Surah Taha pelembut hati?

Surah Taha pelembut hati?

Datuk Dr Luqman Abdullah

Membaca al-Quran sememangnya perkara yang sangat dituntut namun bagaimana pula keadaannya apabila seseorang itu beramal dengan sesuatu surah untuk sesuatu sebab. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWM) ada menerima soalan berhubung hukum mengamalkan sesuatu surah. Soalan ini juga khusus untuk surah Taha yang berkait dengan Saidina Umar dan ayat ini dikatakan pelembut hati.

Sebelum saya pergi kepada huraian jawapan yang terperinci, secara amnya, mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1 hingga 5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah harus berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi (ruqyah) menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah.

Di samping itu begitu juga kisah Saidina Umar bin al-Khattab dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran yang mana beliau memeluk Islam ketika mendengar beberapa ayat dari surah Taha. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut bagi hati.

Untuk memperincikan hal ini, al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada umat manusia. Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai penawar bagi hati serta Rahmat bagi mereka yang beriman kepada-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Isra, 82)

Ulama mentafsirkan perkataan syifa’ pada ayat di atas sebagai ubat penawar iaitu sebagai penawar bagi hati daripada segala kejahilan kemudian dianugerahkan kepadanya kesembuhan dengan diberi ilmu kefahaman. Perkara ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qurtubi dengan menukilkan pandangan ulama yang menyatakan bahawa: “Sesungguhnya ia (al-Quran) merupakan penawar bagi hati dengan menghilangkan kejahilan dan keraguan serta membuka hati yang tertutup daripada penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat dan perkara yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT.” (Tafsir al-Qurtubi)

Surah Taha adalah surah yang diturunkan di Makkah sebelum Islamnya Saidina Umar al-Khattab. Surah ini mempunyai hubung kait tentang kisah pengislaman Saidina Umar al-Khattab seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya, kisah yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni di dalam sunannya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang menceritakan bahawa Saidina Umar keluar bersama pedangnya dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah SAW.

Ketika dalam perjalanan, beliau diberitahu saudara perempuannya telah menjadi pengikut Baginda Nabi SAW. Lantas beliau terus meluru ke rumah saudaranya, apabila sampai di rumah tersebut beliau terdengar suara Khabbab membaca surah Taha. Lalu beliau meminta mushaf yang ditulis di dalamnya surah tersebut kemudian dia membacanya.

Kisah ini juga diceritakan dengan panjang lebar dan terperinci oleh Ibnu Hisyam di dalam sirahnya dengan menukilkan kisah ini daripada Ibnu Ishaq, yang mana diceritakan setelah selesai Saidina Umar membersihkan diri, kemudian saudara perempuannya memberikan mushaf yang terkandung di dalamnya surah Taha ayat 1 hingga 20 tersebut kepada Saidina Umar lalu dibacanya. Setelah itu, beliau berkata: “Alangkah cantik dan mulianya kata-kata ini.”

Kemudian beliau meminta Khabbab memberitahunya tempat untuk berjumpa Baginda Nabi SAW. Setelah itu beliau terus pergi ke rumah tempat Nabi SAW dan sahabatnya berkumpul yang terletak di Bukit Safa untuk berjumpa Baginda Nabi SAW.

Setelah beliau berdepan dengan Baginda SAW, lalu Baginda bertanya kepadanya: “Apakah yang membawa kamu datang ke sini wahai Ibnu al-Khattab? Demi Allah Aku melihat ia tidak akan berakhir sehinggalah Allah menurunkan kepada kamu malapetaka.”

Lalu Saidina Umar al-Khattab berkata: “Wahai Rasulullah, aku datang bertemu kamu untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta apa yang telah diwahyukan daripada Allah.”

Setelah mendengar ikrar keimanan Saidina Umar al-Khattab RA maka Rasulullah SAW bertakbir kegembiraan dan disebabkan itu sahabat-sahabat Nabi SAW mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab memeluk Islam.

Kisah ini menggambarkan bahawa selepas Saidina Umar al-Khattab RA membaca surah Taha, lalu hatinya terpaut dengan keindahan ayat suci tersebut kemudian terus meminta izin untuk berjumpa Nabi SAW dan memeluk Islam. Ini menggambarkan dan membuktikan keindahan dan mukjizat al-Quran sebagai zikrullah yang dapat melembutkan dan menenangkan hati mereka yang keras sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah SWT: “Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, 28)

Berdoa dan jampi guna ayat al-Quran

Dalam menjawab persoalan ini, menggunakan ayat al-Quran sebagai amalan dan doa sebagai pelembut hati adalah perkara yang diharuskan dalam syarak. Perkara ini juga sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A’raf, 180)

Di samping itu, Baginda Nabi SAW juga menyarankan supaya meminta kepada Allah SWT apabila membaca al-Quran malah al-Quran juga boleh dijadikan perantaraan dalam memohon sesuatu hajat supaya ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain berkata, bahawa sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.” (Riwayat al-Tirmizi, No 2917)

Hadis di atas jelas menyebut hendaklah meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara, sama ada perkara yang berkaitan dengan duniawi atau ukhrawi. Syeikh Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadis di atas beliau menyatakan: “Iaitu meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam setiap perkara daripada perkara dunia dan akhirat.”

Begitu juga perihal jampi atau ruqyah dengan menggunakan ayat al-Quran, ulama berpendapat harus bahkan sunat sekiranya jampi tersebut menggunakan ayat al-Quran nama Allah SWT dengan tujuan untuk mengubati penyakit.

Imam al-Suyuti menukilkan pandangan Ibn al-Tin yang menyatakan: “Jampi dengan al-Mu’awwizat dan selainnya dengan menggunakan nama Allah SWT merupakan rawatan ruhani. Begitu juga jika diungkapkan oleh golongan yang salih daripada kalangan makhluk maka mendapat kesembuhan dengan keizinan daripada Allah.”

Jelas pandangan Imam al-Qurtubi berpendapat disunatkan ruqyah atau jampi dengan menggunakan ayat al-Quran dan nama-nama Allah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti: “Harus ruqyah (jampi) dengan menggunakan kalam Allah dan nama-Nya. Bahkan sekiranya ia ma’thur (terdapat dalil al-Quran dan sunah) maka ia disunatkan.”

Mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah diharuskan berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan jampi menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah. Di samping itu boleh juga kisah Saidina Umar al-Khattab yang memeluk Islam ketika mendengar dan membaca surah Taha dijadikan iktibar dan pedoman sebagai pengajaran dan bukti mukjizat al-Quran. Namun tidak ditemui dalil dan nas khusus daripada al-Quran dan hadis yang menyatakan bahawa surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut hati. Wallahu’alam HM

Surah Taha pelembut hati?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kebarangkalian komet pemusnah langgar Bumi meningkat- NASA

Wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker