PRN Melaka: BN mendahului, PH ikuti rapat dan PN terus ketinggalan

SHAH ALAM – Ilham Centre mendedahkan Barisan Nasional (BN) sedang mendahului perlumbaan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada Sabtu apabila 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu kini sudah dianggap berada dalam genggaman koalisi itu.

Panel penyelidikan badan pemikir politik itu dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kajian Ilham Centre, Pakatan Harapan (PH) pula diyakini sedang mengekori BN dengan rapat apabila dijangka memenangi tujuh kerusi DUN bukan majoriti Melayu dengan selesa.

Jelasnya, kawasan DUN yang bakal dimenangi BN ialah DUN Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.

PH pula dijangka selesa mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

“Terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon.

“Kawasan ini terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini. 10 kawasan tersebut ialah DUN Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek,” kata badan panel penyelidikan Ilham Centre pada Jumaat.

Bermula pada 23 Oktober sehingga 15 November lalu, Ilham Centre telah melakukan satu kajian prediksi pendirian politik rakyat Melaka terhadap PRN Melaka pada esok.

Panel penyelidikan badan pemikir politik yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar telah menjalankan kajian secara tatap muka dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan yang dibuat adalah melibatkan 1,051 responden yang merupakan pengundi berdaftar di Melaka dan mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Mengulas lanjut, jurucakap Ilham Centre turut menjelaskan BN perlu mencari sekurang-kurangnya empat DUN tambahan daripada 10 kerusi DUN panas yang dinyatakan bagi melengkapkan majoriti mudah untuk kembali memimpin negeri Melaka.

Peralihan undi kepada BN menurut kajian

Dalam pada itu, PH pula dilihat perlu mempertahankan kawasan dimenangi mereka sebelum ini agar tidak terlepas kepada BN mahu pun PN.

“PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di DUN Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban atas faktor kebolehmenangan disebabkan oleh calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH.

“Tetapi kami melihat semakin besar PN mencuri undi Melayu di dalam kawasan ini, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan tiga penjuru,” kata jurucakap Ilham Centre lagi.

Menuju saat-saat akhir fasa kempen PRN Melaka, terdapat dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus serta PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.

“Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” ujar jurucakap Ilham Centre sambil menegaskan faktor peratusan keluar mengundi rendah, rekahan undi Melayu serta pesimisnya pengundinya bakal menjadi penentu kemenangan parti-parti bertanding pada PRN Melaka.

IDRIS DITOLAK SEBAGAI CALON PH

Dalam perkembangan lain, cerapan Ilham Centre juga tidak menunjukkan langkah PH mencalonkan dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai strategi bijak untuk memecahkan undi BN.

Hal ini dibuktikan apabila hasil kajian badan pemikir politik itu menunjukkan sebanyak 63 peratus responden menolak Idris diterima sebagai calon PH.

“Kami mendapati halangan kempen bersemuka dan ceramah umum menyebabkan dua tokoh ini dan PH tidak mampu memadamkan serangan UMNO yang menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.

“Selain itu, kami juga mendapati jentera BN dapat mengawal dan merawat elemen-elemen protes yang datang daripada penyokong penyandang yang tidak tercalon semula dalam pilihan raya ini,” kata jurucakap badan pemikir politik bebas itu.

Mengenai aspek perbandingan polisi atau dasar yang paling baik antara tiga bekas Ketua Menteri Melaka yang bertanding PRN kali ini, Ilham Centre mendedahkan cerapan responden memilih Adly Zahari sebanyak 57 peratus melebihi Datuk Seri Sulaiman Md Ali (35 peratus) dan Idris (8 peratus).

PRN Melaka: Syukur rakan jemaah PAS ikhlas sokong calon BN

Hal ini kerana penyataan lisan responden menghuraikan polisi di bawah kerajaan PH pimpinan Adly, kurang kerenah birokrasi dan bantuan diberikan tidak mengira warna kulit dan parti.

Sulaiman pula mendapat limpahan sokongan kerana bantuan Covid-19 di bawah pentadbiran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Berkenaan isu-isu pilihan raya yang perlu diselesaikan parti-parti bertanding, Ilham Centre mengenal pasti sejumlah 93 peratus responden mahukan isu bantuan Covid-19 diberi perhatian segera oleh parti yang menang.

Ini diikuti dengan isu kekerapan banjir kilat di Melaka di mana sejumlah 87 peratus responden meletakkan isu ini sebagai isu sangat kritikal.

“Berkenaan isu pasir dan tambakan laut ketika ditanya, 73 peratus responden bersetuju bahawa isu ini merupakan sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Isu ini nampaknya masih menemui jalan buntu untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri dan menjadi beban mana-mana kerajaan yang dipilih selepas ini untuk diselesaikan,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Walaupun layak mengikut undang-undang, Najib umumkan tolak tawaran kerajaan [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker