PAC Diketuai DAP Bagi Maklumat Separuh Benar Banyak Yang Salah
Oleh Nurul Aisyah
BUKAN lagi rahsia parti DAP sangat benci kepada Barisan Nasional yang menjadi batu penghalang kekuasaan mereka. Bagi DAP sangat mudah, untuk hancurkan Barisan Nasional(BN), mereka perlu “lumpuhkan” Datuk Seri Najib Tun Razak. Cuma mereka terlepas pandang bahawa tindakan melampau tersebut menyebabkan sokongan rakyat kembali semula kepada BN dan DS Najib.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diketuai DAP membuat kesimpulan semalam bahawa mereka syaki pembelian tanah oleh BNM dari kerajaan pada tahun 2017 di bawah kerajaan BN adalah untuk mendapat dana bagi pembiayaan Pelan Rasionalisasi 1MDB. DAP dilihat tidak akan melepaskan peluang untuk “mengenakan) DS Najib.
Mereka membuat kesimpulan ini kononnya setelah mendakwa harga yang dibayar BNM untuk tanah seluas 55.8 ekar adalah lebih tinggi iaitu RM2.07 bilion berbanding penilaian JPPH sebanyak RM1.42 bilion. Adakah harga tanah itu benar-benar bernilai RM584 untuk satu kaki persegi (RM1.42 bilion bagi 55.8 ekar) seperti penilaian JPPH yang didakwa PAC?
Sedangkan harga tanah Kampung Bharu pun sudah melebihi RM1,000 satu kaki persegi? Tambahan pula, lokasi strategik ini bukan dijual kepada pihak swasta. Tanah tersebut itu masih milik kerajaan bawah BNM. Tanah seluas 55.8 ekar itu memang bersebelahan dengan Museum BNM, Sisana Kijang milik BNM dan Asean School of Business yang juga milik BNM serta Sogo dan Kompleks Pertama di tengah Kuala Lumpur.
Jadi, adakah harga tanah itu benar-benar bernilai RM584 untuk satu kaki persegi (RM1.42 bilion bagi 55.8 ekar) seperti penilaian JPPH yang didakwa PAC?
Ini sebenarnya usaha DAP untuk meneruskan propaganda yang dimainkan mereka sejak tahun 2017 sebelum PRU14.
Memetik sumber, tohmahan PAC yang diketuai DAP dilihat berniat jahat dan tidak telus. Fakta yang perlu kita ketahui, jika kerajaan BN dahulu perlu dana untuk “menyelamatkan” 1MDB, kita tidak perlu menjual tanah pada harga lebih mahal pada BNM.
Sebab BNM adalah milik kerajaan, kita cuma perlu minta BNM bayar dividen tahunan lebih tinggi kepada kerajaan. Sebagai contoh dividen dibayar BNM pada tahun 2017 adalah RM2.5 bilion berbanding dividen tahun 2019 sebanyak RM4 bilion dan RM3.5 bilion bagi tahun 2020.
Ataupun kita boleh jual aset Khazanah Nasional seperti aset melebihi RM30 bilion dijual kerajaan PH selepas PRU14.
Atau ambil dari Petronas sebagai dividen. Kerajaan BN meninggalkan rizab tunai RM173 bilion semasa PRU14 dan hanya ambil dividen sebanyak RM16 bilion pada tahun 2016 dan 2017 – berbanding dividen RM24 bilion (2018), RM54 bilion (2019) dan RM34 bilion (2020).
Atau pinjam dan naikkan hutang negara seperti kenaikan hutang negara sebanyak RM300 bilion dari RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 bawah kerajaan BN dahulu berbanding hutang RM985.9 bilion pada hari ini.
Jadi, buat apa kita nak menyusahkan diri dengan mengambil dana tambahan sebanyak RM650 juta dengan menjual tanah dengan harga RM2.07 bilion berbanding nilai RM1.42 bilion yang dakwa DAP?
Bukan seperti penjualan aset negara berpuluh-puluh bilion kepada pihak swasta seperti dibuat oleh kerajaan PH dahulu, pembayaran dividen Petronas melebihi RM137 bilion atau penambahan hutang negara sebanyak RM300 bilion selepas PRU14 tetapi satu sen prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar sehingga sekarang.