kerana, kurma sangat kaya pelbagai nutrien yang sesuai untuk badan.

Namun jelasnya, banyak lagi kajian perlu dilakukan berkaitan kurma dan kesuburan lelaki pada masa hadapan. HM

Kurma dan kesuburan lelaki


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Terkini: Permohonan bantuan Laptop dan Tablet dibuka

Resepi Ayam Goreng Korea Super Rangup

Resepi bubur pedas Sarawak nang nyaman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker