Banglo mewah di kawasan elit jadi pusat judi dalam talian

Banglo mewah di kawasan elit jadi pusat judi dalam talian

Jika sebelum ini sindiket perjudian dalam talian menjadikan kondominium dan residensi mewah sebagai pusat panggilan mereka, kini mereka beralih ke banglo mewah di kawasan elit.

Ini terbukti apabila Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, menggempur sebuah banglo mewah dua tingkat di Jalan U-Thant, di sini, pada jam 3 petang tadi yang dijadikan pusat perjudian dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata serbuan ke atas banglo disewa RM20,000 sebulan itu dilakukan berdasarkan maklumat awam sebelum pihaknya menjalankan risikan di kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan ini, polis menahan 33 lelaki rakyat tempatan dan dua wanita warga China berusia antara 18 hingga 48 tahun yang mengendalikan aktiviti perjudian dalam talian serta penipuan berbentuk pelaburan.

“Semua suspek dipercayai menjadikan banglo mewah ini sebagai markas operasi pusat panggilan mereka sejak hujung tahun lalu dengan pelbagai sistem router dan wifi yang boleh menghalang aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya selepas serbuan berkenaan.

Mohamad Noor berkata, pada masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan dalang utama kepada sindiket berkenaan.

Katanya, sindiket ini menyasarkan pemain judi dalam talian di dalam dan luar negara untuk membuat pertaruhan serta menjadikan mangsa warga tempatan dan luar negara terbabit kegiatan penipuan pelaburan.

“Berdasarkan maklumat serbuan di Jalan U-Thant ini juga, polis menyerbu satu lagi unit kediaman di Taman Tasik Titiwangsa dan memberkas 12 individu dipercayai rangkaian kepada sindiket yang diserbu sebelum itu.

“Pihak kami sentiasa komited mengesan dan membanteras sebarang elemen perjudian dalam talian meskipun sindiket menggunakan pelbagai taktik dan cara bagi mengelak aktiviti mereka dikesan seterusnya dibanteras,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 42 komputer dan 256 telefon bimbit digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian serta penipuan dalam pelaburan dirampas.

Tinjauan BH mendapati keadaan dalam banglo itu sangat kotor dengan setiap bilik tidur menempatkan antara 12 hingga 15 ahli sindiket yang menjalankan kegiatan mereka selama 24 jam sehari.

Sehubungan itu, D7 meminta masyarakat setempat dan orang awam sentiasa menyalurkan maklumat bagi memastikan aktiviti mereka dibanteras sepenuhnya. BH


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker