Bubar parlimen: Parti kerajaan belum ada perbincangan – Tuan Ibrahim

PAS hari ini mengesahkan belum ada sebarang perbincangan untuk membubarkan parlimen dibawa kepada parti dalam kerajaan.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebarang langkah mencari kesepakatan bagi memohon pembubaran parlimen mestilah dirundingkan terlebih dulu sebelum dimuktamadkan.

“Keputusan (untuk membubarkan parlimen akan dibuat) bersama semua parti yang mendukung kerajaan.

“Ia akan dirunding bersama semua parti, dan setakat ini tiada perbincangan (mengenai hal itu) lagi,” katanya.

Terdahulu ahli parlimen Kubang Kerian itu diminta mengulas mengenai desakan segelintir pemimpin dan perwakilan Umno untuk membubarkan parlimen bagi menyegerakan pilihan raya umum.

Desakan itu dibuat secara agresif oleh beberapa pemimpin kanan Umno termasuk presiden dan timbalan presiden parti berkenaan.

Bagaimanapun sebelum keputusan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen dibuat, ia mestilah dibincangkan di peringkat kabinet bagi mendapatkan persetujuan.

Untuk rekod selain Umno, kabinet sekarang turut dianggotai wakil PAS dan Bersatu. Hubungan Umno dengan kedua-dua parti terbabit ketika ini adalah tegang.

Pada masa sama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sudah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Pakatan Harapan (PH), antara lain berjanji tidak akan membubarkan parlimen sehingga selepas 31 Julai ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas berakhirnya persidangan tahunan Umno 2021 pada 19 Mac lalu berkata, keputusan harus dibuat kabinet supaya perdana menteri dapat membawa cadangan membubarkan oarlimen kepada Agong.

Ahmad Zahid turut memaklumkan dia bersama lima pemimpin tertinggi parti akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berbangkit, termasuk usul pembubaran Parlimen.

Kerajaan sekali lagi didesak untuk membubarkan parlimen susulan kegagalan kerajaan meluluskan salah satu usul subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat, pada 23 Mac lalu.

Umno berhujah kerajaan tidak lagi terikat dengan MOU apabila pembangkang menggagalkan usul tersebut dengan kemenangan undi yang tipis.

Pun begitu pada 24 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik sebagai berkata MOU kerajaan-PH tidak akan tamat secara automatik.

Sebaliknya kata menteri yang mengelola hal ehwal undang-undang itu, ia akan berakhir jika mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Bubar parlimen: Parti kerajaan belum ada perbincangan – Tuan Ibrahim


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Proton Preve bakal diganti model baru

Wulan Guritno berani berbikini

Pendakwa kemuka 2 tuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker