Ini soal politik bukan agama

Ini soal politik bukan agama

Oleh Mohsin Abdullah

Pilihlah perkataan mana untuk menggambarkan hubungan Umno-PAS sekarang. Pertelingkahan, pergeseran, pergaduhan, persengketaan. Apa pun. Yang jelas ia semakin menjadi-jadi. Pertikaman lidah antara pemimpin bertambah pedas dan panas tetapi sehingga mencapai tahap “kebudak-budakan”.



Contoh. Hadi Awang ibaratkan Umno itik patah kaki yang tak kenang budi. Zahid Hamidi kata eloklah Presiden PAS itu tukar profession jadi ahli zoologi kalau minat sangat dengan binatang. Presiden Umno itu merujuk kegemaran Hadi guna istilah binatang apabila menyampai hujah. (Selepas itik beliau bercakap mengenai jerung. Ahli parti yang tergoda ubah hala tuju PAS akan disambar jerung, katanya)

Ketua Pemuda PAS pula kata Zahid “ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudian sihat sejahtera memikul beras”. Kita fahamlah maksudnya itu. Ahmad Fadhil Shaari juga bertanya “adakah Datuk Seri (Zahid) yang sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas”. Menyindir Zahid murid Anwar Ibrahim yang baharu dikritik pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Banyak lagi “serangan” tetapi cukuplah setakat ini untuk saya merumuskan “name calling” itu semua “childish”.

Muncul anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, dengan harapan hubungan Umno-PAS yang beliau samakan dengan “hubungan adik-beradik” akan “reda dan kembali jernih” biarpun sekarang panas dan tegang ekoran berbalas serangan.



Kata beliau lagi, “musuh Islam tentunya sangat gembira melihat terlerainya perpaduan ummah“ .

Bagi saya, ini bukan mengenai “musuh Islam”. Tidak ada “musuh Islam” dalam konteks ini. Yang ada “musuh politik”. PAS dan Umno parti politik. Lalu mereka ada musuh politik. Semua ini ialah mengenai politik, bukan agama. Bukan soal pro-Islam, anti-Islam.

Imbau kembali ketika Umno dan PAS mula berjinak-jinak pada 2019. Kata pemimpin kedua-dua parti ialah jika dua parti itu bersatu “kita akan menang pilihan raya akan datang”. Untuk menguatkan pendapat itu mereka memaparkan jumlah undi yang diperolehi PAS dan Umno ketika berdepan pada PRU14.

Jika dicampurkan undi yang PAS dan Umno dapat ketika itu kata mereka, jumlahnya melebihi undi yang dimenangi Pakatan Harapan “di banyak kawasan”.



Oleh itu, logiknya menurut mereka, jika Umno dan PAS bergabung dan bertanding sebagai satu entiti maka jumlah undi yang sama akan diberi kepada mereka oleh orang yang dahulunya mengundi Umno atau PAS. Maksudnya pengundi Melayu, dan dengan itu kemenangan akan diraih pada pilihan raya mendatang yakni PRU15.

Itu premisnya Umno dan PAS mengorak langkah berdamai sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional. “Perpaduan ummah” menyentuh penyatuan orang Melayu-Islam adalah retorik. Ia slogan. Ia sebenarnya strategi untuk menang pilihan raya. Ertinya untuk mencapai kejayaan politik. Hatta pihak yang tidak mahu strategi itu berjaya ialah musuh politik PAS dan Umno. Bukan musuh Islam.

Jika PAS dan Umno yakin akan strategi itu, maka makbulkanlah harapan Nasaruddin dan berdamai. Ambil kira pelbagai aspek, antaranya disenaraikan seperti berikut:

Adakah undi yang diperolehi oleh PAS dan Umno pada 2018 akan diraih semula? Adakah logik bahawa berdasarkan trend dulu, undi PAS dan undi Umno dikumpul boleh memberi kemenangan kepada calon mereka di setiap kawasan yang ditandingi?



Memang orang Melayu suka apabila orang Melayu bersatu tetapi menurut beberapa badan penyelidik, tren mengundi orang Melayu berbeza-beza tertakluk kepada kawasan – dalam bandar, luar bandar, Rancangan Felda, dan sebagainya. Usia, pekerjaan, pendidikan jua mesti diberi perhatian.

Pengundian mereka (sebenarnya semua pengundi, bukan Melayu sahaja) dipengaruhi isu semasa dan calon. Itu antara faktor menyumbang.

Faktor sama juga terpakai untuk semua pengundi tetapi buat artikel dan konteks PAS-Umno, tumpuan diberi kepada tren pengundi Melayu.

Satu isu yang sangat penting untuk diatasi Umno dan PAS ialah pengagihan kerusi. Siapa tanding? Dengan ambil kira apa yang mereka sifatkan kerusi tradisional masing-masing, siapa yang mesti beralah, siapa yang mengalah? Ini semua sudah maklum. Tidak perlu kita jadi pakar politik untuk tahu ini isu hangat dan amat susah untuk ditangani.



Ada orang kata PAS memilih berbaik dengan Bersatu pun kerana lebih senang berunding mengenai kerusi dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu berbanding dengan Umno. Tidak perlulah saya huraikan apa yang ramai sudah maklum.

Beralih pula soal ideologi dan strategi parti. Umno tahu sokongan semua bangsa diperlukan untuk memerintah negara. PAS juga tahu. Cuma tindakan dan tingkah laku mereka bukan sahaja kerap menyinggung perasaan rakyat bukan Melayu Islam tetapi juga menakutkan mereka.

Berdasarkan itu sokongan Sarawak khususnya dan Sabah sukar diperolehi. Umno akan terkesan kerana berganding dengan PAS. Tanpa sokongan blok Borneo, lupakan impian memerintah Malaysia.

Cukup setakat ini isu dan masalah yang mesti diselesaikan Umno-PAS apabila (jika) berbaik semula melalui MN. Bercakap mengenai MN, peranan Bersatu mesti mereka tangani.



Saya tidak bercadang mengajar PAS dan Umno. Mereka lebih bijak dan arif akan permasalahan yang dihadapi dan harus diharungi. Tetapi apabila melihat apa yang sedang berlaku ke atas PAS dan Umno teringat saya akan perbualan dengan penulis politik veteran Mohd Sayuti Omar ketika menulis satu artikel pada Mac 2019.

Waktu itu Umno dan PAS baharu mengumumkan kolaborasi. Saya tanya beliau adakah apa yang tercapai Umno dan PAS sesuatu kekal atau sebaliknya. Apa yang terjalin, jawab beliau, bersifat sementara. Kata beliau ini kerana kerjasama itu berlandaskan “balas dendam dan kemarahan, bukan idealism sebuah perjuangan yang sama”.

Setuju atau tidak terpulang. Yang nyata “ramalan” yang beliau buat pada 2019 ada di depan mata kita pada 2022.

Namun kita sedar dalam politik semua boleh berlaku. FMT

Ini soal politik bukan agama


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SEARCH Tua bangka, tapi tamak haloba – Awie

Suami isteri ditangkap basah?

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Melati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker