Polis Kedah keluar 397 saman ambang tahun baru

Sebaran :

ALOR SETAR: Polis Kedah mengeluarkan 397 saman terhadap pengguna jalan raya dalam Op Khas Sempena Tahun Baru 2022, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat, antara kesalahan yang dilakukan termasuk lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh, penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spefikasi ditetapkan serta penggunaan lampu HID.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi undang-undang.

“Banyak saman yang berkaitan dengan lesen kenderaan tamat. Ini mungkin disebabkan mereka masih menganggap bahawa tak perlu lagi bayar cukai jalan, tetapi sebenarnya buat masa sekarang, cukai jalan mestilah dibayar.



“Kerana, kita dapati, rata-rata termasuk pemandu e-hailing juga, ada yang cukai jalan kenderaannya tidak dibayar.

“Jadi, jika berlaku kemalangan dan sebagainya, akan menyebabkan tak dapat dituntut (insuran) dan sebagainya. Dia sendiri yang rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Op Khas Ambang Tahun Baru 2022 di sini, malam tadi.

Kesemua kesalahan diambil tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Memandu Secara Melulu Dan Merbahaya), Seksyen 45A (1) APJ 1987 (Memandu Dibawah Pengaruh Alkohol Melebihi Had Dalam Badan) dan Seksyen 186A Kanun Kesiksaan (Menghalang Penjawat Awam Menjalankan Tugas).



Jelas Kamarul Zaman, objektif utama operasi berkenaan ialah memfokuskan kepada mengurangkan kadar kemalangan, terutama kemalangan maut selain penguatkuasaan kepada samseng jalanan melibatkan aktiviti lumba kereta dan motosikal.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan PDRM Kedah akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas, selain mengawal ketenteraman trafik yang diselaraskan dengan prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, rondaan serta pemantauan pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) sambutan ambang Tahun Baru 2022 di Dataran Bandar di sini mendapati, rata-rata orang ramai mematuhi arahan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang datang seawal jam 11 malam dengan memakai topeng pelitup muka dan penjagaan jarak.



Jelas Kamarul Zaman, terdapat pembakaran bunga api namun pihaknya tidak mengambil tindakan kerana ia merupakan acara persendirian yang tidak melibatkan berkumpul beramai-ramai.

Polis Kedah keluar 397 saman ambang tahun baru


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.