Pembangkang tidak langgar MoU – Khairy

Pembangkang tidak langgar MoU – Khairy

Perbincangan Jemaah Menteri mendapati tindakan pembangkang tidak menyokong usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi di Dewan Rakyat, Rabu lalu, tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Jemaah Menteri sudah membincangkan perkara berkenaan pada Mesyuarat Kabinet, semalam, dan berpendapat MoU itu hanya terpakai kepada undang-undang atau rang undang-undang (RUU) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.



“Ia sama ada RUU Perbekalan atau usul tidak percaya. Kalau undang-undang biasa, ia tidak akan terpakai, termasuklah usul berhubung SOSMA ini.

“Mereka (pembangkang) cuma tidak menyokong usul dalam SOSMA itu, iaitu perlanjutan tempoh peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara. Bukannya mereka sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Malah, pembangkang juga menyebut bahawa mereka tidak bermaksud untuk menarik balik sokongan kepada MoU itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Community Health Agent (MyCHAMPION) Peringkat Kebangsaan 2022, di Sepang, hari ini.

Rabu lalu, usul terbabit gagal diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong dan 50 lagi tidak hadir.



Keputusan itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) berkenaan, mulai 31 Julai depan.

Subseksyen 4(5) SOSMA bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan bawah SOSMA hingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Sebelum ini, beberapa pihak dilapor menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang menolak usul berkenaan sebagai menunjukkan mereka melanggar MoU yang dimeterai dengan kerajaan, malah menyebabkan perjanjian itu terbatal serta membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan segera. BH

Pembangkang tidak langgar MoU – Khairy




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Proton Preve bakal diganti model baru



Wulan Guritno berani berbikini

Pendakwa kemuka 2 tuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker