PRN Johor MCA dan MIC perlu menang besar

MCA dan MIC harus membuktikan yang mereka tidak hanya bergantung pada sokongan pengundi Melayu untuk menang pada PRN Johor kali ini, kata penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi.

Katanya, kedua-dua parti itu harus kembali melunaskan tanggungjawab besar mereka dalam gabungan BN, iaitu menarik pengundi kaum Cina dan India.

Menurutnya, ia harus dibuktikan dalam PRN kali ini sebagai tanda parti mereka sudah pulih dan bangkit daripada hilang kepercayaan kaum berkenaan.

“(Sebaliknya) Mereka dilihat terlalu bergantung pada pengundi Melayu, yang (akibatnya) menunjukkan bahawa tanpa mereka pun, Umno boleh menang (dengan sokongan orang Melayu),” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, bagi membuktikan kebangkitan semula mereka sebagai komponen BN , MCA dan MIC harus menang besar pada PRN Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini.

“MCA dan MIC mempunyai peluang untuk membuktikan sejauh mana mereka sudah bangkit. Mereka perlu buktikan yang mereka tidak sangat bergantung pada undi Melayu, sedangkan undi Cina misalnya sudah lari daripada MCA kepada PH (Pakatan Harapan).

“Ini yang perlu dibuktikan. Kalau mereka berjaya teruji dengan kemenangan yang lebih separuh misalnya (daripada kerusi yang ditandingi), itu barulah (boleh dikatakan) kebangkitan.

“Kalau setakat menang tiga atau empat kerusi sahaja (bagi MCA sebagai contoh), saya kira itu bukanlah tanda pemulihan dan kebangkitan yang besar,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum (PRU) 2018, MIC bertanding empat kerusi DUN di Johor dan berjaya menang dua daripadanya.

MCA pula bertanding di 15 kerusi, dan kalah di kesemua kerusi – 13 daripadanya tewas kepada DAP.

Bagi PRN Johor pula, Umno pada mulanya berniat bertanding di 42 daripada 56 kerusi dipertandingkan, dengan menyasarkan kerusi-kerusi tradisi MCA dan MIC.

Pun begitu, setelah “rundingan sukar” yang melarat hingga ke lewat pagi, hasrat itu dibatalkan dan Umno membenarkan MCA dan MIC mengekalkan jumlah kerusi sama ditandingi mereka pada PRU2018, manakala Umno memperoleh tambahan dua kerusi Gerakan.

Akhirnya, Umno meletakkan calon di 37 kerusi manakala MCA dan MIC masing-masing mengekalkan 15 dan empat kerusi, sekaligus menyaksikan rancangan Umno untuk meletakkan calon daripada parti sekutu bukan BN seperti Parti Malaysia Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia dan Kongres India Muslim Malaysia tidak menjadi kenyataan.

Mengulas hal itu, kata Awang Azman, dia difahamkan yang rundingan tersebut melibatkan desak-mendesak bahkan ugut-mengugut, sehinggakan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad beralah bagi mengelakkan berlakunya protes atau boikot dalam gabungan.

Ulasnya, MCA dan MIC mendapat keyakinan baru setelah berjaya menang dalam PRN Melaka tahun lalu – MCA dua kerusi dan MIC satu kerusi – yang membuatkan mereka semakin yakin untuk mempertahankan kerusi tradisi mereka.

Umno tidak mahu dilihat sebagai pembolot

Bagi felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Azmi Hassan, Umno beralah kepada MCA dan MIC atas dua faktor.

Faktor pertama, ia tidak mahu dilihat sebagai pembolot, sebaliknya mahu dilihat sebagai parti yang bertolak-ansur dan tidak terlampau dominan dalam BN.

Keduanya, Umno menaruh keyakinan yang tinggi kepada penyokong Umno sendiri untuk membantu menyokong MCA dan MIC dalam PRN Johor.

“Sebab itu sebelum ini terdapat ura-ura ada beberapa bahagian di Johor mahukan kerusi MCA, kerana Umno tahu kemenangan MCA dulu adalah kerana penyokong Umno.

“Tetapi dalam hal ni, Umno mengalah,” katanya lagi.

Azmi melihat perkembangan itu – memberikan peluang lebih luas kepada MCA dan MIC – sebagai strategi Umno untuk membina kerajaan negeri yang dianggotai pelbagai kaum yang boleh diterima rakyat, sebagai persediaan dalam menghadapi PRU15.

“Apa yang dipelajari di Melaka itu adalah kejutan boleh berlaku, di mana MCA dan MIC mengalahkan DAP di kerusi kuat DAP.

“Dalam hal ini, ini adalah percaturan strategi Umno di Johor supaya boleh dibawa ke hadapan untuk PRU,” katanya.

Dalam PRN Melaka, BN menang 15 daripada 28 kerusi.

Daripada jumlah itu, MCA menang dua kerusi daripada tujuh yang ditandingi mereka, manakala MIC menang di satu-satunya kerusi yang mereka pertaruhkan calon.

Disoal perbezaan sikap MIC yang agak diam kini berbanding ketika parti itu dilihat menyokong Perikatan Nasional (PN), kata Awang Azman, hal itu antaranya disumbangkan oleh kejayaan BN dalam PRN Melaka.

Meskipun daripada segi nisbah kemenangan, kejayaan BN itu bukanlah satu kemenangan yang terlalu besar, katanya, MIC memilih untuk berpaut pada momentum positif berkenaan demi kepentingan parti berkenaan.

“Apabila mereka melihat Umno betul-betul all out, bergerak secara keseluruhan dan membuktikan mereka berjaya bangkit (dalam PRN Melaka), MIC dalam satu ketakutan (jika) mereka ditinggalkan, digantikan dengan parti lain seperti Parti Malaysia Makkal Sakti dan sebagainya,” katanya lagi.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker