Kawalan pintu masuk negara sangat mencabar – MAQIS

PUTRAJAYA – Menurut Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman, negara masih lagi bergantung kepada pengimportan produk pertanian dan makanan dalam menampung keperluan negara antaranya daging lembu dan kambing, makanan ternakan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Adalah amat penting bagi Maqis memastikan mekanisme kawalan ke atas keluaran pertanian yang diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit serta semestinya halal bagi produk haiwan dan hasilannya dan tidak menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh, bagi sektor pertanian, Maqis mengawal ketat sebarang kemasukan mangga import terutama dari negara negara luar di pintu masuk kerana ancaman perosak ‘mango seed weevil’.

“Penyakit ini disebabkan oleh sejenis kumbang perosak yang biasanya boleh ditemui dalam biji buah mangga berkenaan dan sekiranya tidak dikawal, industri harumanis yang diusahakan di Perlis boleh lumpuh,” katanya.

Tambahnya, begitu juga dengan sektor penternakan iaitu ancaman dengan kemasukan ternakan lembu dari luar negara yang mungkin boleh membawa pelbagai penyakit ternakan.

“Sebagai contoh, pada pertengahan tahun 2021, negara telah dikejutkan dengan kemasukan penyakit LSD atau dikenali dengan lumpy skin disease yang disebabkan oleh virus Capripox. Penyakit ini berpunca daripada ternakan lembu yang dibawa masuk dari negara sempadan.

Maqis memeriksa setiap kontena yang membawa produk pertanian di pintu masuk negara.
Maqis memeriksa setiap kontena yang membawa produk pertanian di pintu masuk negara.

“Maqis telah mengesan kes LSD pada ternakan lembu susulan daripada pemeriksaan fizikal yang dijalankan semasa tempoh kuarantin. Penyakit ini boleh merebak dengan kehadiran vektor seperti lalat dan nyamuk hingga boleh menjejaskan industri ternakan,” katanya.

Jelas beliau lagi, selain itu, Maqis mengawal ketat sebarang kemasukan anjing dan kucing dari negara luar bagi mengawal penularan penyakit rabies atau anjing gila.

Ujarnya, penyakit ini bersifat zoonotik iaitu boleh menjangkiti manusia melalui gigitan anjing atau kucing yang mengandungi virus Rabies pada air liur hingga boleh membawa maut.

Tegas beliau, Maqis semestinya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan dalam mengawal aspek biosekuriti dan keselamatan agromakanan negara.

“Kita juga berharap agar semua pemain industri pertanian dan agromakanan yang terlibat menjalankan aktiviti import, eksport dan transit untuk sentiasa cakna berhubung keperluan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran urusan perdagangan.

“Perancangan sebelum menjalankan aktiviti perdagangan agromakanan perlu dibuat sebaiknya,” ujarnya.

Katanya lagi, kesalahan yang berlaku di bawah Akta 728 ini, apabila disabitkan, boleh dikenakan tindakan perundangan iaitu denda sehingga tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya tertakluk kepada jenis kesalahan di bawah seksyen tertentu.

“Selain itu, Akta 728 juga memperuntukkan tindakan pengkompaunan kesalahan sebagai salah satu langkah memberi peringatan kepada pemain industri yang tidak mematuhi akta berkenaan,” katanya.

DIMAKI

Sementara itu, kata Shamsul Akbar, ancaman terhadap anggota bertugas sudah tentu berlaku dalam mana-mana agensi penguat kuasa.

“Mereka sentiasa terdedah dengan isu berkaitan keselamatan dan ancaman.

“Di peringkat Maqis, ancaman boleh berlaku tidak kira di setiap lapisan jawatan dan sebagainya.

“Saya tetap mengingatkan mereka bahawa tugasan yang perlu dijalankan mesti mengikut prosedur dan punca kuasa yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan kita sentiasa dilindungi di bawah perundangan sekiranya berlaku sebarang masalah dan tidak melangkaui punca kuasa hingga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada mana-mana pihak,” jelasnya.

Ujar beliau, berdepan dengan kata kesat dan provokasi adalah lumrah dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

“Perkara itu biasa dan sebagai penguat kuasa, kami akan jalankan tugas dengan profesional,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SEARCH Tua bangka, tapi tamak haloba – Awie

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker