Larangan mahukan kematian dalam Islam

Larangan mahukan kematian dalam Islam

Dr Khairul Ashraf Nathir

SETIAP kesusahan tidak boleh diakhiri dengan kematian yang dianggap penyelesaian kepada semua perkara.

Hakikat kehidupan manusia di dunia ada yang manis, ada yang pahit, ada yang selalu dalam kegembiraan, ada yang terpalit kesusahan dan ada yang dalam keadaan sederhana sepanjang masa. Namun setiap apa yang ditentukan oleh Allah SWT pasti tidak lain tidak bukan untuk menguji hamba-Nya, yang manakah betul-betul beriman dan amalan yang paling mulia di sisi Allah.

Walaupun keadaan kehidupan kita semakin pulih daripada kesusahan yang melampau dua tahun kebelakangan ini, namun, setiap kesusahan tersebut tidak boleh diakhiri dengan kematian yang dianggap penyelesaian kepada semua perkara. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya, janganlah setiap kamu mahukan kematian kerana adanya sesuatu kesusahan hidup yang menimpanya. Apabila dia memang mahukan kematian tersebut, hendaklah dia berkata: “Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Janganlah setiap kamu meminta kematian sebelum ajal menjemputmu kerana apabila seseorang kamu meninggal dunia, maka amal kebaikanmu akan terputus, sedangkan tujuan Allah memanjangkan usia seseorang mukmin adalah menambah kebaikan mukmin itu sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, kehidupan manusia atas dunia adalah bersifat sementara dengan jangka masa yang sangat pendek. Sekiranya panjang umur, maka ambil peluang untuk sentiasa melakukan kebaikan sebagai saham utama di alam barzakh kelak. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu semua mengharapkan kematian, kerana jika dia adalah orang yang suka melakukan kebajikan, maka boleh jadi dia akan terus menambah kebaikan atau jika dia adalah orang yang sentiasa melakukan perbuatan dosa, maka boleh sahaja dia bertaubat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kematian bukanlah penutup segala masalah yang dihadapi di atas dunia ini, bahkan perjalanan manusia di alam barzakh adalah penuh berliku menuju ketempat kekal abadi. Alam dunia adalah destinasi ketiga manusia selepas alam roh dan alam rahim. Maka ketika berada di alam dunia ini sahajalah manusia perlu untuk melakukan sesuatu kebaikan yang akan memberikan kesenangan di alam barzakh, mahsyar, hisab, titian sirat, telaga khautar, syafaat Baginda Nabi SAW seterusnya ke syurga.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah kamu mahukan kematian kerana keadaan kematian itu merupakan sesuatu yang amat dahsyat. Apabila seseorang hamba diberi usia panjang, Allah memberi kesempatan untuk bertaubat kepadanya.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar, hadis ini bertaraf dhaif)

Kematian bukan sekadar lenyapnya seseorang itu dan tidak akan ada lagi kejadian setelah itu, tetapi kematian adalah terputus atau terpisahnya hubungan antara roh dengan badan, bertukar atau berpindahnya sesuatu keadaan kepada keadaan yang lain, suatu tempat kepada tempat yang lain dan kematian adalah satu musibah paling besar.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu daripada kaum kerabat dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa.” (Surah Al-Ma’idah ayat 106)

Terdapat perkara yang lebih dahsyat daripada kematian iaitu lalai dalam menghadapi kematian, berpaling dan hanya sedikit mengingati kematian, serta meninggalkan amalan soleh yang merupakan bekalan yang besar selepas kematian. Bahkan pada kematian terdapat pesanan serta pelajaran bagi orang yang berfikir.

Kesempatan bertaubat untuk memohon keredaan Allah SWT

Keredaan Allah SWT hanya boleh diperoleh melalui taubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa yang lalu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi daripada orang-orang yang diterima permohonannya.” (Surah Fussilat ayat 24)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Abdullah At-Tastari, dia berkata: “Mahukan kematian adalah dilarang. Kecuali bagi tiga jenis orang iaitu orang yang tidak mengetahui apa yang akan berlaku setelah kematian, orang yang lari daripada takdir Allah SWT dan Orang yang amat ingin sekali berjumpa dengan Allah SWT.”

Diriwayatkan bahawa Malaikat maut datang menemui Khalilullah (Ibrahim AS) untuk mencabut nyawanya, lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Malaikat Maut, pernahkah kamu melihat seorang sahabat yang mahu mencabut nyawa sahabatnya sendiri? Mendengar kata-kata itu, Malaikat Maut kembali menemui Allah SWT. Allah SWT lalu berkata kepada Malaikat Maut: “Adakah kamu pernah melihat seeorang yang tidak gembira bertemu dengan sahabatnya? “Setelah Malaikat Maut kembali menemui Ibrahim dan menyampaikan kata-kata Allah SWT kepdanya. Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian cabutlah nyawaku saat ini juga.”

Abu Darda menyatakan bahawa kematian yang menimpa diri seseorang Mukmin tujuannya adalah baik. Allah SWT berfirman maksudnya: “Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) daripada Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).” (Surah Ali Imran ayat 198)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Surah Ali Imran ayat 178)

Justeru, sebanyak manapun ujian dan cabaran yang ditempuhi di atas dunia, kesemuanya untuk meningkatkan darjat dan ketakwaan seseorang. Dengan ujian itu jugalah, gugurnya dosa-dosa yang sentiasa dilakukan. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Larangan mahukan kematian dalam Islam
Larangan mahukan kematian dalam Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Larangan mahukan kematian dalam Islam


Waze punya pasal terpaksa terokai hutan

Tony Fernandes dan Kamarudin terima gaji lebih RM14j tahun lalu

Baby Shima kena kecam lagi goyang pinggul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker