‘Pancing’ gaji RM500 sehari

‘Pancing’ gaji RM500 sehari

Peluang dan skop kerja ditawarkan terlalu mudah selain pencari kerja ditawarkan komisen dan gaji bulanan tinggi tidak munasabah mencecah lima angka sebulan dengan hanya membeli produk ditawarkan.

Malah, ‘majikan’ yang menjanjikan peluang pekerjaan tidak wujud itu dikesan menggunakan platform e-dagang untuk memperdaya ribuan belia dan graduan seluruh negara yang terdesak sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Taktik baharu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) apabila pihaknya menerima banyak laporan menggunakan modus operandi tawaran kerja tidak wujud sejak awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Willie Richard berkata, pihaknya menerima 225 laporan berkaitan sindiket penipuan pekerjaan menggunakan nama dua platform e-dagang popular iaitu Shopee dan Lazada membabitkan kerugian RM4.6 juta bagi tempoh 2019 hingga Oktober tahun lalu.

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami dapati terdapat trend peningkatan kes penipuan tawar pekerjaan menerusi platform e-dagang.

“Ini kerana sindiket penipuan semakin licik menyasarkan individu terdesak mahu mendapatkan wang,” katanya.

Menurutnya, kesukaran mendapatkan pekerjaan ketika PKP diambil peluang sindiket tertentu yang mengeksploitasi situasi dihadapi mangsa untuk menjana wang mudah hasil penipuan dilakukan.

Willie berkata, berdasarkan serbuan dilakukan pihaknya sebelum ini, polis mengesan pusat panggilan diwujudkan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini menghubungi mangsa menerusi mesej di aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya menawarkan pekerjaan sambilan dengan pendapatan antara RM200 hingga RM500 sehari.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu tidak perlu pergi ke pejabat sebaliknya diminta menyertai kumpulan sembang WhatsApp untuk diberikan taklimat skop kerja mereka. Mangsa diberi pautan produk yang perlu dibeli menerusi platform e-dagang itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan komisen lapan peratus daripada jumlah harga produk dibeli dengan membuat pembayaran menerusi akaun bank diberi sindiket.

“Sindiket berusaha meyakinkan mangsa pembelian itu cara meningkatkan jumlah pembelian produk mereka di platform e-dagang, sekali gus mampu menarik lebih ramai pembeli.

“Pembelian dilakukan hanya membabitkan transaksi wang tanpa pemberian barang. Mangsa dijanjikan menerima semula wang pembelian produk dengan tambahan komisen lapan peratus selain ditugaskan mencari lebih ramai pelanggan yang berminat menyertainya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, mangsa hanya diberi tugasan membeli produk murah sebelum diminta membeli barangan di dalam e-dagang pada harga lebih mahal.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa menerima semula wang pembelian mereka berserta komisen bagi pembelian produk yang murah di peringkat awal. Namun mangsa menyedari ditipu selepas membeli produk lebih mahal,” katanya.

Katanya, orang ramai perlu ingat platform e-dagang tidak pernah menjanjikan untuk memberikan komisen serta membayar semula pembelian bagi setiap barangan yang dibeli.

Pinjam keluarga lepas wang RM42k lebur

Kuala Lumpur: Seorang guru bukan sahaja kehilangan wang simpanannya, malah terpaksa berhutang dengan ahli keluarga selepas wang berjumlah lebih RM42,000 lebur ditipu sindiket tawar kerja di platform e-dagang.

Mangsa mendakwa diperdaya selepas dijanjikan kerja sambilan dengan keuntungan lumayan melalui pembelian barang di sebuah platform e-dagang.

Mangsa berusia 30-an mendakwa terjebak dalam penipuan itu selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dari kenalan media sosial.

Wanita itu mendakwa ditawarkan komisen lima peratus bagi setiap tugasan pembelian barangan menerusi platform e-dagang.

Difahamkan sindiket menghantar gambar barangan perlu dibeli menerusi WhatsApp kepada mangsa.

Mangsa diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank milik individu tertentu bagi setiap tugasan dilakukan.

Pada peringkat awal, mangsa menerima bayaran gaji berserta komisen bagi tiga tugasan pertama.

Namun selepas melakukan empat tugasan membabitkan pembelian barangan bernilai RM42,000, mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima pulangan.

Nasib sama menimpa seorang graduan berusia 20-an apabila wang miliknya serta ahli keluarga berjumlah RM41,000 lesap selepas ditipu sindiket.

Mangsa memaklumkan tertarik iklan kerja sambilan di Facebook sebelum berurusan dengan dengan seorang individu berkaitan kerja ditawarkan berkenaan.

Menurut wanita terbabit, dia menerima bayaran berserta komisen dijanjikan bagi tiga tugasan pertama membeli barangan di plafform e-dagang menyebabkan dia yakin untuk melakukan tugas seterusnya.

Namun mangsa mula tidak menerima pembayaran dijanjikan bagi 12 tugasan seterusnya membabitkan wang lebih RM41,000 yang diserahkan dalam transaksi ke dalam akaun bank milik beberapa individu.

Platform e-dagang nafi tawar kerja guna kaedah pesanan

Waspada berikutan platform e-dagang tidak pernah menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai menerusi pesanan pembelian barangan.

Shopee dalam satu kenyataannya kepada Harian Metro baru-baru ini, memaklumkan pihaknya menyedari kewujudan beberapa pihak menyamar sebagai pekerja dan rakan kongsi platform e-dagang berkenan.

“Kami ingin menjelaskan Shopee tidak menawarkan peluang pekerjaan melalui platform pesanan.

“Selain itu, Shopee tidak meminta bayaran pendahuluan atau deposit sebagai kriteria bekerja dengan kami,” katanya.

Katanya, Shopee bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan untuk menangani sindiket penipuan pekerjaan dalam talian berkenaan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap sindiket penipuan ini.

“Jika ditawarkan peluang pekerjaan mencurigakan atau menjadi mangsa sindiket penipuan seperti ini, sila hubungi balai polis berhampiran dan buat laporan polis dengan segera,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi platform e-dagang, Lazada memaklumkan pihaknya tidak melantik sesiapa untuk mengambil pekerja melalui mesej seperti modus operandi dilakukan sindiket penipuan pekerjaan.

“Susulan penularan Covid-19, ramai orang yang terkesan termasuk kehilangan pekerjaan, namun situasi itu diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu orang lain yang mahu mendapatkan kerja.

“Adalah dimaklumkan Lazada ingin tidak menggaji sesiapa mengambil pekerja melalui mesej.

“Malah, kami mahu menjelaskan tidak ada mana-mana pihak mahupun individu di Lazada berperanan sebagai ejen pembelian dalam talian,” katanya. dalam kenyataan,” baru-baru ini.

Menurutnya, Lazada juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu dalam isu berkenaan.

“Kami meminta orang ramai untuk terus berwaspada dan menyedari penipuan itu dan menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat laporan dengan segera jika anda didekati atau ditawarkan peluang pekerjaan yang meragukan ini,” katanya.

Helah naikkan rating sebelum kebas duit

Kes pertama

Seorang pesara swasta berusia 60-an rugi hampir RM60,000 selepas ditawarkan kerja sambilan untuk menaikkan rating belian penjualan produk di platform e-dagang.

Mangsa dimaklumkan kerja sambilan membabitkan tugasan membeli barangan daripada pautan di platform e-dagang sebelum dijanjikan bayaran wang gaji serta komisen.

Lelaki itu mula percaya dengan tawaran itu selepas dua tugasan dilakukannya diberikan bayaran serta komisen dijanjikan.

Mangsa menyedari ditipu selepas 11 kali membeli barangan RM60,000 dipindahkan ke akaun bank milik enam individu tidak dikenali.

Kes kedua

Seorang eksekutif berusia 30-an rugi RM44,000 selepas ditipu kenalan menawarkan kerja sambilan dengan membeli barangan di platform e-dagang.

Mangsa diberi pautan menyertai tugasan pembelian barangan di sebuah platform e-dagang dan dijanjikan bayaran harga barangan dibeli berserta komisen.

Mangsa melakukan beberapa transaksi pembayaran ke dalam akaun bank milik empat individu.

Mangsa yang gagal memperoleh bayaran menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.

Kes ketiga

Seorang wanita berusia 20-an rugi RM24,000 selepas ditipu sindiket menawarkan kerja sambilan menaikkan rating penjual melalui kaedah membeli barangan di platform e-dagang.

Mangsa tertarik tawaran kerja sambilan berkenaan di Instagram sebelum menghubungi nombor telefon tertera pada iklan.

Mangsa percaya dengan helah itu apabila dia menerima bayaran bagi harga barang serta komisen bagi dua tugasan awal.

Dia memasukkan wang RM24,000 ke dalam dua akaun bank berbeza melalui enam transaksi. Mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima pembayaran dijanjikan. HM

‘Pancing’ gaji RM500 sehari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda dituntut bayar ganti rugi RM900,000 dan mohon maaf dalam 7 hari

Kata dua Aaron Aziz kepada Aliff Aziz

Pendayung solo rentas Atlantik maut di tengah laut [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker