Ibu bapa gesa jadual SPM dianjakkan

KOTA TINGGI: Jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 wajar dianjakkan lagi bagi memberi tempoh masa yang benar-benar mencukupi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan itu membuat persediaan.

Bagi Norasri Paimon, 36, pemahaman dan pembelajaran melalui sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) walaupun secara dalam talian serta terdapat interaksi perbincangan, belum tentu dapat memahamkan pelajar dengan apa dipelajari.

“Penumpuan dan ‘feel’ belajar tidak sama macam mereka duduk di dalam kelas. Topik penilaian dalam peperiksaan bukan hanya untuk satu dua bab, tetapi bagi SPM ini topik dari tingkatan empat dan lima banyak perlu diulang kaji.

“Keadaan ini akan memberi tekanan besar untuk pelajar jika perlu buat persiapan lengkap hanya dalam tempoh tiga bulan untuk merangkumi kesemua topik dalam dua tahun pembelajaran.

“Kalau sesi persekolahan 2022 boleh mula Mac mungkin SPM boleh ditunda hingga Jun, tambahan pula akan memberi masa buat pihak kementerian mengatur jadual yang lebih menang-menang buat pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam..

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan kementerian akan mengeluarkan jadual peperiksaan baharu SPM dalam masa terdekat selepas menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Junaidah Jamal, 47, pula berkata, jadual SPM yang padat tidak memberikan kelebihan buat calon peperiksaan.

Katanya, kementerian harus mempertimbangkan jadual baru yang lebih mesra kepada pelajar dan tidak membebankan mereka.

“Ini adalah peperiksaan yang penting buat anak kami kerana penentu masa depan mereka sama ada dapat melanjutkan ke peringkat lebih tinggi atau sebaliknya.

“Jadual yang dikeluarkan seperti terlalu terkejar-kejar, ini dibimbangi akan membuatkan pelajar tidak dapat fokus sekali gus keputusan diperoleh kelak menjadi tidak memuaskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Ibu bapa gesa jadual SPM dianjakkan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

 


 

 

Biawak ‘tunjuk’ mayat wanita

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker