Jangan sesatkan perkara tidak sesat
Jangan sesatkan perkara tidak sesat
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni
Memahami metode pendalilan ulama adalah satu perkara yang cukup penting. Kejahilan mengenainya akan menyebabkan kekacauan dalam sistem pengeluaran hukum, bahkan mengakibatkan kekeliruan serius dalam masyarakat. Telah dijelaskan sebelum ini tentang kaedah: ‘Hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang’ yang banyak digunakan oleh golongan Wahhabiyyah, namun tidak diterima oleh ulama Syafii secara umum. Ini kerana ia hanya melibatkan ibadah mahdhah (yang ditetapkan kaifiatnya) sahaja, bukan ibadah mutlaqah (yang tidak ditetapkan kaifiatnya).
Terdapat satu lagi kaedah yang sering menyebabkan perbenturan hukum iaitu kaedah yang diambil daripada hadis: “Sesungguhnya setiap yang baharu itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan lain-lain)
Kaedah ini juga banyak digunakan oleh golongan Wahhabiyyah, namun tidak diterima oleh ulama Syafii secara mutlak. Ini kerana hadis berkenaan hanya diterima sebagai kaedah umum (al-qawa’id al-kulliyyah) syarak sahaja, tetapi tidak diterima sebagai kaedah fiqah (al-qawa’id al-fiqhiyyah) yang membabitkan segenap masalah kecil mahupun besar. Justeru, ulama Syafii seperti Imam as-Subki dan Imam as-Suyuti tidak menjadikannya sebagai kaedah fiqah dalam kitab al-Asybah wa al-Naza’ir mereka.
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari turut mengkelaskan hadis ini sebagai kaedah syarak yang umum, katanya: “Ia adalah satu kaedah syarak yang umum daripada aspek laras bahasa dan konsepnya.
“Maksud sabdanya: ‘Setiap bidaah itu adalah sesat’ ialah apa yang diada-adakan, sedangkan tidak ada baginya sebarang dalil syarak, sama ada melalui dalil khas mahupun umum.”
Justeru, perkara baharu tidak terkeluar daripada syariat dan tiada dalil melarangnya, tidak dianggap sebagai bidaah yang sesat kerana itu, Imam as-Syafii membahagikan bidaah kepada dua bahagian, katanya: “Bidaah ada dua iaitu yang dipuji dan yang dikeji. Apa yang menepati sunah, maka ia dipuji. Dan apa yang menyalahinya, maka ia dikeji.”
Imam an-Nawawi dalam Tahzib al-Asma’ menukilkan: “Kata Imam as-Syafii: Perkara baharu ada dua. Pertama, apa yang diada-adakan yang menyalahi al-Quran, sunah atau ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat. Kedua, apa diada-adakan daripada perkara kebaikan yang tidak ada khilaf padanya bagi seorang ulama pun, maka ini adalah perkara baharu yang tidak dikeji. Kata Umar RA mengenai solat Tarawih: ‘Sebaik-baik bidaah, yang ini’, yakni ia perkara baharu yang belum pernah ada, namun apabila berlaku, ia tidak pun mengandungi sebarang penolakan terhadap perkara yang telah lalu.”
Jelasnya, sesuatu amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunah atau ijmak menurut Imam as-Syafii adalah harus. Ramai ulama memahami kaedah hadis tadi sebagai berbentuk umum yang dikhususkan. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’: “Ini adalah daripada perkara umum yang dikhususkan kerana bidaah ialah setiap perkara yang diamalkan yang tidak mengikut contoh terdahulu. Justeru menurut ulama, ia mempunyai lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.” Beliau merujuk kepada pembahagian bidaah oleh Imam Ibn ‘Abd as-Salam yang turut diperakukan oleh seluruh ulama Syafii bahawa sesuatu perkara baharu adalah tertakluk kepada hukum yang lima tersebut. Kefahaman ulama Syafii terhadap konsep bidaah ini adalah kefahaman muktabar yang patut dihormati.
Ini termasuk masalah ibadah mutlaqah yang mempunyai dalil atau keizinan umum daripada syarak. Kebanyakan persoalan khilafiah dan amalan ahli sufi adalah berdasarkan aspek ini seperti zikir, doa dan selawat atas Nabi SAW. Maka berasaskan kefahaman ini, dapat diketahui bahawa berselawat dengan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Syifa’ misalnya atau berzikir dengan lafaz ‘Allah’ atau ‘Hu’ (Dia) adalah harus dan tidak menyalahi al-Quran dan sunah.
Kata Imam Zarruq dalam Qawa’id at-Tasawwuf: “Keluasan syariat menghukumkan harus mengambil perkara yang jelas maknanya daripada segala zikir dan doa walaupun tidak sahih secara periwayatan, sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn al-‘Arabi dalam kitab as-Siraj dan lain-lain.” Selepas membawakan doa Abu ad-Darda’ RA dan doa dua sahabat RA yang mengandungi al-ism al- a’zam, beliau mengulas: “Ia menunjukkan bahawa setiap yang jelas maknanya dan didapati elok kandungannya adalah harus diambil terutama jika disandarkan kepada hukum asal yang syarie, seperti mimpi yang soleh atau ilham yang sabit keistimewaannya seperti Hizib as-Syazili, Hizib an-Nawawi dan lain-lain.”
Kejumudan Wahhabiyyah menuntut dalil khusus dengan kaedah fiqah yang sempit dikhuatiri hanya akan menyemarakkan fahaman ekstrem jika terus enggan bertoleransi dan memahami perbezaan metode yang berpaksikan kepada keluasan syariat Islam. HM
Jangan sesatkan perkara tidak sesat
Baca Artikel Menarik:
- KWSP: Kena ganti RM12,000 kalau keluarkan RM10,000?
- Muhyiddin minta sokong untuk jadi PM semula selepas tikam belakang saya
- Saifuddin akan cabar Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR
- Hadi dijangka bertemu Mahathir
- Khayla perlukan bantuan segera
- Kepala dipenggal, ditinggalkan atas kereta
- Ismail Sabri paling banyak terlibat urus COVID-19, dari Menteri Pertahanan hingga PM
- Terkejut Nampak Wanita Serba Putih Depan Rumah (Video)
- Kecewa isteri minta cerai, lelaki ambil semula hadiah perabot rumah
- Bomoh ‘halau’ hantu dari alat sulit wanita
- Dituduh rompak bank, bekas polis dakwa Rahim Noor, 4 pegawai lain ‘konspirasi’
- Jangan Arwahkan Mak Sendiri
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tengku Hassanal Kongsi Momen Bertemu Tengku Aleya, Sempat Kena ‘Sound’ Dengan Raja Permaisuri Agong
Resepi Ayam Masak Merah Ala Kenduri, Tak Guna Sebarang Sos Pun