Harga pakej kahwin meningkat 20 peratus

SHAH ALAM – Kos bagi melangsungkan sesebuah majlis perkahwinan pada masa kini meningkat 17 hingga 20 peratus menyebabkan para pengusaha terhimpit.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, faktor besar menyumbang kepada peningkatan kos tersebut ialah harga barang mentah seperti ayam dan sayur yang meningkat pada ketika ini.

“Kita semua sedia maklum, dalam majlis perkahwinan ayam merupakan hidangan utama. Harga ayam mentah bagi setiap kilogram ialah RM9 ke atas berbanding harga sebelum ini sekitar RM6 hingga RM7.



“Begitu juga dengan harga sayur mengalami peningkatan mendadak. Mahu atau tidak, kita terpaksa menerima dan membayar dengan harga ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, anggaran harga belian bahan mentah untuk satu hidangan bagi seorang tetamu pada ketika ini ialah sekitar RM8.50 hingga RM10, belum mengambil kira kos-kos lain seperti pengangkutan.

“Jadi, agak mustahil untuk kita menetapkan harga minimum bagi satu kepala sama seperti sebelum ini iaitu sekitar RM12. Pada masa ini, harga hidangan bagi satu kepala ialah sekitar RM18,” jelasnya.

Selain itu, katanya, antara faktor lain menyumbang kepada peningkatan kos majlis perkahwinan ialah tenaga kerja yang berkurangan, baik pekerja tempatan mahupun pekerja asing.



“Ramai yang merungut tiada kerja tetapi tidak ramai mahu bekerja dalam bidang ini. Kita kekurangan pekerja dan terpaksa membayar pekerja yang ada dengan kos lebih,” katanya.

Jelasnya lagi, selain peningkatan kos katering, masalah sama turut berlaku kepada penyedia perkhidmatan khemah dan pelamin.

“Jika sebelum ini kos bagi satu khemah sekitar RM200 hingga RM300 tetapi sekarang harganya naik kepada RM400 hingga RM500,” katanya.

Justeru, Zarinah berkata, pihaknya berusaha memastikan situasi menang-menang antara pengusaha dan pelanggan agar kedua-dua pihak tidak terbeban.



“Kami bukan mahu cekik darah dalam menetapkan harga tetapi harga pakej yang diberikan itu mengambil kira kos semasa. Dalam masa sama, kita juga tidak mahu pelanggan terbeban dan mempunyai kemampuan untuk melangsungkan majlis.

“Sebelum ini tempahan tetamu sekitar 800 hingga 1,000 orang adalah perkara biasa, tetapi jumlahnya berkurangan kepada 300 hingga 500 tetamu sahaja susulan peningkatan kos berkenaan,” katanya.

Zarinah turut berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah segera memastikan harga barangan mentah dikawal dan diturunkan seperti sebelumnya.

“Jangan tergesa-gesa mengambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan majlis perkahwinan kerana menaikkan harga, tetapi pergi kepada peringkat akar umbi melihat di mana punca masalah peningkatan harga ini.



“Saya baca berita tentang harga sayur di peringkat ladang tidak dijual semahal di pasaran. Dari sini kita tahu pihak mana menyebabkan harga naik,” ujarnya.

 

PENGUSAHA TIADA PILIHAN

Pengusaha makanan dan katering di Pahang mengakui tertekan dengan kenaikan harga barang hingga terpaksa merancang menaikkan harga makanan sekitar 15 hingga 20 peratus bermula pada tahun hadapan.



Rata-rata mereka mendakwa, penetapan harga baharu terpaksa dibuat susulan kenaikan kos bahan mentah dan sayur-sayuran sejak pertengahan bulan November lalu.

Namun bagi tempahan sedia ada yang dibuat pelanggan sebelum berlaku kenaikan, harga pakej adalah sama seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Pemilik Dz katering, Afiq Asyraf Zulkifli, 28, berkata, kenaikan harga makanan terpaksa dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Dia menyifatkan nasib mereka tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana sebelum ini menjalani kesukaran akibat penularan pandemik Covid-19 tetapi kini dibelenggu pula dengan isu kenaikan harga bahan mentah.



“Kami baru nak memulakan perniagaan semula selepas dibenarkan beroperasi, tiba-tiba harga barangan keperluan naik. Bagi tempahan yang telah diterima, kami terpaksa menggunakan kadar harga lama walaupun tidak mendatangkan keuntungan,” katanya.

Afiq Asyraf berkata, kebiasaannya, menu yang disediakan pada harga RM12 bagi seorang tetamu tetapi pada tahun hadapan dijangka naik antara RM1 dan RM2.

Katanya, kenaikan kos sebanyak itu terpaksa dibuat bagi menampung kos lain termasuk upah pekerja.

“Kami cuba menawarkan pengguna dengan harga berpatutan kerana tidak mahu membebankan mereka. Namun diharap masyarakat memahami kemelut yang sedang kami hadapi sekarang ini,” ujarnya.

Pengusaha makanan, Alanis Faizuan, 43,pula berkata, harga baharu tempahan makanan untuk sesebuah majlis dijangka dinaikkan mulai tahun depan.

“Kami akui semua terkesan dengan Covid-19 dan kenaikan harga barang seperti menekan semua pihak khususnya peniaga serta pengguna.

“Jadi, untuk berlaku adil, kami naikkan harga makanan tahun depan supaya pengguna lebih bersedia namun tempahan sedia ada, kami kekalkan harga lama,” katanya.

Harga pakej kahwin meningkat 20 peratus


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wajah Kate Middleton ‘lebam’, penuh luka timbulkan kemarahan warganet

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker