Antara bodek dan ikhlas
Antara bodek dan ikhlas
oleh Mohd Shahrizal Nasir
Sesungguhnya setiap puja dan puji itu selayaknya hanya untuk Allah SWT Yang Maha Esa serta tiada bagi-Nya sebarang kekurangan dan kelemahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat kedua yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
Sebagai seorang Muslim, kita dianjurkan sentiasa mengingati Allah SWT melalui zikir. Antara yang kerap kita amalkan ialah bacaan zikir selepas solat fardu sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim, iaitu bacaan al-hamdulillah yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah” dibaca sebanyak 33 kali. Inilah antara bukti jelas betapa kita digalakkan untuk sentiasa mengingati Allah SWT serta mengakui bahawa pujian yang hakiki selayaknya hanya ditujukan kepada-Nya.
Menjadi tabiat manusia biasa sukakan pujian kerana ia merupakan ungkapan yang sedap untuk didengar oleh telinga dan dirasai dalam jiwa. Malah, ada dalam kalangan manusia yang mencari-cari sumber untuk mendapatkan pujian daripada manusia lain. Dalam menangani hal ini, setiap daripada kita perlu berwaspada atas setiap perbuatan yang dilakukan sama ada dalam memberi pujian mahupun menerima pujian.
Bagi orang yang memberi pujian, perlu difahami bahawa setiap pujian yang diberikan itu mestilah mengikut kadarnya. Jangan kita memuji seseorang secara berlebihan, tambahan pula jika ada yang memberi pujian disebabkan tujuan tertentu seperti kerana ingin mengambil hati orang yang dipuji. Lantas pujian pun dicipta dan diungkapkan secara melampau dan keterlaluan. Sesungguhnya perbuatan ini dilarang oleh Islam.
“Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menabur tanah ke wajah-wajah orang yang berlebihan dalam memuji.” (Hadis riwayat Muslim)
Namun, sekiranya pujian yang ingin diberikan itu pada kadar yang sepatutnya dan dengan tujuan kebaikan seperti pujian ketua kepada anak buahnya dengan tujuan meningkatkan motivasi dan mutu kerja orang lain, maka ia dibenarkan dan tidak termasuk dalam kategori pujian yang dilarang.
Al-Khattabi dalam Ma’alim as-Sunan menjelaskan hal ini dengan berkata: “Sesiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka dia tidak termasuk dalam kategori ‘maddah’ iaitu (gelaran) pemuji terkeji.”
Rasulullah SAW pernah menyatakan bahaya menjadi orang yang suka memberi pujian secara berlebihan. Ada seseorang berada dekat dengan Rasulullah SAW. Lalu ada orang lain yang memuji-muji orang tersebut, maka baginda SAW bersabda: “Celakalah engkau! Engkau telah menebas leher kawanmu.” (Nabi mengulang kata-kata tersebut berulang kali). Jika kamu mahu memuji dan hal itu harus untuk dipuji, maka katakanlah: “Aku sangka (aku kira) dia demikian dan demikian,” jika dia menyangka kawannya memang seperti itu, “Dan yang mengetahui pasti adalah Allah dan aku tidak mahu memastikan (keadaan) seseorang di sisi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Untuk orang yang menerima pujian pula, adalah amat baik sekiranya setiap pujian yang diterima itu dikembalikan kepada Allah SWT iaitu yang selayaknya menerima puja dan puji. Ucapkanlah al-hamdulillah atas setiap pujian yang diterima. Malah kita dianjurkan untuk memohon kepada Allah SWT agar pujian yang diterima itu tidak menjadikan kita insan yang jauh daripada-Nya.
Rasulullah SAW mengajar satu doa kepada sahabat bagi memelihara diri daripada kesan buruk pujian: “Ya Allah, janganlah engkau menghukum aku kerana apa yang disebut (dipuji) oleh mereka dan ampuni aku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Islam amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Justeru, dalam hal memberi dan menerima pujian, setiap orang Islam perlu berhati-hati dan bijak menanganinya. Jika ia tidak dapat ditangani mengikut cara-cara yang ditetapkan, maka ia akan menyemarakkan perkara buruk (mazmumah) dalam diri individu dan masyarakat.
Pujian berlebihan akan menyebabkan diri yang menerima pujian menjadi bangga diri dan merasakan dirinya sahaja yang terbaik. Allah SWT berfirman dalam al-Quran Yang maksudnya: “Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.” (Surah an-Najm, ayat 32)
Selain itu, pujian boleh mencetuskan fenomena menunjuk-nunjuk dalam melakukan kebaikan dengan harapan ingin mendapat pujian daripada manusia. Sufyan bin ‘Uyainah pernah berkata: “Para ulama menyatakan bahawa pujian orang tidak akan menipu orang yang tahu diri (tahu bahawa dirinya tidak sebaik itu dan banyak aib serta dosa).”
Pujian juga boleh mencacatkan nilai ikhlas kepada Allah SWT dalam setiap amal perbuatan baik yang dilaksanakan. Orang yang ikhlas dalam melakukan amal ibadah termasuk dalam kalangan orang yang bertakwa. Golongan muttaqin (bertakwa) melakukan amal ibadah hanya untuk Allah SWT, bukannya untuk mendapat pujian daripada manusia. Amalan golongan ini akan diterima oleh Allah SWT sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran: “…Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27)
Pujian melampau juga boleh mencipta budaya ‘bodek’ dalam sesebuah organisasi serta menyemarakkan sifat iri hati dalam kalangan mereka yang tidak mendapat pujian. Perbuatan ‘bodek’ mencerminkan sifat golongan munafik yang berpura-pura memperlihatkan kebaikan sebaliknya mereka merupakan golongan pendusta.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah.” Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1)
Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi insan yang memberi dan menerima pujian pada kadarnya serta dijauhkan daripada menjadi seorang yang dahagakan pujian daripada sesama manusia. Lebih penting lagi, marilah kita berusaha agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang suka memuji diri sendiri.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (wahai Muhammad) kepada golongan yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun.” (Surah an-Nisa’, ayat 49)
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Antara bodek dan ikhlas
Baca Artikel Menarik :
- Haris tegur Neelofa ‘headbanging’ masa dengar muzik
- Batu nilam terbesar dunia ditemui
- Pemimpin DAP atur sidang Zoom raih sokongan jadikan Mahathir calon PM
- Menteri, timbalan isytihar akaun luar pesisir kepada SPRM
- Kenapa Lantik Individu Yang Dikaitkan Kes Rasuah Di India Ketuai DNB?
- Peniaga jumpa muntah ikan paus bernilai jutaan ringgit di Marang
- Najib dedahkan propaganda PAC untuk teruskan agenda DAP
- DAP meneruskan propaganda yang dimainkan mereka sejak tahun 2017 sebelum PRU14.
- Model 5G: Gesaan Muhyiddin memeranjatkan
- Najib sindir ‘kepakaran’ Mahathir guna kayu penyepit
- Saintis ramal ‘kiamat’ dari lautan satu atau dua abad lagi
Layari Laman Facebook MYKMU</a