Cara Korea Selatan lawan Covid-19

KOREA Selatan secara tradisinya terkenal dalam pelbagai bidang termasuk pengindustrian, hiburan, makanan dan destinasi pelancongan. Bagaimanapun mungkin masih ramai tidak mengetahui Korea Selatan merupakan salah satu negara di dunia yang telah mengawal penularan virus Covid-19 dengan berkesan.

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020, Korea Selatan telah melaporkan lebih banyak pesakit yang pulih daripada kes baharu.

Memandangkan krisis kesihatan semakin mengancam sehingga boleh menjejaskan ekonomi, kerajaan Korea Selatan telah mengambil langkah luar biasa dan pendekatan yang lebih terkoordinasi di peringkat domestik dan antarabangsa bagi melindungi ekonominya dan rakyatnya daripada kesan Covid-19. Korea Selatan tidak begitu terjejas berbanding kebanyakan negara. Oleh demikian timbul persoalan apakah ‘rahsia’ di sebalik kejayaan Korea Selatan?



Pada 19 Januari 2020, Korea Selatan mengumumkan kes pertama Covid-19. Pemerintah Korea Selatan dengan segera menyedari akan keperluan usaha komprehensif dan bertindak dengan pantas untuk menjalankan ujian Covid-19 secara besar-besaran.

Korea Selatan telah mempelajari pengalaman daripada krisis kesihatan sebelum ini seperti wabak SARS pada 2004 dan wabak MERS-COV pada 2015. Sejak pengalaman terdahulu, Korea Selatan telah meningkatkan keupayaannya untuk mengawal penyakit, termasuk melatih orang ramai, kakitangan kesihatan di peringkat pusat dan tempatan mengenai pengesanan penyakit dan penyiasatan epidemiologi.

Ini membolehkannya menempatkan stesen ujian, mengesan dan merawat pesakit dengan pantas apabila pandemik Covid-19 berlaku.Strategi Korea Selatan boleh dibahagi kepada tiga. Pertama, kerajaan menumpukan kapasiti dan sumbernya untuk membendung penularan virus melalui strategi serampang tiga mata iaitu menguji (test), mengesan (trace), dan merawat (treat) ataupun 3T.

Kedua, dasar fiskal dan monetari untuk memperkukuhkan ekonomi dan menggalakkan penggunaan barangan domestik, menyokong sektor-sektor yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan melindungi pasaran tempatan daripada impak kemelesetan ekonomi antarabangsa.



Ketiga, keutamaan untuk mengenal pasti pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan segera dan membantu perniagaan bermasalah.

Melalui strategi 3T, Korea Selatan berjaya mengawal penularan virus Covid-19 dan negara itu boleh meminimumkan penggubalan langkah-langkah drastik seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) yang membawa kesan negatif kepada ekonomi.

Mantan pakar formula PH ‘sekolahkan’ pemimpin parti



Kejayaan

Demi membantu memulihkan ekonomi kerajaan Korea Selatan telah melancarkan Korean New Deal iaitu rancangan perbelanjaan 76 trilion won ($62 bilion) untuk mewujudkan infrastruktur digital dan mewujudkan pekerjaan baharu untuk menyediakan ekonomi dalam normal baharu.

Kerajaan Korea Selatan juga akan menambah baik peraturan perniagaan dalam 10 sektor yang akan memainkan peranan penting dalam normal baharu. Sektor-sektor ini ialah big data/ artificial intelligence (AI), mobiliti kereta masa depan, penjagaan kesihatan, fintech, teknologi perubatan, kitar semula, pemula teroka, kompleks perindustrian, pelancongan dan e-dagang. Penjagaan kesihatan dan pendidikan jarak jauh serta perniagaan dalam talian juga akan menjadi tumpuan.

Di samping itu salah satu faktor kejayaan Korea Selatan dalam menangani pandemik Covid-19 adalah kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Kerajaan Korea Selatan dengan pantas melonggarkan peraturan supaya syarikat-syarikat perubatan swasta boleh menghasilkan dan mengedarkan kit ujian dengan lebih cepat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.



Seawal Januari 2020, dengan hanya empat kes yang disahkan, kit ujian telah pun dibangunkan untuk pasaran negara dan menjelang Mac, Korea Selatan dengan cepat mampu mengeksport kit ujian ke 81 negara.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia telah menggubal dasar-dasar pemulihan yang tersendiri. Rancangan Malaysia ke-12 yang baru sahaja dilancarkan telah mengenalpasti lapan sektor yang memberi keutamaan antaranya elektronik dan elektronikal, pelancongan, kreatif dan pertanian pintar. Mereka juga sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi.

Di sini Malaysia boleh mengadakan kerjasama dengan pemerintah Korea Selatan yang sudah mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Apa yang pasti Covid-19 sudah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Malaysia boleh belajar daripada pengalaman Korea Selatan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keputusan muktamad, saya tak mahu tanah, kediaman itu – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker