Takut parlimen dibubarkan, PH beri jaminan akan sokong pindaan perlembagaan hari ini

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan kepada usul mengecualikan raja-raja Melayu dan keluarga mereka daripada pendaftaran automatik pengundi.

Rang undang-undang (RUU) berkenaan peruntukan itu dijangka dibentang dan diundi hari ini.

Jaminan itu diberikan pemimpin PH terbabit selepas kerajaan gagal mendapat sokongan mencukupi bagi meluluskan RUU bagi salah satu subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma di Dewan Rakyat semalam.

Sebanyak 84 ahli parlimen kerajaan menyokongnya tetapi diatasi dengan 86 undian blok pembangkang. Lima puluh lagi ahli parlimen lain tidak hadir atau undi mereka tidak diambil kira kerana lewat masuk ke dewan.

Antara ahli parlimen kerajaan yang tiada semasa pengundian dijalankan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Najib Razak (BN-Pekan) dan Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Walaupun usul berkenaan ditolak, kerajaan boleh saja mengemukakan semula usul berkenaan sekali lagi untuk diundi apabila yakin mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Kata Loke PH memberikan jaminan untuk menyokong RUU berkaitan raja-raja Melayu bagi membolehkan kerajaan mendapat undi dua per tiga anggota dewan dan meminda perlembagaan.

“Kita mahu supaya Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu berada di atas politik. Ini prinsip yang dipakai.

“Tambahan pula tidak elok untuk nombor kad pengenalan mereka dipaparkan kepada umum,” katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat.

Tambah ahli parlimen Seremban itu lagi RUU terbabit sudah dibincangkan dan dipersetujui PH sebelum dibentangkan, justeru ia menepati kehendak memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani PH dan kerajaan.

Hal itu kata Loke berbeza dengan RUU mengenai subseksyen Sosma yang tidak dirundingkan dengan PH terlebih dahulu.

Selepas gagal mendapat sokongan Dewan Rakyat semalam, Umno mendakwa PH melanggar MOU yang ditandatangani tahun lalu, dan kerana itu parlimen boleh dibubarkan.

Untuk rekod melalui MOU berkenaan kerajaan berjanji tidak akan membubarkan parlimen sehingga 31 Julai ini.

Kata Loke, kegagalan RUU di Dewan Rakyat semalam tidak membuat Ismail Sabri Yaakob hilang kepercayaan ke atasnya sebagai perdana menteri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker