Dilema rawatan pulihkan pesakit Covid-19

SEJAK rawatan Corticosteroids yang menggunakan hormon steroid disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada September tahun lalu dan digunakan hanya untuk pesakit-pesakit Covid-19 yang paling serius, penciptaan pil dalam rawatan perubatan terhadap para pesakit koronavirus itu masih terlalu kecil setakat ini.

Apatah lagi, penggunaan rawatan dengan menggunakan pil yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat ubat-ubatan pula melibatkan kos tinggi dan terlalu mahal.

Sehingga kini impian yang terpahat dalam pemikiran setiap doktor ialah terdapatnya pil yang boleh digunakan ke atas mana-mana pesakit Covid-19.

Namun, sebenarnya hingga kini pil yang selamat dan amat efektif itu masih belum ditemui.

Setakat ini terdapat pil molnupiravir yang dicipta oleh firma ubat-ubatan Merck/MSD di Amerika Syarikat (AS) dan dijual dengan menggunakan nama Lagevrio di pasaran Eropah.

Terdapat satu lagi pil yang dicipta oleh syarikat ubat-ubatan Pfizer dikenali sebagai Paxlovid untuk digunakan dalam rawatan pesakit-pesakit Covid-19.

 

Syarikat ubat-ubatan Pfizer mengeluarkan sejenis pil antivirus untuk rawatan pesakit Covid-19. - Foto AFP
Syarikat ubat-ubatan Pfizer mengeluarkan sejenis pil antivirus untuk rawatan pesakit Covid-19. – Foto AFP

 

Kedua-duanya merupakan pil yang digunakan dalam rawatan antivirus bagi memperlahankan penyakit dengan mengurangkan kemampuan virus untuk berkembang dalam tubuh badan.

Pil Lagevrio telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Kesatuan Eropah (EU) dan kini dalam proses untuk diluluskan di AS.

KURANG MEMUASKAN

Sungguhpun begitu, keputusan akhir ujian klinikal yang dilakukan pada awal Oktober lalu terhadap pil yang dicipta oleh Merck/MSD itu masih lagi kurang memuaskan.

Ujian itu menunjukkan pil Lagevrio berjaya mengurangkan sebanyak 30 peratus kemasukan pesakit-pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi ke hospital dan angka kematian dan bukannya 50 peratus seperti yang diharapkan sebelum ini.

Persoalan lain yang timbul ialah tentang keselamatan rawatan koronavirus itu kerana dari segi teori, ia juga boleh menyebabkan munculnya varian baharu atau penyakit kanser.

AS dan para pegawai kesihatan EU kini sedang menunggu data ujian klinikal terhadap pil Paxlovid yang dicipta berdasarkan kepada ubat anti-HIV iaitu Ritonavir.

Kedua-dua pil itu mempunyai satu kelebihan setakat ini iaitu cara ia berfungsi di dalam tubuh akan menyebabkannya tidak mungkin menjadi kurang efektif dalam menghadapi varian baharu Covid-19.

Menurut jangkaan pertubuhan Doctors Without Borders (MSF), rawatan dengan menggunakan pil Lagevrio atau Paxlovid mungkin menyebabkan kos sebanyak AS$700 (RM2,961).

Pfizer dan Merck pula telah menandatangi persetujuan perlesenan secara sukarela dengan hasrat untuk memudahkan penyebaran pil-pil ciptaan kedua-dua firma tersebut keluar dari negara-negara kaya selepas kedua-duanya mendapat kelulusan pengedarannya secara rasmi.

Namun, ia hanyalah langkah pertama untuk sistem kesihatan mendapatkan akses terhadap rawatan pesakit-pesakit Covid-19.

WHO pula telah mencadangkan penggunaan rawatan sintetik antibodi untuk para pesakit yang tua dan mereka yang mengalami sistem imun tersekat.

Terdapat sejenis rawatan Ronapreve yanng menggabungkan sintetik monoklonal antibodi yang dikenali sebagai casirivimab dan imdevimab dan menggunakan hanya satu suntikan intravena tetapi satu dos tersebut dianggarkan melibatkan kos sebanyak AS$2,000 (RM8,460).

Ia dicipta oleh syarikat ubat-ubatan Regeneron bersama syarikat penjagaan kesihatan Roche.

Rawatan yang menggunakan sintetik antibodi dianggap kurang berkesan dalam menghadapi varian baharu.

Namun, pada 30 November lalu, Regeneron mengumumkan bahawa rawatannya terhadap Covid-19 mungkin berkesan bagi menghadapi varian Omicron yang penemuannya dihebahkan kepada dunia baru-baru ini.

WHO juga telah mengesyorkan rawatan sintetik antibodi lain untuk para pesakit Covid-19 yang lebih kritikal dengan menggunakan Tocilizumab yang dijual sebagai Actemra atau RoActemra yang dihasilkan oleh Roche.

Ia juga mengesyorkan penggunaan Sarilimab yang dijual oleh syarikat ubat-ubatan Sanofi dengan menggunakan nama Kevzara.

Pada Khamis lalu, United Kingdom meluluskan penggunaan rawatan antibodi monoklonal yang dikenali sebagai Sotrovimab keuaran syarikat Vir Biotechnology/GSK tetapi ia juga mempunyai kesan sampingan. – Agensi

Dilema rawatan pulihkan pesakit Covid-19


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Mejar Shuhada’ perdaya mangsa, liwat mangsa lelaki

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker