Guan Eng diminta beri penjelasan berhubung skim Insurans B40

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan Great Eastern Holdings Ltd. belum bersedia membuat sumbangan RM2 bilion bagi mewujudkan Skim Insurans B40.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan mempersoalkan, siapa yang betul dalam perkara tersebut, adakah Guan Eng telah berbohong di Dewan Rakyat dan di hadapan jutaan rakyat Malaysia?

“Mungkin ramai tertanya kenapa Great Eastern Holdings Ltd. sanggup menyumbang? Adakah untuk CSR (tanggungjawab sosial korporat)? Laporan media sama mendedahkan, rupa-rupanya syarikat itu sedang berbincang dengan kerajaan bagi mendapat pengecualian daripada syarat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjual kepentingan 30 peratus kepada syarikat tempatan.

“Secara jelas, Great Eastern Holdings Ltd. memberitahu satu kaedah untuk mendapat pengecualian ialah dengan membuat sumbangan RM2 bilion. Nampak tak unsur `quid pro quo’ di situ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.



Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 berkata, Great Eastern bersetuju untuk mencarum RM2 bilion kepada dana pembangunan insurans.

Bagaimanapun, kelmarin, Great Eastern Holdings Ltd. mendakwa, pihaknya masih belum memberi kata putus berhubung sumbangan sebanyak RM2 bilion bagi memenuhi ketetapan pemilikan asing di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker