BN tidak boleh terlalu selesa

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seolah-olah memberi isyarat kembalinya kepercayaan pengundi kepada kepimpinan UMNO dan kerajaan BN selepas tergugat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia sekali gus memberi petunjuk keyakinan rakyat kepada gabungan itu untuk mentadbir. Rakyat khususnya di Melaka yakin dengan kekuatan dan dasar diperkenalkan BN dalam usaha membawa Melaka menjadi negeri yang stabil daripada pelbagai aspek pasca Covid-19 terutama pemulihan ekonomi.

Kemenangan selesa menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga adalah sesuatu di luar jangkaan. Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ternyata bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan. Ini kerana semua parti utama yang bertanding memiliki kekuatan hampir sama dalam usaha membentuk kerajaan negeri.



Gambaran sokongan rakyat pada PRN Melaka menjelaskan keinginan mereka untuk melihat Melaka tidak diganggu gugat dengan isu politik yang merimaskan. Kemenangan BN adalah mesej jelas rakyat mahu sebuah kerajaan stabil.

PRN Melaka turut membuktikan rakyat menolak pemimpin yang dilabel sebagai ‘katak politik’ apabila semua calon berkenaan tewas kepada pesaing masing-masing. Rakyat inginkan perubahan kepada pemimpin muda terpelajar yang berkaliber untuk menjadi wakil rakyat mereka. Pola percaturan tersebut mungkin boleh dijadikan formula untuk PRU15 kelak.

BN membuktikan manifesto, dasar dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meyakinkan rakyat yang sudah berpengalaman ditadbir Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali perlu tampil dengan bajet negeri lebih menyeluruh dan boleh membantu meningkatkan semula ekonomi rakyat yang terjejas. Bajet negeri juga perlu menyentuh dan dirasai segenap lapisan masyarakat khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik.



Pengundi meletakkan harapan tinggi terhadap wakil rakyat yang dipilih pada PRN Melaka dan mahu mereka meneruskan tugas pemimpin terdahulu yang tertangguh.

Rata-rata pengundi inginkan wakil rakyat baharu yang mudah didekati, berdedikasi, cekap dan amanah serta mampu memberi perkhidmatan lebih baik.

Kini tidak timbul lagi kerajaan yang ‘longgar’ melalui keputusan dibuat oleh rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih harus bekerja keras untuk memulihkan ekonomi, selain memastikan infrastruktur dan kesihatan komuniti terpelihara.

Pendekatan walkabout (turun padang), meninjau dan mengatasi isu rakyat perlu diberi perhatian termasuk kebersihan bandar, pekan, kampung, taman perumahan, jaringan internet, kebajikan dan kemudahan penduduk diambil tindakan dengan serius.



Pengundi Melaka yakin dengan gabungan wakil rakyat muka baharu dan lama dalam kerajaan BN Melaka akan bekerja keras bagi memastikan mandat rakyat pelbagai kaum sentiasa diutamakan.

Sokongan yang diterjemahkan itu turut menggambarkan rakyat mahu trend kecemerlangan BN yang memimpin negara sejak puluhan tahun terus dilaksanakan di Melaka.

Namun, BN tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan tersebut. Keputusan PRN Melaka tidak boleh dijadikan kayu ukur kerana ramai pengundi Melaka di luar negeri itu tidak membuat pilihan mereka kali ini.

Peratusan pengundi yang mengundi BN adalah 38 peratus, manakala peratusan yang mengundi PH adalah 35 peratus.



Jika dilihat kerusi-kerusi yang dimenangi, ada sekitar 10 kerusi misalnya (perbezaan undi) di bawah 1,000. Maknanya, berlaku persaingan sengit. Ia boleh menjanjikan momentum buat BN tapi ia bukan jaminan mutlak untuk mereka betul-betul kembali berkuasa pada PRU15.

* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka

BN tidak boleh terlalu selesa


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Gesa i-Citra RM10k , Bandar Malaysia Tukar Jadi Bandar ASEAN



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker