Perluas sistem solar PV bantu penjimatan bil elektrik rakyat

Perluas sistem solar PV bantu penjimatan bil elektrik rakyat

Oleh Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed

MUTAKHIR ini terdapat perbahasan hangat mengenai kadar tarif elektrik baharu bagi tempoh 2022 hingga 2024.

Ada beberapa perkara berlaku baru-baru ini yang memberikan tekanan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) antaranya peningkatan harga arang baru global secara signifikan.

Harga arang batu melonjak untuk mencatatkan harga tertinggi pada AS$270 (RM1,131) satu tan pada Oktober lalu dan berada pada AS$203 (RM851) satu tan setakat 10 Januari lalu.

Harga ini berkait rapat dengan peningkatan secara signifikan permintaan terhadap arang batu, namun pengeluarannya masih terhad jika dibandingkan permintaan.

Harus ditekankan Malaysia amat bergantung kepada arang batu dan gas asli yang menjana hampir 93 peratus elektrik di Semenanjung, kos yang membentuk hampir 65 peratus peratus daripada tarif elektrik asas pada masa ini.

Malaysia juga terpaksa bergantung dengan negara luar dengan membeli sebahagian besar keperluan arang batu dari Indonesia (63 peratus), diikuti Australia (24 peratus); Russia (11 peratus) dan Afrika Selatan (2 peratus).

Perkara ini bukan sahaja berlaku di negara ini, bahkan impaknya turut dirasai negara lain disebabkan kenaikan harga arang batu itu. Contohnya, di Jerman, harga elektrik melonjak kepada paras tertinggi dalam sejarahnya, iaitu melebihi enam kali ganda berbanding setahun lalu.

Bahkan negara jiran kita, iaitu Singapura juga dijangka menaikkan tarif elektrik dan gas pada suku pertama tahun ini yang tarif elektrik sebelum tujuh peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan meningkat secara purata 5.6 peratus atau S$0.0133 (3 sen) setiap kilowatt jam (kWj) daripada paras suku tahun keempat 2021.

Seterusnya perkara lain memberikan tekanan tambahan kepada TNB adalah kos membaik pulih tiang elektrik dan pembekalan peralatan TNB lain yang rosak disebabkan bencana banjir sebelum ini yang menelan kos ratusan juta ringgit.

Kos membaik pulih ini ditampung TNB dan berjaya ditanganinya serta bekalan elektrik di lokasi terjejas banjir pulih, iaitu yang menggunakan aliran biasa dan jana kuasa mobil.

Walaupun TNB berhadapan pelbagai tekanan dan cabaran, kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan ketika ini dengan mengambil kira negara berhadapan pelbagai ujian dan rintangan tanpa henti daripada bermulanya krisis kesihatan pada 2020 hingga terbaru dilanda bencana alam, iaitu banjir luar biasa yang menjejaskan kehidupan rakyat, terutama M40 dan B40.

Berdasarkan jumlah keseluruhan pengguna elektrik di seluruh negara, iaitu 10 juta, 85 peratus daripadanya pengguna domestik dan selebihnya komersial dan industri.

Oleh itu, adalah diharapkan agar kadar tarif elektrik baharu bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk kategori B40 dan M40 perlu diturunkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan seperti sebelum ini.

Juga boleh dipertimbangkan untuk memberikan rebat menerusi peruntukan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), terutama kepada mangsa banjir masih belum pulih sepenuhnya daripada bencana dialami berkenaan.

Dalam konteks industri yang memperoleh keuntungan luar biasa daripada krisis kesihatan dan bencana alam dihadapi, di sinilah pertimbangan perlu dibuat kerajaan dalam meningkatkan kadar tarif elektrik.

Ada industri mengaut keuntungan luar biasa disebabkan krisis kesihatan dan bencana alam memerlukan kerajaan untuk meningkatkan tarif elektrik agar dapat mengimbangi rebat yang boleh diberikan kepada B40 dan M40 khususnya mangsa banjir serta mengimbangi tekanan kenaikan harga arang batu global.

Malah, sejak dua tahun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri bervoltan tinggi ini juga menikmati rebat 2 sen/kWj seperti pengguna awam. Maka, amat wajar pengguna komersial seperti ini membantu menyerap kos bahan api melambung tinggi ketika ini.

Namun, dalam jangka panjang, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperluaskan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) dengan mengenal pasti mekanisme bersesuaian agar mampu untuk digunakan sebahagian besar rakyat, termasuk B40 dan M40.

Contohnya, TNB baru-baru ini dengan kerjasama strategik bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal melaksanakan pemasangan sistem solar berkapasiti 16.18MWp di 16 lokasi sekitar universiti itu dan bakal menikmati penjimatan bil elektrik RM114 juta selama 25 tahun.

Perkara sama juga akan berlaku kepada isi rumah yang bil elektrik akan turun secara signifikan dan memberikan kesan positif dalam jangka panjang menerusi pemasangan sistem solar PV.

Sungguhpun ketika ini, kos pemasangan sistem solar PV agak tinggi, sekiranya kerajaan dapat mengenal pasti mekanisme khusus dari segi pengurusan kos untuk memasang sistem solar PV di rumah dengan kos mampu dibayar bulanan, ia satu langkah perlu diperluaskan.

Hal ini supaya dalam jangka panjang, ia akan dapat meringankan beban rakyat, terutama B40 dan M40 untuk membayar bil elektrik dengan kadar lebih rendah. Ia juga secara tidak langsung akan dapat membantu TNB dalam mengurangkan kebergantungan kepada sumber arang batu daripada negara luar yang ketika ini amat mengikat TNB untuk menjana elektrik ke seluruh negara. BH

Penulis adalah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Perluas sistem solar PV bantu penjimatan bil elektrik rakyat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Perluas sistem solar PV bantu penjimatan bil elektrik rakyat

Suspek samun, tikam pemandu Grab diberkas (Video)

GV bukan ‘apak’ saya punya – Ramli MS

Perlu bantuan: Bapa tak mampu tampung kos ubat anak RM66,000 setahun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker