Mi segera buluh laku keras, jual 720 bungkus sehari

BEBERAPA pekerja mencurahkan kuah mi segera yang dimasak menggunakan buluh ke dalam mangkuk di premis Megi Dapur Arang Jijo di Tok Jembal di Kuala Nerus, Terengganu.

KUALA NERUS: Seorang peniaga mencipta kelainan dengan memperkenal mi segera yang dimasak dalam buluh bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedainya di Tok Jembal, di sini ketika musim tengkujuh.

Nur Shella Abdullah, 27, berkata, menu baharu itu mulai dijual di premis Megi Dapur Arang Jijo sejak bulan lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, idea kreatif tersebut dicetuskan suaminya, Wan Ahmad Faizul Wan Ahmad Azhar, 29, yang sebelum ini mengetengahkan menu mi segera kelapa muda selain hidangan terlaris mereka, mi segera dapur arang.

“Suami dapat idea secara spontan selepas melihat buluh lemang yang lazimnya banyak terdapat pada Hari Raya Aidilfitri. Selepas beberapa kali percubaan, akhirnya kami berani memperkenal mi segera buluh kepada pelanggan.

“Aromanya lebih istimewa dan berlemak berbanding hidangan yang dimasak menggunakan dapur arang dan rata-rata pelanggan teruja mencuba menu ini kerana tidak pernah dijumpai di mana-mana,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Nur Shella, setiap hidangan buluh dikenakan harga tambahan sebanyak RM6 bergantung kepada menu yang menjadi pilihan pelanggan sama ada mi segera biasa dengan telur, ayam, sotong, udang galah, udang kara, ketam, ikan tenggiri atau ikan yu.

Sementara itu, Wan Ahmad Faizul bersyukur kerana perniagaan yang diusahakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 itu mampu bertahan hingga kini, dengan purata kira-kira 720 bungkus mi segera laris setiap hari.

“Walaupun musim tengkujuh tetapi jumlah pelanggan tidak terjejas berkemungkinan kerana menu mi segera ini sesuai dinikmati pada keadaan cuaca sejuk dan digemari semua peringkat usia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Mi segera buluh laku keras, jual 720 bungkus sehari


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker