Omicron semakin menular di Malaysia, jangan leka!

SHAH ALAM – Negara telah merekodkan sebanyak 122 kes penularan varian Omicron sejak pertama kali ia dilaporkan di Malaysia pada 3 Disember lalu.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dan persoalan orang ramai adakah Malaysia akan kembali dalam keadaan seperti yang dilalui dua tahun lalu?

Pada Selasa, negara merekodkan sebanyak 58 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 54 kes merupakan jangkitan import manakala empat lagi adalah penularan tempatan.

Kedah mencatatkan empat penularan kes pada hari yang sama menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes.

Beliau berkata, keempat-empat kes adalah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang pulang dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember lalu sebelum disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember 2021.

Daripada 58 kes yang dilaporkan pada Selasa, Khairy memaklumkan kes import melibatkan jangkitan dari Arab Saudi (39), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), United Kingdom (empat), Nigeria (dua) dan masing-masing satu dari Kazakhstan serta Perancis.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan 122 kes Omicron yang dilaporkan dalam negara, 71 kes membabitkan jemaah umrah.

Sebelum ini, susulan peningkatan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi, kerajaan telah mengumumkan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari depan.

Situasi itu mencetuskan rasa sedih dan meruntun hati terutamanya mereka yang sudah membuat tempahan ke Tanah Suci, lagi pula ia melibatkan sejumlah wang yang besar sebagai persiapan untuk ke sana.

Bagaimanapun, Khairy pada Rabu dijangka membentangkan laporan terperinci berhubung keputusan penangguhan umrah dan isu Covid-19 terutama berkaitan penularan varian Omicron dalam Mesyuarat Khas Kabinet.

Dalam hal ini, banyak aspek yang perlu diambil kira kerana situasi ini bukan hanya melibatkan kerugian wang pihak tertentu bahkan nyawa, jadi kerajaan diharap dapat memikirkan satu alternatif yang sewajarnya berhubung perkara tersebut.

Omicron semakin menular di Malaysia, jangan leka!


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Azad tanya KJ, beli peranti digital dekat Shopee ke?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker