Malaysia dilanda bah

EMOSI rakyat Malaysia sekali lagi diuji apabila pelbagai kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara dilanda banjir setelah hampir dua tahun kacau-bilau berterusan akibat pergolakan politik serta Covid-19.

Ketakutan yang dirasai ketika paras air meningkat di dalam rumah dan kejiranan perumahan adalah sebagaimana yang ditunjukkan di media sosial telah memusnahkan bukan sahaja perabot dan kenderaan, malah tinggalan warisan keluarga serta pelbagai dokumen penting.

Kesedihan melanda apabila penilaian kerosakan dilakukan di rumah dan di pejabat, dengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan serta perniagaan lumpuh akibat komputer yang tenggelam, barangan digenangi air dan akses terhalang oleh pelbagai objek dibawa arus.

Paling menyedihkan adalah berita mengenai ramai yang terkandas berhari-hari tanpa akses kepada air minuman, makanan, sanitasi atau tempat berteduh.

Gambar warga emas dan haiwan peliharaan terkandas di atas bumbung atau pelampung buatan turut menyumbang kepada kemarahan awam dan menyebabkan mereka mengambil tindakan sendiri.

Kini tidak lagi mengejutkan apabila pihak bukan kerajaan adalah antara yang terawal tiba di lokasi kejadian, mengagihkan bantuan dan bekalan menggunakan jip, bot mahupun kayak.

Anggota kerabat diraja sama ada mewakili badan bukan kerajaan (NGO) atau dengan mengenakan beret tentera mereka, telah membekalkan pelbagai sumber dan perhatian kepada kawasan terjejas di setiap negeri yang ditenggelami air.

Beberapa syarikat mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja mereka, manakala syarikat insurans pula pantas dalam melunaskan tuntutan insurans.

Rumah-rumah ibadat turut kelihatan dalam memberi bantuan terutama Gurdwara Sahib Petaling Jaya dalam menyediakan makanan dan Masjid Bandar Bukit Raja yang memberikan tempat perlindungan.

Namun, semua itu tidak terlepas daripada tindakan beberapa pihak yang cuba mencetuskan perbalahan dan perpecahan.

Beberapa ahli Parlimen dan parti politik turut memberikan bantuan sewajarnya walaupun tindakan beberapa orang menteri menggunakan penyapu dan penembak air atau mengadakan majlis pelancaran dilengkapi dengan latar pentas untuk mengumumkan bantuan telah mengundang kritikan.

Ketika bencana, media sosial boleh menjadi agak keterlaluan dalam memuji pihak yang kelihatan ikhlas dan mengecam pihak yang seolah-olah menunjuk, malah acap kali dipengaruhi oleh pendapat sedia ada terhadap individu.

Hanya komuniti terlibat yang mengetahui kebenarannya. Pada masa sama, ramai yang mahu menyumbang akan mengambil keputusan bahawa mengumpul dana atau mewujudkan platform dalam talian untuk perkongsian data akan lebih memberi kesan berbanding hanya muncul di lokasi semata-mata.

BERCELARU

Orang ramai berpandangan bahawa respons rasmi oleh pihak kerajaan adalah bercelaru dan menunjukkan ketidakcekapan bermula daripada komunikasi kepada rakyat sehingga memberikan bantuan bekalan.

Peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan hubungannya dengan pihak tentera yang lebih berpengalaman dalam memberikan tindak balas segera dalam situasi kecemasan telah dipersoalkan, manakala ahli politik tidak mengambil masa yang lama untuk menyalahkan antara satu sama lain.

Nadma juga telah dipersenda di laman Twitter apabila pengguna memberikan akronim alternatif dalam bahasa Melayu, Apekebenda. Semua itu menggariskan kepentingan peranan membuat dasar dalam merancang pihak yang mempunyai kuasa ketika kecemasan.

Kita menyangka Covid-19 akan menjadi pemangkin kepada perkara tersebut tetapi malangnya tidak. Badan-badan pemikir akan mengulangi seruan terhadap penyahpusatan kuasa membuat keputusan dan kejelasan dalam rantaian perintah serta berharap para menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bekerja ke arah menambah baik dasar dan perundangan.

Dalam memperkatakan hal itu, dasar dan perundangan yang lebih penting adalah mencegah berlakunya bencana sebegini.

NGO-NGO alam sekitar dengan tepat telah menunjukkan kesan perubahan iklim tetapi sejak dahulu lagi masalah asas dalam memastikan sistem saliran dan pembendungan air yang betul amat kurang.

Hal itu sama ada disebabkan oleh dasar yang lemah atau diabaikan kerana ahli politik dan pengawal selia mengambil rasuah atau turut sama bersekongkol dengan pembalak atau pihak pemaju.

Namun, penting untuk kita tidak memukul rata semua orang. Ada sebahagian yang bukan sahaja mematuhi, malah melangkaui keperluan undang-undang dengan cara menyumbang kepada penyelesaian mampan.

TADBIR URUS

Menyelesaikan masalah tersebut secara keseluruhannya memerlukan pengukuhan aspek-aspek asas tadbir urus.

Disebabkan inilah wujudnya hubung kait antara pencegahan bencana dan ketelusan, antirasuah, penelitian Parlimen, kebebasan media dan juga masyarakat sivil yang sihat.

Sepanjang minggu lalu, saya telah berbicara dengan ramai orang yang telah mendedikasikan masa dan sumber mereka untuk membantu mangsa bencana banjir. Mereka mengungkapkan satu semangat Malaysia yang bersatu padu, tabah dan amat bangga dapat menyumbang kepada mereka yang bernasib malang tinggal di kawasan kerap dilanda banjir.

Namun, mereka tidak mempunyai kuasa dalam menentukan dasar yang mampu mencegah banjir berlaku pada masa hadapan. Di saat bencana sebegini semakin kerap berlaku, para pemimpin harus mengambil iktibar atau bersedia menjadi mangsa, bukan sahaja bencana yang mereka cipta, malah kekalahan dalam arena politik juga.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker