‘Orang kaya’ sewa PPR

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,108 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan dirampas daripada pemiliknya yang kebanyakannya golongan ‘orang kaya’ yang menyalahi syarat menyewa premis, sekali gus menafikan hak golongan yang lebih layak mendapatnya.

Kebanyakan pemilik terbabit memiliki kediaman sendiri dan tidak menduduki rumah PPR berkenaan, sebaliknya menyewakan premis tersebut kepada orang lain manakala ada yang membiarkan rumah berkenaan kosong atau menjadikannya sebagai rumah persinggahan.

Kesalahan itu meliputi 949 kes daripada sejumlah 1,108 unit PPR dan Perumahan Awam (PA) yang dirampas sepanjang tiga tahun sejak 2019 hingga Jun tahun ini kerana didapati menyalahi syarat menyewa di perumahan tersebut melalui 11 kategori kesalahan.

Ia membuktikan ada penyewa dalam golongan berduit kerana sudah mempunyai rumah lain tetapi memperoleh rumah sewa PPR sekali gus menafikan hak mereka yang lebih memerlukan untuk mendapatkan tempat tinggal pada kadar lebih murah terutama di Kuala Lumpur.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, unit-unit rumah yang dirampas itu meliputi pelbagai kesalahan iaitu 589 kes pada tahun 2019, 322 kes (2020) dan 197 kes setakat Jun tahun ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan penghuni tidak menetap di rumah tersebut, ada antara penyewa membiarkan ia kosong, terbiar atau menjadikan rumah sebagai singgahan sahaja terutama jika kes ibu bapa sudah meninggal dunia atau sakit dan dijaga oleh anak-anak di rumah lain.

“Kesalahan berkenaan melibatkan 508 kes pada 2019, 291 kes (2020) dan 150 kes pada 2021.

“Antara kesalahan lain adalah penghuni tidak sah, sebagai contoh nama penghuni tidak ada dalam kad penghunian seperti kes sewa atas sewa, sewa sebahagian bilik selain memberikan adik beradik atau saudara-mara tinggal di rumah itu yang mana sebanyak 54 kes dikesan pada 2019, 12 kes (2020) dan 13 kes (2021).

“Terdapat juga kegiatan yang menjadikan rumah PPR itu sebagai lokasi kegiatan dadah dengan 13 kes dikesan pada tahun 2019, empat kes (2020) dan tiga kes (2021),” katanya di sini.

Shahidan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapati ada pemilik yang menyewakan rumah PPR itu kepada warga asing, melibatkan lapan kes sepanjang tiga tahun ini, manakala 31 kes unit kedai yang tidak beroperasi, tidak aktif atau menyewakan kepada pihak ketiga selain 15 kes lain-lain kesalahan seperti halangan, kacau ganggu dan sambung tempoh.

Melalui perbuatan seumpama itu, Shahidan menegaskan, ia seperti merampas hak mereka yang lebih memerlukan yang mana pada masa ini terdapat 10,214 sedang dalam senarai menunggu untuk mendapatkan kediaman tersebut dalam tempoh tiga tahun ini.

Kata beliau, hanya 252 permohonan ditawarkan unit rumah berbanding 10,466 jumlah permohonan layak yang diterima sejak 2019 kerana kekosongan unit yang terhad.

Shahidan berkata, kerajaan menyediakan sejumlah 63 kawasan perumahan melibatkan 31 PA dan 32 PPR di seluruh Kuala Lumpur meliputi 41,868 unit sewa secara keseluruhan
dengan kadar bulanan serendah RM94 (PA) dan RM124 (PPR).

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan unit PA atau PPR adalah sebanyak 61,618 yang mana 19,750 unit dimiliki oleh pemilik (telah dibeli).

Jelas beliau, mereka yang memohon perlu memenuhi syarat-syarat minimum seperti suami dan isteri adalah warganegara Malaysia, sudah berkahwin serta pendapatan terkumpul suami atau isteri hendaklah tidak melebihi RM3,000 untuk kos rendah manakala tidak melebihi RM4,000 untuk kos sederhana.

“Pemohon hendaklah tinggal atau bekerja di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tidak mempunyai rumah atau tanah dalam lingkungan 35 kilometer dari pusat bandar dan berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, DBKL.

“DBKL melalui Seksyen Kawalan Perumahan, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) menjalankan Operasi Bancian ‘flushing’ bagi mengesan penyewa rumah PPR yang sudah tidak layak menyewa dengan sebanyak 11 operasi dilaksanakan sehingga November lalu melibatkan kawasan PA/PPR termasuk menilai permohonan sambung tempoh penyewaan rumah DBKL oleh penyewa sedia ada,” katanya.

Shahidan memberitahu, kerajaan turut membaik pulih sejumlah 14,278 PA dan PPR sepanjang tiga tahun ini melibatkan 5,333 PA dan 8,945 PPR dengan baki yang sedang dibaik pulih berjumlah masing-masing 2,400 dan 4,025 unit. – UTUSAN

‘Orang kaya’ sewa PPR


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MLM 2021 : Keputusan Markah Minggu 9 (Separuh Akhir)

Related Articles

One Comment

  1. Unit2 PPR dan PA tidak sepatutnya dijual kerana unit2 ini adalah harta DBKL.Kebanyakan pembeli kini tidak lagi tinggal di PPR/PA. Meraka ada kediaman lain dan menjadikan unit PPR/PA yang mereka beli sebagai rumah sewa. Saya pernah menyewa unit ini di PPR Seri Melaka pada 2008 pada kadar RM450.00 sebulan dari pemilik berbangsa Cina. Sekarang ini tak tahulah berapa kadar sewa bulanannya.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker