Judi, arak bukan isu politik

AGAK menarik isu judi dan arak berlarutan sehingga dipolitikkan walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah berlalu. Sebenarnya kerajaan pimpinan Keluarga Malaysia ingin membentuk budaya nilai-nilai murni dan harmoni dalam masyarakat majmuk.

Maka tidak salah bagi kerajaan mengehadkan dan mengetatkan kawalan ke atas penjualan sebarang minuman beralkohol yang boleh dianggap sebagai arak di tempat awam. Malahan tidak salah juga mengawal dan menghentikan aktiviti penjualan judi sama ada secara sah atau haram terutama di negeri-negeri yang mana majoriti adalah masyarakat Islam. Mungkin tindakan ini dianggap terlalu keras tetapi sebenarnya ini memberikan kebaikan kepada awam.

Bayangkan sejak beberapa tahun lalu, banyak kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk. Ada juga ketagihan arak sehingga ke tahap menagih dadah. Ini memang berlaku terutama dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ramai yang ketagihan arak dan pada masa sama menghadapi tekanan hidup telah mengambil dadah.

Insiden ini juga menyebabkan meningkatnya kadar prevalens penyalahgunaan dadah bermula dengan ketagihan arak. Bagi ketagihan judi boleh dianggap sebagai satu gejala sosial yang amat parah terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Disebabkan faktor ketiadaan pekerjaan atau pendapatan berkurangan telah menjerumuskan sebahagian anak-anak muda ke dalam kancah perjudian untuk mendapatkan wang segera. Akhirnya, ramai mempunyai keberhutangan tinggi sehingga ada dalam kalangan mereka telah diisytiharkan bankrap.

Jadi, tidak menghairankan saban tahun kadar yang bankrap dalam kalangan anak-anak muda semakin meningkat. Malahan aktiviti ketagihan perjudian ini turut dikaitkan dengan pengabaian ke atas kehidupan keluarga. Ini mendatangkan masalah serius dalam budaya hidup sihat masyarakat.

Untuk menunjukkan keprihatinan ke atas kehidupan masyarakat Keluarga Malaysia, seboleh-bolehnya kerajaan ingin melaksanakan satu Dasar Penerapan Budaya Nilai-nilai Murni dalam aspek kehidupan bermula dengan kawalan ke atas arak dan judi. Ini tidak bermakna kerajaan mengabaikan aspek-aspek gejala sosial seperti pesta liar dan aktiviti tidak bermoral lain.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah masyarakat bukan Islam perlu memahami tindakan kerajaan ke atas dua isu ini bukan mencerminkan kehendak untuk menghalang sesuatu yang dianggap sebagai lumrah budaya mereka. Sebahagian besar masyarakat bukan Islam akan berfikir secara rasional bahawa budaya hidup sihat adalah menjalani kehidupan yang bermoral dan tidak memberikan bebanan kepada masyarakat.

Mungkin judi dan arak yang dianggap sebagai satu budaya dilihat dengan satu perspektif hedonis sebenarnya boleh diubah dan dikurangkan agar generasi akan datang tidak lagi mewarisi elemen-elemen budaya tidak sihat. Mungkin sebahagian besar orang bukan Islam bersetuju sekiranya sebuah masyarakat yang mempunyai budaya nilai-nilai murni tidak akan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti arak dan judi.

Mungkin juga sebahagian masyarakat bukan Islam akan sedar bahawa nilai wang yang dihabiskan untuk arak dan judi jika digunakan kembali untuk kegunaan pembangunan keluarga masing-masing akan lebih memberikan impak positif. Adakah tindakan mengawal dan mengehadkan aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti arak dan judi ini boleh memberikan satu pandangan iaitu mampu membawa sinar harapan kepada mereka yang menjadi mangsa di atas situasi yang berlaku tersebut?

Ramai tidak tahu ada dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa di atas faktor situasi tersebut telah pun mengalami isu penceraian dan penderaan. Kita tidak boleh menafikan hak dan suara mereka yang menjadi mangsa di atas ketagihan arak dan judi.

Mangsa ini bukan setakat datang dari masyarakat bukan Islam tetapi turut melibatkan sebahagian kecil masyarakat Islam. Jadi, tindakan kerajaan ini tidak boleh ditafsirkan hanya dituju kepada masyarakat bukan Islam.

Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, untuk memastikan tiada sesiapa yang ditinggalkan dalam kehidupan ini, tidak salah kerajaan melaksanakan tindakan kawalan lebih tegas ke atas penjualan arak dan menghentikan lesen judi yang sah. Langkah ini baru permulaan untuk memerangi aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Melalui langkah ini juga turut membantu memerangi aktiviti-aktiviti penyalahgunaan bahan-bahan terlarang seperti dadah, vape, pod dan sebagainya. Sudah tiba masanya pertubuhan bukan kerajaan perlu menyokong langkah kerajaan ini supaya tidak dilihat sebagai alat pempolitikan daripada pihak tertentu.

Jika gagal dalam mengekang aktiviti-aktiviti judi dan arak, apa yang ditakuti ialah kita akan berdepan dengan satu isu paling serius dalam membina Wawasan Kemakmuran Bersama, iaitu kejatuhan nilai-nilai moral dan kemanusiaan dalam generasi anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara nanti. Mungkin hari ini kita tidak mengendahkan seruan usaha membentuk budaya nilai-nilai murni dengan bermulanya mengawal dan menghentikan aktiviti-aktiviti ketagihan judi dan arak.

Namun, perlu diingat, aktiviti-aktiviti ketagihan judi dan arak ini adalah seperti sebuah bom jangka. Jika tidak dipandang dengan serius akan memberikan implikasi buruk ke atas masa depan negara.

Sebahagian daripada kita tidak tahu berapa banyak peratusan anak-anak muda yang terjebak dalam aktiviti tersebut dengan berkembang pesatnya teknologi. Langkah terbaik adalah usaha mendidik untuk membentuk kesedaran ke atas keburukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral dari peringkat sekolah rendah lagi.

Kita tidak mahu melihat angka mereka yang terjebak dengan ketagihan judi dan arak yang boleh membawa kepada aktiviti penyalahgunaan dadah semakin hari semakin meningkat dan akhirnya kita sesal tiada kesudahan.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Judi, arak bukan isu politik


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MLM 2021: Bahye bakal juara?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker