Anwar bawa kes cabar keabsahan darurat ke Mahkamah Persekutuan
Anwar bawa kes cabar keabsahan darurat ke Mahkamah Persekutuan
Lima wakil rakyat, termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, membawa kes ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar pengisytiharan darurat dan ordinan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong awal tahun ini bagi memerangi wabak Covid-19.
Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Anwar berkata, anak guamnya memfailkan lapan persoalan undang-undang minggu lepas bagi mendapatkan kebenaran daripada mahkamah tertinggi untuk mendengar merit permohonan itu.
“Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan menetapkan pengurusan kes pada 26 Jan,” katanya kepada FMT.
Pemohon mesti memuaskan hati mahkamah dengan merangka persoalan perundangan dan perlembagaan baharu yang membabitkan kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama seperti yang dikehendaki bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.
Sementara itu, peguam Christopher Leong yang mewakili Ahli Parlimen Hassan Karim (Pasir Gudang), Salahuddin Ayub (Pulai) dan Johari Abdul (Sungai Petani) serta ADUN Tebing Tinggi (Perak) Abdul Aziz Bari berkata, semua mereka turut memfailkan permohonan kebenaran minggu lepas.
Semuanya mengemukakan dua persoalan undang-undang lazim.
Pada 24 Nov, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kelima-lima individu berkenaan dengan mengatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu walaupun kebenaran diberikan kepada pemohon.
“Ia adalah sia-sia kerana mahkamah dilarang mempersoalkan keputusan Agong untuk mengisytiharkan darurat dan ordinan bawah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan,” kata Has Zanah Mehat, yang mengetuai panel tiga hakim bersidang.
Katanya, Perkara 150(8) dan (9) menyentuh kuasa Agong untuk mengisytiharkan darurat dan ordinan, dan Parlimen telah mengecualikan permohonan semakan kehakiman mengenai perkara itu.
“Ini menghalang mahkamah daripada mendengar sebarang cabaran undang-undang terhadap pengisytiharan darurat dan ordinan,” katanya selain menambah bahawa pindaan perlembagaan pada 1981 untuk memasukkan Fasal 8 adalah sah.
Beliau berkata, perkataan dalam Fasal 8 adalah sangat jelas untuk melindungi keseluruhan proses penelitian kehakiman atas sebarang alasan.
Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Hassan memfailkan permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Salahuddin, Johari dan Aziz memfailkan permohonan bersama di Kuala Lumpur.
Mereka berkata, nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, dan Jemaah Menteri kepada Agong melanggar undang-undang dan tertakluk kepada cabaran undang-undang.
Menurut Anwar, pentadbiran Muhyiddin boleh menggunakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit untuk memerangi wabak, bukannya Ordinan Darurat.
Mereka yang lain juga mencabar pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN). FMT
Anwar bawa kes cabar keabsahan darurat ke Mahkamah Persekutuan
Baca Artikel Menarik :
- Berlakon Bantu Mangsa Banjir, Sila Kembali Ke Hollywood – TMJ
- 2 ADUN Warisan keluar parti ikut langkah 3 ADUN sebelum ini
- Aksi rehat separuh masa pertama rentap nyawa pemain
- Majlis kahwin artis disiasat langgar SOP
- Taikun Cina rakan kongsi Mahathir – Najib
- Paru-paru Ebby Yus mungkin perlu ditebuk
- Kucing setia menunggu di pusara tuannya
- Tiada tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM?
- Badrul Muhayat nafi melarikan anaknya
- KL Sentral Pasti Sunyi Tanpa Busking Dari Abang Meor, Pemergiannya Buat Ramai Sedih [VIDEO]
- Saya bukan sengaja memakai kostum Captain America bantu mangsa banjir
Layari Laman Facebook MYKMU</a