PRN Johor: MKT beri lampu hijau buat UMNO Johor

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi sekarang.

Kedudukan parti pemerintah berkelebihan 28 kerusi berbanding 27 dalam blok pembangkang dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Keyakinan UMNO juga dilihat dari sudut kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka, November lalu selepas menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menyakinkan parti itu bahawa sokongan rakyat sudah berubah berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, senario keputusan PRN Sarawak yang memperlihatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 82 yang dipertandingkan turut memberi isyarat jelas daripada pengundi yang dikatakan menolak blok pembangkang.

Pada masa ini spekulasi PRN Johor akan diadakan selewat-lewatnya sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang bermula pada 16 Mac ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemimpin kanan parti itu berkata, dalam mesyuarat malam tadi (kelmarin), sebahagian besar ahli MT cenderung ke arah PRN kali keempat sejak PRU-14 termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Jelas pemimpin berkenaan, UMNO akan menggunakan strategi sama seperti di PRN Melaka iaitu bertanding sendiri tanpa parti-parti lain.

“Dalam mesyuarat malam tadi (kelmarin), mereka menyatakan sokongan untuk PRN Johor. Konsep yang ingin digunakan adalah sama, iaitu UMNO akan bertanding sendiri dan tiada kerjasama dengan mana-mana parti lain.

ADUN PH Johor mahu jadi pembangkang sampai habis penggal

“Menteri Besar Johor pun cakap dengan penuh yakin untuk mengadakan PRN Johor. Cuma sekarang kena tunggu perkenan daripada Sultan sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isnin lalu Hasni dilapor menafikan akan membuat pengumuman mengadakan PRN dalam tempoh terdekat dan menegaskan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kepada kerajaan negeri goyah.

Namun, beliau mengakui ‘tidak suka’ dengan majoriti satu kerusi DUN yang dimiliki gabungan yang membentuk kerajaan negeri sekarang.

Mengulas lanjut, sumber berkata, dalam mesyuarat kelmarin, terdapat beberapa bantahan dikemukakan beberapa ahli MT dengan menjelaskan fokus harus diberi kepada kebajikan rakyat yang menghadapi wabak Covid-19 dan bencana banjir yang menimpa kini, bukan kepada PRN Johor.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga ahli MT lain yang menyatakan pilihan terbaik adalah memberikan mandat kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk memutuskannya.

Terdahulu, khabar angin mulai tersebar mendakwa PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Dalam pecahan itu, UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), Parti Amanah Negara (enam), MIC (dua) dan Pas (satu). – UTUSAN

PRN Johor: MKT beri lampu hijau buat UMNO Johor


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Abu Syafiq minta Idris siasat Tuan Ibrahim dulu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker