Pembunuhan karakter bukan pembunuh biasa-biasa

Gambar Hiasan***

PEMBUNUHAN karakter (character assassination) sering kali dikaitkan dengan usaha sistematik sesuatu pihak bertujuan menghancurkan reputasi seseorang ahli politik agar nama baik tokoh tersebut rosak di mata masyarakat dan menjadi sosok yang dibenci sekali gus berkemungkinan besar mampu menamatkan riwayat politiknya.

Kata assassination berasal daripada perkataan assassin yang merupakan kata serapan daripada bahasa Arab, hashashin (pembunuh). Hashashin adalah kelompok pembunuh pada abad kelapan hingga ke-14 yang kononnya menggunakan strategi untuk menguatkan pemikiran ketika membantai ideologi lawan mereka.

Oleh itu, assassination di sini bukanlah pembunuhan biasa-biasa, tetapi lebih didasari ideologi politik. Lazimnya, pembunuhan karakter dilakukan dengan memanipulasi fakta, menyebar khabar angin, fitnah dan melemparkan tuduhan tidak berasas tanpa kepastian atau siasatan terlebih dahulu ke atas seseorang yang dijadikan sasaran.

Kesemua cara ini dapat mengaburi mata masyarakat. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi masa kini, masyarakat dengan mudahnya boleh terjebak dalam situasi seolah-olah benar terhadap apa yang dilemparkan ke atas mangsa.

Pembunuhan karakter juga dapat dilakukan melalui cara membuka aib bahkan menghebahkan hal-hal negatif berkaitan individu yang menjadi sasaran.

Selain itu, ia juga boleh dilakukan dengan cara menekan mangsa menerusi pelbagai hukuman dan tindakan yang tidak masuk akal yang di luar daripada kebiasaan sehingga memungkinkan mangsa hilang kelayakan untuk terus berada di dalam kancah politik.

BUKAN BAHARU

Pembunuhan karakter hakikatnya bukanlah perkara baharu dalam arena politik. Malah, apabila ditinjau sejarah Islam sewaktu pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, beliau turut menjadi mangsa pembunuhan karakter dilakukan oleh golongan Sabaiyah yang mendakwanya mengamalkan nepotisme malah dituduh seorang yang boros dan menggunakan harta baitulmal.

Apabila ditelusuri abad ke-15 pula, seorang ahli strategi politik Itali bernama Niccolo Machiavelli telah memperkenalkan konsep matlamat menghalalkan cara (the ends justify the means) yang kemudiannya melahirkan pemikiran Machiavellisme yang mana ia mementingkan pendekatan taktik kotor dan licik dalam berpolitik. Menurut Joseph Goebbel, seorang menteri kanan Hitler di zaman rejim Nazi, pembunuhan karakter dilakukan dengan cara memfitnah. Maka faktor pembohongan memainkan peranan amat penting sehinggakan semakin besar dan luas pembohongan itu, semakin ia meyakinkan.

DILARANG ISLAM

Dua prinsip inilah yang dianuti para pelaku pembunuhan karakter.

Pembunuhan karakter menurut pandangan Islam merupakan suatu yang amat dilarang kerana ia termasuk pelanggaran terhadap konsep hifzul ‘irdhi (memelihara kehormatan) kerana perbuatan ini tidak terlepas daripada unsur kazzab (dusta), ghibah (gosip), namimah (adu domba) dan membuka aib orang lain.

Pembunuhan karakter adalah cara yang tidak bermaruah kerana ia akan menghasilkan persepsi buruk terhadap seseorang. Malah jika tidak dibendung, ia akan melahirkan generasi dengan karakter pembunuh berdarah dingin yang menghalalkan segala macam cara untuk kepentingan diri mahupun kelompok dalam meraih sokongan dan kekuasaan.

MUDAH TERPEDAYA

Dalam situasi politik semasa yang semakin mencengkam dan pilihan raya umum yang semakin hampir, masyarakat seharusnya tidak mudah hanyut ditelan arus. Apabila kedengaran banyak suara memburukkan seseorang tokoh politik, janganlah mudah terpedaya dengan isu yang berlegar kerana belum tentu ia benar.

Kaedah ini terpakai baik yang diajukan kepada tokoh politik yang berada di blok kerajaan mahupun blok pembangkang. Hal ini kerana di kala masyarakat didendangkan dengan keburukan seseorang tokoh politik, jangan lupa di sana juga ada usaha pihak berkepentingan yang cuba menanamkan kebencian masyarakat terhadap musuh politiknya melalui pembunuhan karakter yang berterusan.

AJARAN ISLAM

Islam mengajar untuk bertindak dalam ranah politik Islam (siasah syar’iyyah), iaitu dengan cara membudayakan pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip bukannya spekulasi, berasaskan fakta bukannya persepsi, berasaskan tabayyun bukannya tibaiyun, agar kita dapat menilai sesuatu isu dengan adil serta tidak menimpakan prasangka buruk dan fitnah jahat yang menatijahkan kebencian ke atas seseorang individu.

Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maaidah, 5: 8)

Wallahuaklam.

PENULIS ialah calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Pengasas Pusat Abu Faqih.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mereka yang tumbangkan BN cemas, takut bayang-bayang sendiri – Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker