PAC akan panggil kementerian dan agensi 'bermasalah' jalani prosiding — MYKMU.NET

PAC akan panggil kementerian dan agensi ‘bermasalah’ jalani prosiding

Sebaran :

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan kementerian, jabatan, badan berkanun atau agensi yang akan dipanggil di hadapan jawatankuasa ini untuk menjalani prosiding, kata Pengerusi PAC, Wong Kah Woh.
Ia berikutan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 yang mengesan 11 isu punitif yang boleh disiasat pihak berkuasa.
Kah Woh berkata, PAC mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Audit Negara dalam menjalankan segala siasatannya melalui prosiding berdasarkan peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat 77(1)(c) dan Arahan Perbendaharaan 304(a).
“Selain itu, jawatankuasa ini juga membentangkan tiga laporan Tindakan Susulan Kementerian terhadap syor yang dibangkitkan dalam Laporan PAC membabitkan Tuntutan Tunggakan Bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 Bilion, kerugian pelaburan Khazanah Nasional dan Pembangunan Air Mobility,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, secara keseluruhan, LKAN 2019, aktiviti kementerian, jabatan Kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun persekutuan mengandungi 15 Laporan yang melibatkan 12 kementerian dengan 62 syor audit diberikan.
“Sementara untuk LKAN 2019 – Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan 2019, sebanyak 69 Sijil KAN telah dikeluarkan antaranya 51 Sijil Tanpa Teguran, 11 Sijil Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter (EOM) dan tujuh Sijil Berteguran,” tambahnya.
Dalam pada itu katanya, sepanjang tahun ini, PAC telah membentangkan lima laporan PAC dan empat daripadanya membabitkan isu yang dibangkitkan dalam LKAN Negara manakala satu lagi laporan adalah berdasarkan kepentingan awam.
Empat laporan berkenaan katanya, adalah Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), Aktiviti Kawalan Pekerja Asing serta Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS).
“Sementara laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah membabitkan kepentingan awam,” katanya.

Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: