Varian baharu jadikan pandemik lebih berpanjangan

Varian baharu jadikan pandemik lebih berpanjangan

Pandemik COVID-19 akan kekal untuk tempoh yang lebih lama dengan penularan varian baharu di beberapa negara dan Malaysia tidak terkecuali, walaupun pelbagai langkah diambil bagi membendung wabak itu.

Pakar Kesihatan Awam, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohamad, berkata penularan wabak COVID-19 masih tidak dapat diputuskan dan beberapa negara kembali mengenakan sekatan, susulan penularan virus itu tidak dapat dikawal.

Katanya, tempoh endemik COVID-19 diharapkan menjadi pengakhiran bagi wabak itu dengan virus pembawa COVID-19, iaitu SARS-CoV-2 akan terus berada dalam masyarakat dan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Pandemik bertukar menjadi endemik suatu yang perlu diterima. Endemik ditakrifkan sebagai kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat di sesuatu tempat, namun sudah menyesuaikan diri dan belajar hidup dengan penyakit ini pada kadar rendah.

“Memang benar terdapat wabak penyakit berjangkit sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) atau ‘Spanish flu’ yang akhirnya hilang atau kebanyakan jangkitan lain turun ke peringkat yang amat rendah atau terhapus.

“Tidak semua pengakhiran wabak sebegitu dan kesan daripadanya tetap dengan kadar yang pelbagai mengikut tempat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, di Kelantan, pandemik itu lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain ekoran beberapa faktor utama, iaitu faktor masyarakat seperti kadar pelalian yang masih rendah dan pengabaian kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dalam kita mengawal penyakit berjangkit, ia akan terkawal sepenuhya apabila penduduk rentan sudah mencapai tahap imuniti yang cukup, termasuklah kadar pelalian populasi yang tinggi, bagi mengelak virus dari mempunyai daya untuk terus merebak.

“Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, semua pihak perlu memainkan peranan memastikan diri dan keluarga mereka divaksinasi segera, sekali gus membantu negara memutuskan rantaian wabak pembawa maut ini,” katanya.

Dr Wan Mohd Zahiruddin berkata, pandemik COVID-19 turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada psikologi manusia, terutama terhadap kesihatan mental yang dijangka akan berpanjangan dalam tempoh yang lama.

“Keresahan mengenai penularan virus ini sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada kawalan pergerakan dan pengasingan diri yang turut menyumbang kepada krisis kesihatan mental,” katanya. BH

Varian baharu jadikan pandemik lebih berpanjangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Buli jalan raya rampas beg tangan (Video)

Satu Malaysia kena ‘game’ dengan Tauke

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker