Perbicaraan Kes Rasuah: Guan Eng terima gaji, elaun hampir RM45,000 sebulan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu diberitahu bahawa Lim Guan Eng menerima gaji termasuk elaun hampir RM45,000 sebulan ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bermula 2008.

Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Mohd Farulizam Che Meh, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi dalam perbicaraan kes rasuah Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang membabitkan Guan Eng di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mohd Farulizam yang juga saksi ke-20 berkata, Guan Eng merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang bermula 11 Mac 2008 hingga 14 Mei 2018 dan seorang anggota Pentadbiran Negeri kerana dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).



“Gaji hakikinya ialah sebanyak RM14,175 manakala jumlah elaun yang diterima mencecah RM30,200.

“Beliau juga ada mengisytiharkan harta dan pendapatan sampingannya di portal web Pulau Pinang,” katanya.

Mohd Farulizam berkata, Guan Eng telah dipilih sebagai ADUN Air Puteh atas tiket DAP, selama tiga penggal manakala Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal.

Sementara itu, saksi ini turut diminta untuk mengesahkan beberapa dokumen antaranya Dokumen Rekod Perkhidmatan ADUN bagi penama Lim Guan Eng oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Francine Cheryl.



Mohd Farulizam berkata, pada tahun 2015 hingga 2020, dia diberi tugas antaranya menyelaraskan majlis pelantikan Ketua Menteri, Exco dan ADUN malah ia termasuk urusan gaji, elaun, kemudahan Ketua Menteri, Exco dan ADUN.

Mahathir gesa bincang peranan raja berperlembagaan

Dalam pada itu, selepas dua hari perbicaraan kes ini berlangsung tanpa kehadiran Guan Eng, mahkamah diberitahu bahawa ahli politik berusia 61 tahun itu sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Ahad lalu.



Peguam Haijan Omar yang mewakili Guan Eng berkata, perbicaraan esok akan diteruskan dengan kehadiran anak guamnya.

“Prosiding akan diteruskan esok dan beliau baru sahaja keluar daripada wad,” katanya, selepas ditanya oleh Hakim Azura, sama ada Guan Eng boleh hadir ke perbicaraan esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.



Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Azura bersambung esok.

Perbicaraan Kes Rasuah: Guan Eng terima gaji, elaun hampir RM45,000 sebulan




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Zeti harus bertanggungjawab!



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker