Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun sekali lagi didakwa

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun sekali lagi didakwa

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd. Razali yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Bagaimanapun tertuduh Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan mangsa sama sehingga mengalami kecederaan.

Terdahulu, peguam Datuk Farhan Maaruf memohon agar mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM12,000 yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini kerana fakta serta bukti bagi kedua-dua kesalahan itu adalah sama.

“Pihak kami percaya jaminan RM12,000 yang dikenakan ke atas anak guam saya bagi pertuduhan sebelum ini mencukupi untuk memastikan kehadirannya di mahkamah, namun sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan bagi pertuduhan kedua ini, saya mohon wang jaminan sebanyak RM3,000,” kata Farhan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon wang jaminan ditambah berikutan penambahan pertuduhan ke atas Siti Bainun.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, Noor Shakira Aliana turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama dan setakat ini pihaknya telah menyediakan seramai 29 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

Izralizam kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 15 hari bermula 30 Mac 2022 manakala sebutan kes ditetapkan pada 6 Januari tahun depan. K Online

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun sekali lagi didakwa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kebarangkalian komet pemusnah langgar Bumi meningkat- NASA

Wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker